Skip to main content

Singapura

20 kes baru COVID-19 di S'pura, termasuk 1 jangkitan dalam masyarakat

Singapura melaporkan 20 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (26 Sep), dengan satu jangkitan dalam masyarakat melibatkan seorang pemegang pas kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
20 kes baru COVID-19 di S'pura, termasuk 1 jangkitan dalam masyarakat

Orang ramai memakai pelitup di Tanjong Katong Road. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 26 Sep 2020 03:48PM Dikemas Kini : 26 Sep 2020 11:38PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 20 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (26 Sep), dengan satu jangkitan dalam masyarakat serta lima kes import.

Satu-satunya kes jangkitan dalam masyarakat hari ini seorang pemegang pas kerja warga India berusia 40 tahun. Beliau tidak menunjukkan gejala dan tiada kaitan dengan kes sebelum ini.

Pekerja itu dikesan menerusi ujian rutin pihak berkuasa ke atas pekerja di sektor binaan, marin dan pemprosesan yang tinggal di luar dormitori.

Lima kes import yang dicatatkan terdiri daripada tiga pemegang permit kerja, seorang pemegang pas kerja dan seorang pemegang pas tanggungan.

Mereka pulang dari India, Indonesia, Brazil dan Filipina. Semuanya dikenakan notis jangan keluar rumah sebaik tiba di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Baki 14 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di dormitori. Tujuh daripadanya sudah dikuarantin kerana dikenalpasti sebagai kenalan rapat kes sebelumnya. Baki tujuh lagi dikesan menerusi ujian pengawasan.

Semua kes yang dilaporkan hari ini tidak mengalami gejala, kata MOH.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini menjadi 57,685.

MOH menyatakan secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat kekal stabil pada purata kurang daripada satu kes sehari sejak dua minggu lalu.

Jumlah kes yang tiada kaitan dalam masyarakat juga kekal stabil pada purata kurang satu kes sehari dalam dua minggu kebelakangan ini.

KEMAS KINI KES YANG DISAHKAN

MOH menyatakan lagi 19 pesakit COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhannya, 57,359 telah pulih sepenuhnya dari jangkitan dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Kini terdapat 25 kes yang disahkan yang masih di hospital. Kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan tiada yang berada di unit jagaan rapi.

274 lagi kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat, terdiri daripada mereka yang menunjukkan gejala ringan, atau secara klinikal adalah sihat tetapi masih positif untuk COVID-19.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan pada Jumaat bahawa pekerja asing yang tinggal di dormitori kini akan menjalani pendekatan kuarantin yang lebih disasarkan untuk mencegah penularan COVID-19, dalam usaha untuk mengurangkan gangguan kerja dan memastikan langkah-langkah lebih bertahan lama.

Pekerja kini boleh dikuarantin berdasarkan aras atau bahagian bangunan dan bukannya keseluruhan blok, kata MOM pada Jumaat.

Kementerian itu juga menyatakan pekerja yang sudah pulih dan dalam 150 hari sejak jangkitan mereka tidak akan dikuarantin.

Jumlah kes harian jangkitan COVID-19 di Singapura dalam lingkungan 11 hingga 31 minggu ini.

Pada Rabu, pihak berkuasa mengumumkan bahawa lebih banyak sekatan COVID-19 akan dilonggarkan mulai Oktober.

Mulai 1 Oktober, dewan-dewan pawagam besar dengan lebih 300 tempat duduk akan dibenarkan untuk menempatkan hingga tiga zon maksimum dengan 50 penumpang dalam setiap zon.

Dewan panggung wayang lain akan dibenarkan untuk menambah sehingga 50 peratus kapasiti operasi asalnya, atau mengekalkan had sekarang hingga 50 penonton setiap dewan, tertakluk kepada langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Sekatan untuk upacara keagamaan dan majlis perkahwinan juga akan dilonggarkan mulai 3 Oktober. Sehingga 100 orang dibenarkan hadir dalam upacara keagamaan dan majlis perkahwinan, berbanding had 50 orang sekarang.

Pihak berkuasa juga sedang mempertimbangkan percubaan untuk meningkatkan had perhimpunan keagamaan hingga 250 orang, terbahagi kepada lima zon dengan 50 orang setiap satu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita