Skip to main content

Singapura

2 warga S'pura radikal ditahan di bawah ISA

Dua lelaki rakyat Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas pelibatan mereka dalam kegiatan-kegiatan yang ada kaitan dengan pengganasan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
2 warga S'pura radikal ditahan di bawah ISA

Ahli perniagaan Singapura Mohamed Kazali Salleh diberkas polis Malaysia. (Gambar: Divisyen Antipengganasan Malaysia)

Diterbitkan : 15 Feb 2019 12:50PM Dikemas Kini : 16 Feb 2019 12:35AM

SINGAPURA: Dua lelaki rakyat Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas pelibatan mereka dalam kegiatan-kegiatan yang ada kaitan dengan pengganasan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (15 Feb).

Mohamed Kazali Salleh dan Hazim Syahmi Mahfoot ditahan pada Januari.

Menurut kenyataan media MHA, Kazali, seorang ahli niaga berusia 48 tahun yang berpangkalan di Malaysia, adalah kenalan rapat militan ISIS warga Malaysia yang berpangkalan di Syria, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin @ Akel Zainal.

"Akel dipercayai adalah pejuang ISIS warga Malaysia paling kanan di Syria dan dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas dua pakatan serangan di Malaysia yang ada kaitan dengan ISIS," tambah MHA.

Apabila Akel memutuskan untuk berjuang di Syria pada lewat 2013, Kazali memberikannya bantuan kewangan untuk menampung kos perjalanannya. Kazali juga mengikrarkan taat setia kepada ketua ISIS Abu Bakr Al-Baghdadi, dedah MHA.

"Pada Disember 2018, Kazali menerima arahan daripada Akel untuk melancarkan serangan ke atas sebuah pusat Freemasons di Johor Bahru, Malaysia, namun dia tidak melaksanakannya kerana takut akan ditangkap pihak berkuasa," menurut kementerian itu lagi.

Hazim, 28 tahun, seorang pengeksport kereta bebas di Singapura, bertemu dengan Kazali pada Mei 2018 di sini.

"Mereka mempunyai urusan perniagaan yang kemudian bertukar menjadi persahabatan. Hazim terpengaruh dengan pemikiran radikal Kazali.

"Hazim yang terpengaruh dengan Kazali turut diyakinkan oleh Kazali bahawa dia patut berjuang dengan mengangkat senjata terhadap apa yang disifatkan sebagai musuh agamanya, terutamanya orang bukan Islam," menurut MHA.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura dan Cawangan Khas Malaysia (MSB) saling bekerjasama untuk mengawasi dan menyiasat kegiatan Kazali yang ada kaitan dengan pengganasan serta hubungannya dengan Akel.

Kazali diberkas di Malaysia oleh para pegawai MSB pada Disember 2018 dan dihantar pulang ke Singapura dan diserahkan kepada ISD pada 7 Januari 2019. Dia ditangkap dan dikenakan Perintah Tahanan (OD) di bawah ISA.

Hazim kemudian ditangkap di Singapura dan dikenakan OD pada bulan lalu.

"Kes-kes ini menunjukkan bahaya radikalisme rakyat Singapura di luar negara dan bagaimana ia boleh menjejas Singapura. Ancaman ekstremisme memang tidak mengenal sempadan," tegas MHA.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita