20 penghuni Rumah Peralihan Pertapis golongan pesalah pertama raih manfaat kursus siri SHIOK
Seramai 20 penghuni Rumah Peralihan Pertapis (PHWH) diberi peluang menimba kemahiran pertukangan pada Khamis (1 Dis).
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
SINGAPURA: Seramai 20 penghuni Rumah Peralihan Pertapis (PHWH) diberi peluang menimba kemahiran pertukangan pada Khamis (1 Dis).
Bengkel timba kemahiran itu merupakan antara inisiatif di bawah siri PA SHIOK atas kerjasama Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (ECO) dengan Divisyen Kemahiran Hidup & Gaya Hidup Persatuan Rakyat dan PA MESRA.
Kursus bantu diri itu merupakan yang pertama dijalankan khas buat golongan pesalah, selepas siri kursus SHIOK dilanjutkan kepada keluarga banduan dan bekas banduan sekitar dua tahun lalu.
PELAJARI KEMAHIRAN BARU PERBAIKI PERALATAN ELEKTRONIK
"Hazim" bukan nama sebenar, 44 tahun, seringkali membuang barangan elektrik seperti kipas, mahupun televisyen yang rosak kerana fikirkan bahawa ia tidak boleh digunakan lagi.
Pandangannya itu namun berubah, selepas menghadiri bengkel pertukangan barangan elektrik tersebut.
Semasa bengkel yang diadakan selama dua jam itu, "Hazim" dan 19 lagi penghuni Rumah Peralihan Pertapis antaranya mempelajari cara-cara memasang plag elektrik dan menukar wayar yang rosak.

"Hazim berkata: "Sebelum kursus ini, pengetahuan saya tentang alat-alat elektrik, wayar, memang tidak ada. Saya rasa kursus ini membantu saya sebab mereka ajar kita bahaya arus elektrik, mana wayar "live", apa wayar "ground" dan sebagainya."
"Jadi pada masa depan saya boleh tolong memperbaiki barang-barang di rumah seperti kipas angin. Kursus ini juga membantu sebab apa yang mereka terangkan kepada kita, kita boleh memperbaiki barang-barang sendiri dan tidak kita membuang peralatan itu kerana ia seperti membazir," tambah "Hazim".

"Hazim" bersyukur kerana berpeluang menghadiri kursus tersebut yang menurutnya, bukan sekadar untuk mempertingkatkan kemahirannya sahaja.
"Saya rasa ini penting sebab ramai daripada kita apabila berintegrasi kembali dalam masyarakat, ia agak susah sebab kita akan fikir apa tanggapan masyarakat tentang kami. Jadi dengan menghadiri kursus seperti ini, kita ada kemahiran dan kita akan menjadi lebih berani dan yakin untuk melakukan perkara lain, hapuskan stigma kepada kita sebagai bekas banduan," jelas "Hazim".
KURSUS PERTINGKATKAN KEMAHIRAN DIRI BOLEH BUKA LEBIH BANYAK PELUANG UNTUK GOLONGAN PESALAH
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim turut hadir di bengkel itu bagi memberikan kata-kata perangsang buat para peserta.
Beliau mengalu-alukan sokongan tambahan buat golongan pesalah dan berharap agar mereka dapat mencari saluran untuk bina kerjaya menerusi program kemahiran itu.

Dr Faishal berkata: "Ini adalah salah satu daripada inisiatif yang kita lakarkan untuk menambahkan sokongan bagi para banduan di mana ada pendedahan kepada aspek-aspek kemahiran yang boleh mereka ketahui untuk mendapatkan pekerjaan dan membangunkan kerjaya."
Beliau juga berkongsi bahawa pemerintah dan badan-badan masyarakat akan terus melakarkan usaha untuk membantu golongan pesalah.
Dr Faishal berkata: "Kami berharap mereka boleh dapat masa depan lebih baik. Kami tahu proses pemulihan buat mereka bukan mudah, tetapi ia adalah penting untuk mereka mendapat sokongan dan daya untuk membangunkan kemahiran."

"Dengan adanya program seperti siri SHIOK oleh PA MESRA dengan kerjasama dengan MMO (badan-badan Melayu/Islam), ia mendatangkan kebaikan dalam kita memberi ruang pemulihan dan integrasi lebih baik kepada para banduan dan keluarga mereka," tambahnya.
Dalam pada itu, Ketua Rumah Peralihan Pertapis, Encik Muhammad Sufian Md Salim juga mengalu-alukan kursus kemahiran itu bagi merangsang para penghuninya untuk membuka minda dari segi pemulihan atau menimba ilmu yang boleh digunakan dalam pekerjaan mereka kelak.

"Kami merasakan jika para penghuni kami disediakan dengan kemahiran-kemahiran baru, mereka akan mempunyai keyakinan lebih tinggi di mana mereka dapat menggunakan ilmu baik untuk masa depan baik dan juga menampung ahli keluarga. Dengan proses ini, ia diharapkan mereka akan menghindari diri mereka daripada terjebak pada penggunaan dadah," kata Encik Sufian.
Menurut PA MESRA, lebih banyak kursus pelbagai bidang untuk golongan pesalah di bawah siri PA SHIOK sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.