2 warga S'pura yang dulu radikal kini dibebaskan, tempoh RO terhadap 6 individu dibenar luput
Dua rakyat Singapura yang dulu menjadi radikal sendiri kini dibebaskan.
Gambar hiasan. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Dua rakyat Singapura yang dulu menjadi radikal sendiri kini dibebaskan.
Demikian menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataan media hari ini (14 Dis).
Mereka ialah Muhammad Shamin Mohamed Sidek, 35 tahun, dan Mohamed Omar Mahadi, 38 tahun.
Shamin ditahan pada tahun 2015 manakala Omar pada tahun 2016.
Shamin dibebaskan pada Ogos lalu di bawah Perintah Tahanan (RO).
"Dia merupakan penyokong tegar ISIS di Iraq dan Syria dan sanggup berjuang dan mati demi kumpulan itu," menurut ISD.
Omar juga dibebaskan pada Ogos lalu di bawah Arahan Penggantungan (SD).
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menyatakan mereka menunjukkan kemajuan baik dalam proses pemulihan.
Atas alasan yang sama, RO terhadap enam lagi tahanan dibenarkan luput antara Jun dengan November lalu.
Mereka adalah Mohamad Rizal Wahid, 41 tahun; Shakirah Begam Abdul Wahab, 27 tahun; Mohammad Razif Yahya, 33 tahun; Muhammad Harith Jailani, 24 tahun; Adzrul Azizi Bajuri, 23 tahun; Munavar Baig Amina Begam, 42 tahun.
Rizal dikenakan RO pada Jun 2017 yang dibenarkan luput pada Jun 2021.
Dia ditahan kerana menyokong rancangan bekas rakan sekerjanya untuk melibatkan diri dalam keganasan bersenjata di luar negara.
Shakirah, Razif dan Harith dikenakan RO pada Ogos 2017 yang dibenarkan luput pada Ogos 2021.
Shakirah ditahan kerana dia merupakan kontak kepada pengganas asing di Syria.
Razif pula terbabit dengan konflik bersenjata di Yaman. Dia ditahan pada Ogos 2015 dan dibebaskan di bawah SD pada Oktober 2017 sebelum dikenakan RO pada Ogos 2017.
Harith menjadi radikal sendiri dan membuat persiapan untuk menyertai dan berperang demi ISIS di Syria. Dia ditahan pada Ogos 2015 dan dibebaskan di bawah RO pada Ogos 2017.
Adzrul Azizi pula dikenakan RO pada September 2017 yang dibenarkan luput pada September 2021.
Adzrul Azizi merupakan individu yang menjadi radikal sendiri yang menyokong ISIS dan mempertimbangkan untuk menyertai kumpulan itu di Syria.
Munavar dikenakan RO pada November 2019 yang dibenarkan luput pada November 2021.
Munavar adalah individu yang menjadi radikal sendiri yang menyokong ISIS dan ingin melakukan perjalanan ke Syria bagi menyertai kumpulan itu. Dia ditahan pada November 2017 dan dibebaskan di bawah SD pada Julai 2018.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.