Skip to main content

Singapura

2 wanita dipenjara tukar tempat duduk dekat sekatan jalan raya gara-gara pemandu tiada lesen

Anggaran Waktu Membaca:
2 wanita dipenjara tukar tempat duduk dekat sekatan jalan raya gara-gara pemandu tiada lesen

Sun Weilin Estella (kiri) dan Fong Yoke Mun di Mahkamah Negara pada 6 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

SINGAPURA: Dua wanita yang bertukar tempat duduk berhampiran sekatan jalan raya polis, kerana salah seorang daripada mereka memandu tanpa lesen, dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (6 Ogos).

Pemandu, Sun Weilin Estella, 32 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam minggu, manakala pemilik kereta, Fong Yoke Mun, 29 tahun, dikenakan hukuman penjara lima minggu.

Kedua-duanya turut diharamkan daripada mendapatkan sebarang jenis lesen memandu selama dua tahun.

Sun mengaku bersalah atas tuduhan memandu tanpa lesen dan satu lagi tuduhan menghalang proses keadilan dengan menukar tempat duduk.

Fong pula mengaku bersalah atas tuduhan membenarkan Sun memandu tanpa lesen, dan satu lagi tuduhan menukar tempat duduk dengan Sun supaya Sun tidak ditangkap.

Mahkamah diberitahu bahawa mereka berdua keluar untuk meminum alkohol bersama seorang rakan pada awal pagi 23 Disember 2023 dan masing-masing minum kira-kira dua pain (pint) bir sehingga kira-kira pukul 3.00 pagi.

Mereka kemudian memutuskan untuk pulang, tetapi Fong mengadu sakit kepala.

Sun menawarkan diri untuk memandu kereta milik Fong, walaupun kedua-duanya sedar bahawa Sun tidak mempunyai lesen.

Sun kemudian memandu kereta tersebut dengan Fong duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

Sun berada dalam kotak kuning di persimpangan antara Upper Cross Street dengan Eu Tong Sen Street apabila dia menyedari ada sekatan jalan raya polis kira-kira 107 meter di hadapan.

Bagi mengelaknya, Sun mengundurkan kereta di tengah-tengah persimpangan dan membelok ke kanan ke Eu Tong Sen Street menuju ke Hill Street.

Dua pegawai polis yang bertugas di situ melihat apa yang berlaku. Salah seorang daripada mereka menyuluh lampu suluh ke arah kereta sebagai isyarat supaya Sun berhenti, tetapi Sun terus memandu.

Pegawai-pegawai tersebut kemudian mengejar kereta itu. Apabila kereta berhenti di lampu isyarat merah di antara persimpangan Eu Tong Sen Street dengan North Canal Road, kedua-dua wanita itu segera bertukar tempat duduk supaya Fong berada di tempat pemandu.

Mereka melakukan demikian kerana mereka tahu Sun tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tidak mahu dia ditangkap, kata pihak pendakwa.

Pegawai-pegawai kemudian menghampiri kereta tersebut dan mengarahkan Fong untuk berhenti di hadapan bagi pemeriksaan.

Mereka sedar bahawa kedua-dua wanita itu sudah bertukar tempat duduk dan menyoal siasat mereka secara berasingan.

Fong mengaku bahawa Sun yang memandu kereta pada mulanya, dan Sun turut mengakuinya.

Kedua-duanya berbau alkohol dan diberikan alat penguji nafas. Selepas gagal ujian tersebut, mereka ditangkap dan dibawa untuk ujian lanjut.

Ujian pernafasan seterusnya menunjukkan 46 mikrogram alkohol bagi setiap 100 mililter (ml) nafas untuk Fong, dan 19 mikrogram untuk Sun.

Had undang-undang ialah 35 mikrogram setiap 100ml nafas.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Sun tidak pernah memiliki lesen memandu Singapura Kelas 3 yang sah.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara lima hingga enam minggu untuk Sun dan empat hingga enam minggu untuk Fong, berserta larangan memandu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita