Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 warga SG yang jadi radikal sendiri dibebaskan dari tahanan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua warga Singapura yang menjadi radikal dibebaskan daripada ditahan pada Julai lalu selepas mereka menunjukkan kemajuan baik semasa menjalani tempoh pemulihan mereka.

Demikian menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Khamis (30 Nov).

Kedua-dua lelaki tersebut dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan pencegahan, tambah ISD.

Lelaki pertama itu, Suderman Samikin, 51 tahun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2019 kerana merupakan seorang "penyokong tegar" kumpulan ISIS dan bahkan, merancang untuk melakukan perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan tersebut.

Beliau juga berhubungan dengan anggota yang menyokong ISIS dari luar negara melalui kumpulan Facebook dan bersedia untuk membantu apabila kedua-dua mereka ingin mengunjungi Singapura untuk membeli "pakaian taktikal", nyata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 2019. Lawatan tersebut bagaimanapun tidak dijalankan.

Suderman malah menawarkan bantuan kewangan untuk bertempur di Syria kepada salah seorang daripada individu yang saling berhubungan dengannya. Kedua-dua mereka kemudian menjemputnya untuk menyertai sebuah kumpulan yang menyokong ISIS dari luar negara, yang mana mereka turut terlibat sama.

Dari Julai 2014 hingga Jun 2019, Suderman dipenjara gara-gara mengambil dadah. Ketika dia berada di penjara, dia terus menyimpan niat untuk menyertai ISIS. Dia diberkas di bawah ISA sejurus selepas dibebaskan.

Lelaki kedua yang dibebaskan pada Julai lalu ialah Mustafa Sultan Ali, 60 tahun, yang melakukan perjalanan ke Turki pada Jun 2015 dengan hasrat untuk merentas ke Syria supaya dapat menyertai ISIS.

Dia telah mengambil laluan perjalanan berkenaan dengan harapan dapat menyembunyikan perjalanannya itu daripada dijejaki, menurut MHA pada 2015.

"Siasatan menunjukkan bahawa Mustafa benar-benar menjadi radikal disebabkan ideologi pengganas ISIS dan ideologi radikal lain yang ditemuinya dalam talian," kata kementerian itu.

"Dia telah pergi ke Turki dan cuba melakukan perjalanan ke Syria untuk mengambil bahagian dalam keganasan bersenjata dengan bertempur bersama ISIS."

Dia diberkas oleh pihak berkuasa Turki, dihantar pulang ke Singapura dan kemudian ditahan di bawah ISA pada Julai 2015.

Kedua-dua lelaki terbabit dibebaskan atas perintah sekatan.

Seseorang yang dikenakan perintah sekatan dikehendaki mematuhi beberapa syarat dan sekatan. Misalnya, mereka dilarang menukar alamat mahupun pekerjaan, atau tidak boleh melakukan perjalanan keluar dari Singapura tanpa kebenaran pengarah ISD.

Mereka juga tidak dibenarkan mengakses Internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, berucap semasa perjumpaan awam atau mencetak, mengagihkan atau menyumbang kepada sebarang penerbitan tanpa kebenaran pengarah ISD.

PERINTAH SEKATAN BERAKHIR

Empat warga Singapura juga dibebaskan daripada arahan sekatan tahun ini sejurus tempoh tersebut berakhir. Mereka menunjukkan kemajuan yang baik semasa menjalani tempoh pemulihan mereka, menurut ISD.

Yang pertama ialah Mohamed Fairuz Junaidi, 43 tahun. Dia menyokong ISIS dan telah mempertimbangkan melakukan perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan itu. Dia diberikan perintah sekatan pada Mac 2019, dan ia dijadual berakhir pada bulan Mac.

Yang kedua adalah Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari, yang berusia 28 tahun. Dia menyokong kumpulan ISiS dan bersedia untuk menjalani latihan serta terlibat dalam pertempuran bersenjata dengan kumpulan itu di Syria. Dia ditahan pada Jun 2017 dan dibebaskan di bawah perintah sekatan pada Jun 2019. Tempoh tersebut berakhir pada bulan Jun.

Amiruddin Sawir yang berusia 60 tahun, terlibat dalam konflik bersenjata di Yaman ketika dia menuntut di sana antara 2013 dan 2015. Dia ditahan pada Ogos 2015 dan dibebaskan dengan perintah sekatan kira-kira dua tahun kemudian. Perintah sekatannya dibenarkan berakhir pada bulan Ogos.

Abu Thalha Samad, 32 tahun, merupakan bekas anggota Jemaah Islamiyah yang ditahan pada September 2017 selepas diusir dari sebuah negara serantau. Dia dibebaskan di bawah perintah sekatan pada September 2019 dan perintah itu dibenarkan berakhir pada bulan September.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan