2 wanita dituduh tutup perbuatan lelaki cabul kanak-kanak di prasekolah, hapus bukti kesalahan
Dua wanita didakwa di mahkamah pada Jumaat (21 Feb) kerana memadam klip video dan memformat semula sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang merakam seorang lelaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah prasekolah.
Mahkamah Negera Singapura. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Butiran mengenai kedua-dua wanita itu, termasuk nama dan umur mereka, telah dipadamkan daripada dokumen mahkamah.
Perintah sekatan telah dikenakan terhadap identiti mereka serta lokasi kejadian bagi melindungi mangsa, yang berusia sekitar dua tahun pada waktu kejadian.
Kedua-dua wanita itu menghadapi tiga pertuduhan setiap seorang – dua atas kesalahan menghalang keadilan dan satu kerana sengaja tidak memberikan maklumat mengenai kejadian cabul tersebut, walaupun mereka terikat secara undang-undang untuk berbuat demikian.
Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dipercayai memegang jawatan tinggi di prasekolah berkenaan.
Wanita ini didakwa bersekongkol dengan tertuduh bersama untuk memadam klip video yang merakam kesalahan lelaki itu daripada satu perbualan WhatsApp antara 16 dan 17 November 2023, ketika dia berada di luar negara.
Dia juga didakwa sengaja tidak memberikan sebarang maklumat mengenai kes cabul itu pada 23 November 2023 sekitar pukul 2.00 petang ketika berada di prasekolah tersebut.
Tiga hari kemudian, wanita itu didakwa berkomplot dengan tertuduh bersama dan seorang lagi individu untuk memformat semula sistem CCTV yang mengandungi rakaman kejadian cabul itu.
Tertuduh bersama pula menghadapi tiga pertuduhan serupa.
Wanita tersebut didakwa memadam klip video yang merakam kesalahan itu dalam perbualan WhatsApp dengan tertuduh bersama, gagal memberikan maklumat mengenai kejadian tersebut, dan memformat semula sistem CCTV yang mengandungi rakaman cabul itu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua wanita itu. Kes mereka akan disebut semula di mahkamah pada 21 Mac.
Bagi lelaki yang dituduh mencabul, seorang pesalah dengan nama yang sama ditemui dalam sistem mahkamah. Dia menghadapi lapan pertuduhan mencabul kehormatan individu di bawah umur 14 tahun.
Dia dijadualkan mengaku bersalah pada 18 Mac, berdasarkan rekod mahkamah.
Jika sabit kesalahan kerana sengaja tidak memberikan maklumat mengenai kesalahan yang diwajibkan secara undang-undang untuk dilaporkan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda, atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan menghalang keadilan, seseorang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.