Skip to main content

Singapura

20 penghuni RKM buat persembahan gamelan khas di akhir program mentor muzik ArtSee

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seramai 20 penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) bersama 10 mentor dari kumpulan Seni Persembahan Djoko Mangkrengg (DMPA) mengadakan persembahan kemuncak di Sekolah Kesenian Singapura (SOTA) pada Jumaat (13 Dis).

Konsert bertajuk 'A Symphony of Friendship' itu merupakan hasil program mentor muzik selama hampir dua tahun, anjuran badan seni ArtSee.

Menurut Penolong Ketua Kanan RKM, Encik Sheikh Anwarul Mohamad Sharif, program selama satu setengah tahun itu memerlukan komitmen tinggi, terutamanya untuk kanak-kanak RKM.

"Secara keseluruhannya, mereka menjalani lebih 40 sesi latihan yang memakan masa lebih 100 jam. Saya berharap pengalaman ini dapat memupuk pendidikan peribadi, termasuk sikap saling menghormati dan tanggungjawab sosial," ujar beliau.

Sebelum konsert kemuncak, peserta program turut membuat persembahan di beberapa acara lain.

"Antaranya adalah majlis penghargaan untuk mantan presiden Singapura. Ini memberi peluang kepada anak-anak RKM untuk berintegrasi dan menyumbang semula kepada masyarakat," tambah Encik Sheikh Anwarul.

Program muzik itu adalah sebahagian daripada pendekatan holistik untuk penghuni RKM.

Melalui inisiatif sebegitu , Encik Sheikh Anwarul berharap mereka dapat menghayati cogan kata 'menjadi insan lebih baik', bukan hanya semasa di RKM, tetapi sepanjang hayat mereka.

SAMBIL MENYELAM MINUM AIR; BELAJAR MAIN MUZIK, DAPAT 'RAKAN-RAKAN' BAHARU

Salah seorang penghuni RKM yang terlibat, ‘Fakriy’ – bukan nama sebenar sangat teruja dengan program itu kerana dapat menimba kemahiran baharu.

Semasa persembahan satu setengah jam itu, Fakriy gembira memainkan dram dengan alunan muzik yang harmoni.

“Sebelum ini, saya tidak pernah tahu saya boleh bermain alat muzik. Tetapi dengan bimbingan ArtSee dan DMPA, saya kini boleh bermain,” kata Fakriy, 15 tahun.

Fakriy turut merasakan bahawa program tersebut membantunya menjadi lebih matang dan berdisiplin.

“Program ini sangat berguna bagi saya dan rakan-rakan kerana ia mengajar kami untuk lebih fokus, disiplin, dan mendengar arahan,” ujar Fakriy.

“Melalui program ini, saya diberi kepercayaan untuk menjadi ketua rakan-rakan lain. Ia mengajar saya untuk lebih sabar, bekerjasama, dan membantu antara satu sama lain. Pengalaman ini membuatkan saya lebih yakin,” tambah Fakriy.

Sepanjang latihan sejak Jun 2023, Fakriy dan rakan-rakannya mendapat bimbingan daripada jurulatih DMPA seperti Encik Muhammad Razin Mohamed, 34 tahun.

Encik Razin melahirkan rasa gembira melihat perubahan dari segi kemahiran muzik kanak-kanak RKM yang terlibat dalam program itu.

“Daripada awalnya ada yang tidak suka bermain, malah ada yang dipaksa. Tetapi selepas melihat rakan-rakan bermain, mereka juga mula tertarik. Kini, mereka lebih selesa,” ujar Encik Razin.

Lebih penting lagi, Encik Razin dan anggota DMPA berperanan sebagai mentor kepada kanak-kanak RKM.

Beliau mengakui merasa gementar pada permulaan program itu.

“Saya rasa gementar kerana tidak tahu bagaimana melayan anak-anak RKM. Mereka datang dari latar belakang yang berbeza, yang kita tidak tahu. Kami juga mengikuti kursus mentor, di mana kami belajar cara untuk mendampingi mereka.”

“Kami telah melihat keyakinan mereka meningkat. Ia sesuatu yang membanggakan. Daripada awalnya rendah keyakinan diri, kini kami dapat melihat perbezaannya,” jelas Encik Razin.

Selepas lebih setahun meluangkan masa bersama, hubungan antara para mentor dan kanak-kanak RKM semakin erat.

Encik Razin berkata, “Daripada pertama kali berjumpa, memang mereka malu-malu. Tetapi setelah hampir dua tahun latihan bersama, mereka menjadi lebih terbuka. Ada yang menghadapi masalah, penat, atau sedih. Kini, mereka secara semula jadi datang kepada kami, berkongsi masalah mereka. Hubungan ini jadi lebih selesa.”

Beliau berharap agar kanak-kanak RKM terus mengamalkan nilai-nilai yang dipelajari, membawa impak positif dalam kehidupan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita