20 pelajar SG terkandas 42 jam di Doha selamat tiba di tanah air
Perasaan lega jelas terpancar pada wajah ahli keluarga sebaik sahaja 20 pelajar Singapura yang terkandas di Doha selamat tiba di Dewan Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Changi petang tadi (Rabu, 25 Jun).
Rakaman kelegaan kalangan pelajar dari dua universiti di Jordan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Mereka merupakan pelajar Universiti Yarmouk di Irbid dan Universiti Jordan di Amman, yang baru sahaja menamatkan peperiksaan akhir dan pulang ke tanah air sempena cuti musim panas selama tiga bulan.
Ketibaan mereka di Terminal 1 sekitar jam 6 petang disambut penuh kelegaan oleh ahli keluarga yang sudah lama menanti, namun para pelajar hanya muncul di dewan ketibaan sekitar jam 7.05 malam.
Menurut mereka, keadaan di lapangan terbang Doha penuh ketidakpastian apabila tiada maklumat jelas diberikan mengenai penerbangan pengganti, memaksa mereka menunggu dalam keadaan tidak menentu.
Antara yang ditemui BERITA Mediacorp ialah Raja Nur Syakirah Raja Muzaffar Shah, 20 tahun, penuntut tahun pertama jurusan Syariah di Universiti Yarmouk.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan lega kerana Allah mengizinkan kami akhirnya sampai dengan selamat selepas 42 jam perjalanan.
“Sepatutnya perjalanan hanya mengambil masa 22 jam, tetapi disebabkan transit di Madinah dan menunggu selama 20 jam di Doha, ia menjadi hampir dua hari. Banyak perkara menjejaskan masa kami, dan semuanya jadi tertangguh," kongsinya.
Tambah Syakirah, mereka langsung tidak menerima sebarang maklumat rasmi sepanjang tempoh menunggu.
“Semasa menunggu pun, kami tidak menerima sebarang maklumat atau perkembangan daripada pihak tempatan. Jadi kami hanya duduk dan menunggu di musolla… tunggu dan terus menunggu.”
“Selepas 20 jam di Doha, barulah kami menerima pengumuman bahawa penerbangan kami akan bergerak pada jam 2.30 pagi. Tapi kemudian ditunda lagi ke 6.30 pagi, dan akhirnya ke 2.30 pagi keesokan harinya. Tempoh menunggu itu memang sangat panjang. Masya-Allah. Tapi Alhamdulillah, kami semua selamat. Itu yang paling penting.”
“Sebelum berlepas, kami lihat laman Instagram syarikat penerbangan ditutup. Bila ia tutup, barulah kami benar-benar diterbangkan. Kami tertanya-tanya apa yang berlaku, kemudian nampak pula kemas kini tentang kejadian yang berlaku di rantau itu.”
“Memang hati rasa sangat tak tenteram. Internet pun tidak stabil, jadi kami serahkan segalanya kepada Allah. Alhamdulillah, akhirnya kami tiba juga di Singapura.”
Walaupun letih, Syakirah tetap positif dan bersedia menyambung pengajiannya selepas cuti musim panas.
“Insya-Allah, kami akan pulang semula ke Jordan pada bulan Oktober. Jika ada apa-apa halangan, kami akan lihat apa langkah seterusnya. Tapi buat masa ini, Insya-Allah kami akan kembali pada bulan Oktober nanti,” ujarnya.
IBU PUJI KESABARAN ANAK-ANAK TERKANDAS DI DOHA
Ibunya, Ustazah Saadiah Mohamed Habib, meluahkan rasa syukur dan kelegaan apabila anak dan pelajar lain selamat tiba di tanah air selepas menghadapi pengalaman penuh cabaran.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah Ta'ala kerana mereka telah selamat kembali. Beberapa hari kami berdebar-debar dengan keadaan mereka di sana. Hari ini, mereka diberi Allah satu jalan selamat sampai ke pangkuan keluarga masing-masing. Saya rasa begitu gembira, Alhamdulillah.”
Menurutnya, anaknya dan rakan-rakan yang turut terkandas menunjukkan kesabaran dan ketenangan sepanjang menunggu di lapangan terbang Doha.
“Setelah mereka berada lebih 40 jam di sana menanti dengan penuh kesabaran, saya amat gembira kerana mereka begitu sabar dan tenang. Itu membuat kami rasa senang. Mereka menunjukkan ketenangan di sana.”
Beliau juga berharap agar pengalaman getir itu menjadi pengajaran dan kekuatan buat anak-anak muda tersebut.
“Apa yang saya harapkan kepada anak-anak ini semua, agar mereka tidak berputus asa dengan apa yang mereka lihat dan alami.”
“Semoga pengalaman yang mereka lalui ini menjadikan mereka semakin kuat, semakin sabar dan semakin bersyukur dengan apa yang mereka ada hari ini,” kata beliau.
DR FAISHAL SYUKUR PELAJAR SELAMAT PULANG
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut melahirkan rasa syukur atas keselamatan semua pelajar Singapura yang terkandas di Timur Tengah, yang akhirnya selamat tiba di tanah air.
“Saya rasa gembira pelajar yang belajar di Timur Tengah juga dapat pulang dengan selamat ke Singapura,” kata Dr Faishal yang menunggu ketibaan mereka di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.
Beliau mengajak semua pihak mendoakan keselamatan dan kedamaian di rantau tersebut serta menjaga kemaslahatan masyarakat di Singapura.
“Jadi sama-sama kita doakan keselamatan kepada rakan-rakan kita di sana. Dan saya harap sama-sama kita berikan nasihat dan kita doakan kedamaian di dunia ini serta sama-sama menjaga kemaslahatan masyarakat kita di Singapura.”
Dr Faishal turut mengingatkan rakyat Singapura agar sentiasa mematuhi nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri.
“Kami amat prihatin terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah. Kami menasihatkan semua rakyat Singapura supaya sentiasa mengikuti nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar dan menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke kawasan yang terjejas,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.