Skip to main content

Singapura

20 tahun penangkapan JI - kumpulan pengganas yang mahu serang 80 sasaran di S'pura

Bulan ini genap 20 tahun operasi terhadap kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah Singapura dimulakan sehingga akhirnya membawa kepada penangkapan sejumlah 56 anggota rangkaian itu oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Anggaran Waktu Membaca:
20 tahun penangkapan JI - kumpulan pengganas yang mahu serang 80 sasaran di S'pura

Pasukan Polis Singapura dan anggota tentera di lokasi sedang pihak berkuasa melancarkan usaha memburu besar-besaran untuk mencari Mas Selamat pada 2008. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Dec 2021 11:48PM Dikemas Kini : 05 Dec 2021 04:26PM

SINGAPURA: Bulan ini genap 20 tahun operasi terhadap kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah Singapura dimulakan sehingga akhirnya membawa kepada penangkapan sejumlah 56 anggota rangkaian itu oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Tahukah anda, sepanjang tempoh itu, ISD berjaya mematahkan kesemua hampir 80 rancangan serangan pengganas ke atas Singapura oleh JI.

"Sehingga kini, JI dan komplot-komplot yang dirancangkannya dengan rapi kekal sebagai ancaman pengganasan Islamis rentas sempadan paling hampir berlaku di Singapura," menurut ISD dalam sebuah laporannya yang diterbitkan hari ini (4 Dis), sempena dua dekad operasinya terhadap kumpulan pengganas itu.

Berikut ini, BERITAmediacorp mengimbas kembali detik-detik penting sepanjang 20 tahun operasi keselamatan ISD itu terhadap JI Singapura.

2 OPERASI PENANGKAPAN BESAR-BESARAN ANGGOTA JI SINGAPURA

Operasi ISD untuk menumpaskan rangkaian JI Singapura bermula beberapa hari selepas kejadian serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

ISD menerima maklumat dari seorang awam bahawa warga Singapura Mohammad Aslam Yar Ali mendakwa punya kaitan dengan pemimpin kumpulan Al-Qaeda Osama bin Laden, kumpulan yang bertanggungjawab bagi serangan 11 September itu. Menyusuli maklumat tersebut, ISD memulakan operasi menjejaki orang-orang kanan Aslam.

Pada 3 Disember 2001, pihak media menerbitkan penangkapan Aslam di Afghanistan dua bulan selepas dia tiba di Afghanistan. Menyusuli tersebarnya khabar penangkapan Aslam, para pegawai ISD mempercepat operasi menjejaki orang-orang kanan Aslam sebelum mereka melarikan diri ke luar negara.

Maka itu bermula 8 Disember 2001, ISD memulakan operasi dan tangkapan dibuat pada 9, 15 dan 24 Disember. Kesemuanya 23 orang diberkas dalam tangkapan gelombang pertama itu. 13 daripada mereka ditahan selepas didapati menjadi anggota aktif JI yang terlibat dalam menyasarkan tempat-tempat serangan dan mendapatkan bekalan bahan bom.

Siasatan lanjut ISD kemudian membawanya kepada penangkapan lagi 21 orang pada Ogos 2002, dengan 17 daripada mereka dikenakan Perintah Tahanan (RO).

Daripada 17 yang ditahan, sekurang-kurangnya 8 melakukan pengintipan dan pengawasan terhadap sasaran-sasaran strategik di Singapura seperti saluran paip air dan Lapangan Terbang Changi.

HAMPIR 80 SASARAN SERANGAN PENGGANAS DI SINGAPURA DIRANCANG SEAWAL 1990AN

Siasatan terperinci ISD mendedahkan bahawa para anggota JI sebenarnya sudah mula merancang menyerang tempat-tempat di Singapura seawal pertengahan 1990-an. Secara keseluruhan JI mengenal pasti hampir 80 sasaran serangan di Singapura.

Seawal 1997, seorang anggota JI Singapura merancang untuk menyerang sebuah bas ulang-alik yang membawa anggota tentera Amerika serta keluarga mereka dari kawasan Sembawang ke stesen MRT Yishun.

Related article image
Related article image
Related article image
Related article image
Related article image

4 keping nota yang mengandungi peta terperinci stesen MRT Yishun dan kawasan sekelilingnya serta laluan yang digunakan bas ulang-alik untuk membawa anggota tentera Amerika. Seorang anggota JI Singapura melukis nota-nota ini semasa memberitahu para pemimpin Al Qaeda di Afghanistan tentang rancangan-rancangan serangan itu pada 1999.

Menyusuli serangan 11 September, seorang anggota Al-Qaeda yang dikenal pasti sebagai Mohammed Mansour Jabarah atau nama samarannya "Sammy", seorang warga Kanada keturunan Arab, menghubungi anggota JI Singapura dengan rancangan untuk menggunakan bom lori bagi melakukan serangan di beberapa tempat di Singapura.

