Skip to main content

Singapura

2 warga Malaysia terlibat kemalangan di SG, seorang di ICU

Anggaran Waktu Membaca:
2 warga Malaysia terlibat kemalangan di SG, seorang di ICU

(Gambar hiasan: Saeed Khan/AFP)

Diterbitkan : 20 Nov 2024 09:12AM
SINGAPURA: Dua rakyat Malaysia sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura selepas motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Ekspreswe Seletar (SLE), pada Isnin (18 Nov) malam.

Pembonceng motosikal, Muhammad Hairul Nizam Soyod, 35 tahun, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Khoo Teck Puat, manakala rakannya Hanafi Mis'adi, 23 tahun, patah kaki kiri dan menerima rawatan di wad biasa hospital sama.

Kakak kepada Muhammad Hairul Nizam, Khariol Kamariah Soyod, 40 tahun, berkata kedua-dua mangsa yang bekerja di kedai nasi ayam di Yishun dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, dipercayai gagal mengelak daripada treler yang masuk secara tiba-tiba ke laluan mereka.

Dia berkata adiknya kini sedang menjalani pembedahan kali kedua bagi menghentikan pendarahan dalaman akibat kecederaan serius di bahagian pinggul.

“Saya difahamkan adik saya cedera teruk di bahagian pinggul selepas dilanggar tayar lori. Buat masa ini, saya hanya dimaklumkan kedua-dua tulang pinggul dia patah dan perlu menjalani pembedahan kali kedua akibat pendarahan yang serius.

“Doktor maklumkan akan kongsi lebih lanjut selepas selesai pembedahan nanti,” katanya kepada Bernama.

Khariol Kamariah berkata isteri dan anak lelaki Muhammad Hairul Nizam yang berusia dua tahun masih belum dapat melawat mangsa kerana tiada pasport.

“Kebetulan saya juga bekerja di tempat yang sama dengan adik saya. Jadi buat masa ini hanya saya mewakili keluarga untuk jaga dan lawat dia di sini,” katanya.

Sementara itu, pihak polis ketika dihubungi berkata pemandu trailer terbabit ditahan kerana memandu dengan cuai dan mengakibatkan kecederaan parah berikutan kemalangan itu. Polis masih lagi melakukan siasatan.

 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita