2 warga Singapura ditahan di bawah ISA, ingin serta ISIS di Syria
Dua warga Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mahu ke Syria untuk menyertai kumpulan militan ISIS, menurut Kementerian Ehwal Dalam negeri (MHA) pada Khamis (25 Jul).
SINGAPURA: Dua warga Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mahu ke Syria untuk menyertai kumpulan militan ISIS, menurut Kementerian Ehwal Dalam negeri (MHA) pada Khamis (25 Jul).
Kenyataan media penuh kementerian tersebut diterjemahkan seperti berikut:
Dalam dua kes berasingan, warga Singapura Kuthubdeen Haja Najumudeen (Haja) dan Suderman bin Samikin (Suderman) masing-masing ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) pada Mei dan Julai 2019. Siasatan mendapati kedua-duanya menjadi radikal dan merancang untuk ke Syria untuk menganggotai kumpulan pengganas ISIS.
KUTHUBDEEN HAJA NAJUMUDEEN
Haja, pengurup wang berlesen berusia 36 tahun, adalah pengikut pendakwah radikal Sri Lanka, Zahran Hashim (Zahran). Zahran dikenal pasti pihak berkuasa Sri Lanka sebagai dalang dan salah seorang pengebom nekad yang terlibat dalam serangan pengganas di Sri Lanka pada 21 April 2019 yang meragut lebih 250 nyawa dan mencederakan lebih 500 lagi.
Sejak 2011, Haja mendengar syarahan agama Zahran secara online dan kerap menghubunginya bagi panduan agama. Antara Mei 2015 hingga Oktober 2016, Haja membuat tiga lawatan ke Sri Lanka untuk mengunjungi Zahran. Dia menyumbang dana kepada Zahran dan kumpulannya, National Thowheed Jamaath atau Jamaath Thowheed Nasional (NTJ).
Siasatan tidak menunjukkan bahawa Haja terlibat atau mempunyai sebarang pengetahuan mengenai serangan pengganas pada 21 April 2019 di Sri lanka.
Pada 2013, Haja menunjukkan minat terhadap ISIS apabila menemui berita tentang kumpulan itu secara online. Dia menyokong kepimpinan ISIS dan perjuangan ganasnya. Dia turut mencari rakaman video berhubung ISIS dan serangan pengganas, termasuk rakaman video kumpulan itu memenggal kepala dan serangan pengganas di Paris, Perancis pada November 2015.
Haja menyimpan hasrat untuk menganggotai perjuangan bersenjata di Syria. Sejak 2015, dia mula menyelidik secara mendalam secara online berhubung rancangannnya untuk berhijrah ke Syria bagi menyertai ISIS, namun bertukar fikiran untuk ke sana kerana takut dibunuh atau cedera di sana. Sokongannya terhadap ISIS bagaimanapun berterusan sehingga dia ditangkap pada Mei 2019.
SUDERMAN BIN SAMIKIN
Suderman, seorang bekas pembantu penghantaran 47 tahun, menjadi radikal selepas menemui syarahan oleh Anwar al-Awlaki (peneraju ideologi Al-Qaeda yang sudah meninggal dunia) dan propaganda ISIS sekitar 2013 semasa sedang mencari maklumat berhubung konflik Syria. Dia kemudian terpengaruh dengan ideologi ganas ISIS dan pada Februari 2014 sudah bersedia untuk menyertai perjuangan bersenjata bersama ISIS di Syria. Dia percaya akan mati syahid jika berbuat demikian.
Pada April 2014, Suderman menyertai sebuah kumpulan Facebook pro-ISIS yang dilaporkan ditubuhkan oleh seorang anggota ISIS di Syria. Suderman secara kerap mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk menganggotai ISIS dan dirujukkan kepada sumber-sumber online di mana dia belajar tentang laluan perjalanan ke Syria.
Dia juga mula berhubungan dengan elemen-elemen pro-ISIS menerusi kumpulan itu. Dia turut bersedia untuk membantu apabila dua daripada mereka ingin melawat Singapura untuk membeli seragam taktikal bagi pertempuran mereka di Syria. Namun lawatan itu tidak menjadi.
Suderman juga menawarkan satu daripada dua kenalan pro-ISIS itu bantuan kewangan untuk berjuang di Syria. Sebagai balasan, kedua-dua mereka menjemput Suderman untuk menyertai satu kumpulan pro-ISIS di luar negara.
Dari Julai 2014 hingga Jun 2019, Suderman dipenjara atas kesalahan dadah. Semasa di penjara, dia masih memendam niat untuk menyertai ISIS. Dia ditahan di bawah ISA selepas keluar penjara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.