Ini termasuk ke atas kedutaan Amerika Syarikat dan Israel serta bangunan-bangunan komersil yang menempatkan firma-firma Amerika Syarikat. Serangan-serangan tersebut dirancang dilakukan seawal Disember 2001.

Malah dengan arahan daripada Fathur Rohman Al-Ghozi atau nama samarannya "Mike", seorang anggota JI Indonesia yang pakar membuat bom, para anggota JI Indonesia sudahpun mengambil langkah untuk membeli 17 tan bahan amonium nitrat untuk membuat bom lori apabila mereka diberkas pada Disember 2001.

Anggota-anggota militan JI juga pernah menimbangkan untuk menyerang kapal tentera laut Amerika di Singapura. Salah seorang anggota JI mengambil lebih 50 gambar Pangkalan Udara Paya Lebar semasa dia bekerja sebagai teknisyen dengan syarikat Singapore Technology Aerospace Systems.

"Dia mahu kita mendapatkan maklumat tentang Pangkalan Tentera Laut Sembawang. Dia juga mahu merakam pangkalan tentera laut itu. Jika kami dapat jadual bila kapal perang Amerika masuk. Dari mana ia masuk? Kami perlu mendapatkan alat perakam video kamera. Kami bersetuju untuk berkongsi kos membeli video kamera itu. Kami juga merancang mencukur janggut kami apabila kami merakam kawasan tersebut atas sebab-sebab keselamatan," kata "Alif" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI. 

Gambar-gambar tersebut sepatutnya digunakan untuk menyokong rancangan JI menyerang pesawat-pesawat milik Amerika Syarikat.

JI MAHU CETUSKAN PERANG SINGAPURA-MALAYSIA

Related article image

Gambar-gambar yang diambil semasa pengintipan di Stesen PUB Woodlands, Kolam Air Bukit Panjang dan paip saluran air dan Hutan Simpanan Bukit Timah.

Selain sasaran-sasaran asing di Singapura, JI juga mahu mencetuskan pertelingkahan antara Singapura dengan Malaysia. Salah seorang pemimpin kanan JI Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali mahu melakukan serangan ke atas paip-paip saluran air di antara kedua-dua negara tersebut dengan tujuan mencetuskan perang.

Hambali percaya JI boleh memanfaatkan ketidakstabilan itu untuk menumbangkan pemerintah sekular Singapura dan Malaysia dan mewujudkan sebuah negara Islam.

"Semasa sarapan, "Jameel" memberitahu kami bahawa kita ada dua perkara untuk dilakukan. Satu adalah untuk menjejaki paip-paip saluran air dan satu lagi adalah mengambil gambar tangki-tangki air di Woodlands dan Bukit Panjang..saya ingat sekitar pertengahan 2001, "Jameel" memberitahu saya bahawa tujuan menjejaki paip-paip air adalah untuk meletupkannya agar dapat memutuskan bekalan air antara Singapura dengan Malaysia. "Jameel" tidak menerangkan lebih lanjut selain mengatakan it bertujuan untuk mencetuskan huru-hara di kedua-dua negara", kata "Daniel" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI.

"Ancamannya sangat nyata. Ada para pengebom nekad dipersiapkan. Matawang dolar Amerika diberikan kepada kami. Kami cuba membeli amonium nitrat untuk para pembuat bom datang dan menyiapkan bom, " kata "Alfee" bukan nama sebenar, seorang bekas tahanan JI.  

Selain rancangan Hambali, tempat-tempat penting juga menjadi sasaran untuk melumpuhkan ekonomi dan infrastruktur Singapura dengan menyasarkan antara lain Lapangan Terbang Changi dan ibu pejabat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Bukit Gombak serta mensabotaj sistem MRT.

Malah salah seorang anggota JI pernah mengekori seorang pegawai MINDEF dari ibu pejabat hingga ke Tampines. Dia melakukan demikian atas arahan dari seorang lagi anggota kanan JI yang merancang meletakkan bahan peledak di dalam kereta pegawai MINDEF tersebut dan meletupkan kereta tersebut di kawasan MINDEF.

Related article image

Laporan pengintipan ibu pejabat MINDEF yang ditulis oleh para anggota JI.

Sungguhpun campur tangan ISD mencegah berlakunya serangan pengganas di Singapura, para anggota JI tidak melupakan rancangan mereka untuk menyerang Singapura.

JI RANCANG SERANG BALAS TERHADAP PENANGKAPAN ANGGOTANYA

Sebaliknya, selepas penangkapan para anggota JI pada Disember 2001, anggota-anggota JI yang lain merancang untuk melancarkan serangan balas terhadap operasi keselamatan yang dilakukan para pegawai ISD.

Pada 13 Disember 2001, Hambali bertemu anggota JI Singapura dan Malaysia di Malaysia dan menggesa mereka melakukan serangan ke atas beberapa kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di Singapura sebagai membalas dendam ke atas penangkapan para anggota JI.

Pembuat bom JI "Mike" kemudian menempah enam tan bahan peledak TNT. Hanya selepas ISD berkongsi maklumat pasport Mike dengan pihak berkuasa Filipina, barulah Mike ditangkap pada Januari 2002, lantas mematahkan rancangan serangan tersebut.

Susulan penangkapan Mike, pihak berkuasa menemui antara lain 1.2 tan bahan peledak TNT yang diakuinya akan digunakan bagi serangan di Singapura.

MAS SELAMAT KASTARI MAHU SERANG LAPANGAN TERBANG CHANGI

Pemimpin JI Singapura Mas Selamat bin Kastari atau lebih dikenali sebagai Mas Selamat melarikan diri ke Johor, selepas penangkapan para anggota JI pada Disember 2001.

Bagaimanapun penangkapan anggota-anggota JI mencetuskan kemarahannya dan menyebabkan Mas Selamat membuat rancangan untuk merampas sebuah kapal terbang dari Bangkok dan menghempaskannya ke Lapangan Terbang Changi.

Rancangan Mas Selamat itu "hampir menjadi kenyataan" menurut ISD setelah dia dan empat lagi anggota JI pergi ke Thailand serta sudahpun membeli lima tiket kelas bisnes untuk melaksanakan rancangan tersebut.

Bagaimanapun dia terpaksa menggugurkan rancangan tersebut selepas namanya diterbitkan dalam suratkhabar Thailand sebagai pengganas yang dikehendaki.

BAGAIMANA JI SINGAPURA DITUBUHKAN

JI Singapura adalah sebahagian daripada rangkaian serantau JI yang mempunyai matlamat menubuhkan Daulah Islamiyah atau sebuah negara Islam di Asia Tenggara menerusi tindakan keganasan dan pengganasan. Berpusat di Indonesia, Daulah Islamiyah mempunyai visi untuk merangkumi Singapura, Malaysia, selatan Filipina dan Brunei.

Rangkaian JI Singapura diasaskan guru agama berkarisma Ibrahim Maidin. Sekitar 1988/89, Ibrahim melafazkan ikrar setianya kepada ketua tertinggi JI, Abu Bakar Bashir, seorang warga Indonesia.

Semasa tempoh kepimpinannya, Ibrahim merekrut ramai anggota JI Singapura menerusi kelas-kelas agamanya. Kepimpinannya kemudian diambil alih oleh Mas Selamat pada 1999.

Melebihi sekadar melakukan serangan pengganas, rangkaian JI Singapura memberi banyak tumpuan kepada pembangunan institusi tersebut. Sebagai sebuah kumpulan pengganas yang berpandangan jauh, JI Singapura memanfaatkan sesi-sesi kelas agama untuk memperkenalkan indoktrinasi JI dan merekrut anggota.

Related article image

Antara 1995 dengan 1999 juga, JI menganjurkan program perkhemahan kembara dipanggil "Tamrin Kanak-Kanak" bagi kanak-kanak dan belia berusia antara 7 dengan 17 tahun. Sekitar 300 kanak-kanak dianggarkan mengikuti perkhemahan tersebut.

Diiklankan sebagai program keagamaan, ia sebenarnya adalah cara JI untuk mendekati golongan belia dan ibu bapa. Dana yang dikumpulkan pula digunakan untuk membiaya operasi JI.

Related article image
Related article image

Buku-buku tentang taktik dan strategi ketenteraan yang dibeli para anggota JI untuk mempertingkat ilmu ketenteraan mereka

JI Singapura juga menubuhkan sebuah unit latihan dan keselamatan "Tajnid". Para anggotanya menyertai pelbagai latihan termasuk kaedah perang gerila dan cara mengendalikan senjata dan bahan ledakan, dengan ada yang diadakan di luar negara.

Ini termasuk sekurang-kurangnya 11 bekas tahanan JI Singapura yang pernah menjalani latihan di kem-kem Al-Qaeda di Afghanistan pada tahun-tahun 1990-an.

Related article image
Related article image

Antara senjata yang dirampas dari anggota-anggota JI. Ia digunkan semasa latihan melawan di hutan.

Menurut ISD, tumpuan JI terhadap pembangunan institusinya dan mengasah bakat pemimpin masa depan merupakan komponen penting yang menyumbang kepada daya tahan institusi JI itu sendiri.

Maka itu, ISD berpendirian bahawa penting untuk membongkar dan menjejaki seluruh rangkaian JI termasuk mereka yang sudah melarikan diri ke luar negara. Ini bagi memastikan tiada saki-baki anggota JI yang terlepas untuk membolehkan mereka menubuhkan kembali rangkaian JI yang baru.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita