Skip to main content

Singapura

2 warga Malaysia diberkas setelah perdaya mangsa beli emas lebih S$412,000

Dua lelaki warga Malaysia berusia 22 dan 38 tahun diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan penyamaran berasingan sebagai pegawai pemerintah yang menyasarkan seorang wanita.
Anggaran Waktu Membaca:
2 warga Malaysia diberkas setelah perdaya mangsa beli emas lebih S$412,000
Pas kakitangan palsu yang digunakan oleh penipu dalam kes penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Diterbitkan : 10 Nov 2025 10:40AM
SINGAPURA: Dua lelaki warga Malaysia berusia 22 dan 38 tahun diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan penyamaran berasingan sebagai pegawai pemerintah yang menyasarkan seorang wanita.

Polis menyatakan pada Ahad (9 Nov) mereka menerima laporan penipuan dua hari sebelumnya melibatkan suspek yang menyamar sebagai pegawai pemerintah didakwa daripada Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa bekerja bagi sebuah bank.

Apabila dimaklumkan bahawa sebuah kad kredit dimohon di bawah namanya, beliau menafikannya.

Panggilan itu kemudian diserahkan kepada penyamar yang berpura-pura sebagai wakil MinLaw dan MAS.

Mereka memaklumkan kepada mangsa bahawa beliau terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram.

Mereka menunjukkan pas kakitangan palsu dan dokumen sokongan lain melalui WhatsApp kepada mangsa, sebelum mengarahkannya untuk memindahkan wang S$1 juta daripada salah satu akaun bank ke dalam kad kreditnya.

Mangsa kemudian diarahkan untuk membeli emas bernilai lebih S$412,000 dari Mustafa Centre menggunakan kad kredit yang sama, sebelum menyerahkannya kepada individu yang tidak dikenali pada hari yang sama.

Wanita itu membuat aduan polis setelah menyedari sesuatu yang mencurigakan.

Polis mengenal pasti pemanggil yang tidak dikenali itu sebagai seorang lelaki berusia 38 tahun selepas hasil soal siasat orang ramai dan siasatan lanjut, dan dia diberkas apabila dia memasuki semula Singapura pada Sabtu.

Mereka kemudian menentukan bahawa seorang lelaki berusia 22 tahun didakwa terbabit dalam kes-kes serupa di Singapura dan dia diberkas secara berasingan pada hari yang sama.

"Kedua-dua lelaki didakwa diupah oleh individu tidak dikenali, dipercayai sebahagian daripada sindiket skim penipuan transnasional untuk mengambil wang tunai dan barang berharga daripada mangsa-mangsa kes penipuan," menurut polis.

Kedua-dua lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin dan jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, dikenakan denda maksimum sebanyak S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Rang Undang-Undang Jenayah (Pelbagai Pindaan), penipu dan individu yang merekrut atau menyertai sindiket penipuan boleh dikenakan antara enam hingga 24 kali sebatan rotan.

Polis menambah terdapat trend peningkatan warga Malaysia yang datang ke Singapura untuk membantu dalam sindiket penipuan untuk mengumpul wang tunai, emas dan barang berharga daripada mangsa-mangsa skim penipuan.

Pada separuh pertama 2025, terdapat 19,665 kes penipuan dilaporkan, dengan jumlah kerugian mencecah S$456 juta.

Menurut statistik polis, lima jenis penipuan utama adalah penipuan pancingan data (phishing), penipuan e-dagang, penipuan tawaran pekerjaan, penipuan pelaburan dan penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah.

Kesemua lima kategori itu merangkumi lebih 70 peratus daripada keseluruhan kes penipuan.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Sabtu turut mengenal pasti kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah sebagai antara tiga jenis penipuan yang “paling berleluasa”.

Pada Ahad, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak memindahkan atau menyerahkan wang dan barang berharga kepada individu tidak dikenali, yang identitinya belum disahkan, atau meninggalkan wang atau barang berharga di lokasi untuk diambil.

Orang ramai juga diingatkan bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta mereka untuk memindahkan wang, berkongsi butiran log masuk akaun bank, memuat turun aplikasi daripada sumber tidak rasmi, atau memindahkan panggilan telefon kepada pihak polis.

Polis menegaskan bahawa mereka memandang serius sebarang penglibatan dalam aktiviti penipuan, dan mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita