Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

20% pemilik flat SERS Ang Mo Kio sudah buat permohonan bagi flat baru

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 20 peratus pemilik rumah di Ang Mo Kio yang blok mereka akan dibangunkan semula, sudah membuat permohonan bagi flat baru di bawah latihan peruntukan flat Mei dan Ogos. 

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Jumaat (16 Sep). 

Pada April, para penduduk di Blok 562 hingga 565 di Ang Mo Kio Avenue 3 diberitahu bahawa flat mereka dipilih bagi Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS). 

SERS yang dilancarkan pada 1995, adalah sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk memperbaharui estet-estet perumahan lama. Di bawah skim berkenaan, penduduk akan diberi pilihan membeli rumah baru berdekatan, sementara tapak lama itu dibangunkan semula. 

Selain membeli flat baru di tapak ganti, pemilik flat SERS juga boleh mengambil bahagian dalam latihan flat HDB Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF), membeli flat daripada pasaran terbuka flat HDB, atau membeli flat jualan semula, menurut HDB. 

Pemilik flat SERS di Ang Mo Kio Avenue 4 boleh membuat permohonan bagi tujuh projek BTO yang dilancarkan pada Mei dan Ogos dengan faedah penempatan SERS dan diberi keutamaan, dengan 10 peratus bekalan flat diperuntukkan bagi mereka. 

Tujuh projek tersebut adalah Lakeside View, Yishun Beacon dan Kim Keat Heights, yang ditawarkan sewaktu latihan BTO pada Mei, serta Central Weave @ AMK, Keat Hong Grange, Woodlands South Plains dan Sun Plaza Spring yang dilancarkan pada Ogos. 

Setakat ini, 117 daripada 606 pemilik flat SERS di Ang Mo Kio sudah membuat permohonan bagi flat baru di bawah latihan BTO atau SBF pada Mei atau Ogos 2022, menurut HDB pada Jumaat (16 Sep) semasa menjawab pertanyaan media. 

Daripada kumpulan ini, 107 pemilik rumah membuat permohonan bagi flat BTO di enam daripada tujuh projek, tidak termasuk Keat Hong Grange. 

Sebanyak 10 pemilik rumah membuat permohonan bagi flat SBF, yang termasuk unit-unit BTO yang dilancarkan dahulu tetapi tidak terjual, baki flat projek SERS dan flat-flat lain yang dibeli semula HDB. 

Daripada 94 pemilik rumah yang membuat permohonan sewaktu latihan BTO pada Ogos, 85 mendaftar bagi flat di Central Weave @ AMK. 

"Kira-kira sembilan daripada 10 pemohon berada dalam 10 peratus kuota keutamaan yang diperuntukkan, yang bermakna sebilangan besar pemilik rumah flat SERS akan berjaya dalam permohonan mereka," menurut HDB. 

Selain Central Weave @ AMK, permohonan juga melebihi jumlah unit yang diperuntukkan bagi pemohon SERS di Woodlands South Plains. 

Namun, HDB menyatakan bahawa mereka yang mendapat nombor dalam kuota 10 peratus itu akan menerima satu lagi peluang untuk dipertimbangkan bersama pemohon-pemohon awam. 

Proses undi sedang berlangsung, dan HDB akan memaklumkan kepada pemohon mengenai keputusannya pada hujung September. 

Pemilik-pemilik flat SERS yang tidak berjaya dalam proses pemilihan berkenaan masih boleh membuat permohonan bagi flat-flat baru di tempat lain dalam latihan BTO dan SBF akan datang atau di pasaran terbuka, menurut HDB.

Mereka juga diberi pilihan untuk membeli flat baru di tapak ganti yang ditetapkan, atau membeli flat jualan semula. 

"HDB akan terus memberi sokongan khusus buat semua pemilik flat SERS dan memberi bimbingan tentang pilihan-pilihan penempatan yang sedia ada, supaya mereka boleh membuat pilihan yang paling sesuai dengan keperluan dan peruntukan mereka," menurut HDB. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan