Skip to main content

Singapura

2 wanita didenda kerana mengimport 700kg daging & makanan laut secara haram; Suvai Foods didenda dek infestasi lipas

Anggaran Waktu Membaca:
2 wanita didenda kerana mengimport 700kg daging & makanan laut secara haram; Suvai Foods didenda dek infestasi lipas

Gambar: Agensi Makanan Singapura (SFA)

Diterbitkan : 25 Jan 2024 10:07AM
SINGAPURA: Dua wanita dan sebuah syarikat didenda pada Rabu (24 Jan) atas kelemahan-kelemahan yang dikesan pada keselamatan makanan dalam kes-kes berasingan. Satu kes membabitkan daging dan produk makanan laut yang diimport secara haram yang disimpan di kemudahan tidak berlesen, manakala satu lagi tidak mengambil tindakan terhadap infestasi lipas di premisnya.

Denda sebanyak S$27,000 setiap satu dikenakan ke atas Bui Thi Quyen dan Ta Thi Tuyen kerana mengimport secara haram produk daging dan makanan laut dari Vietnam dan mengendalikan peti sejuk tanpa lesen di sebuah premis di Jalan Senoko di kawasan Sembawang secara haram.

Para pegawai daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) menjalankan pemeriksaan di 62 Senoko Road pada 13 April tahun lalu dan menemui lebih 700kg daging dan produk makanan laut yang disimpan di dalam peti sejuk tidak berlesen, menurut SFA dalam kenyataan medianya pada Rabu (24 Jan).

Produk-produk yang dirampas oleh SFA termasuk produk makanan diproses dan mentah yang diimport secara haram dan pelbagai daging seperti daging babi, daging lembu, ayam, ikan dan katak yang diperoleh daripada sumber yang tidak diluluskan tanpa lesen yang sah.

Dalam satu lagi kes, Suvai Foods, pengeluar gula-gula tepung yang terletak di Aljunied, didenda S$10,000 atas pelbagai kesalahan keselamatan makanan, termasuk "infestasi lipas yang teruk", dedah SFA.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas Suvai Foods pada 21 Feb tahun lalu mendapati penyenggaraan premis yang lemah, yang dipenuhi lipas. Terdapat juga lanjutan kawasan pembungkusan yang tidak diluluskan yang ditemui di premis itu.

Lipas hidup juga ditemui di bahagian belakang lori penghantaran makanan pengeluar, yang tidak diselenggara dengan baik.

SFA menggantung operasi perniagaan makanan Suvai Foods dari 21 Feb hingga 8 Mac tahun lalu dan mengarahkan pemegang lesen untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang dikesan pada keselamatan makanan dan "mengambil langkah-langkah yang sewajarnya" untuk menjaga kebersihan premisnya dan memperbaiki amalan-amalan keselamatan makanannya.

Penggantungan itu ditarik balik pada 9 Mac selepas Suvai Foods memperbetulkan kelemahan dan membuat penyesuaian yang diperlukan.

SFA menasihatkan orang ramai supaya jangan melanggani tempat makan yang mempunyai amalan keselamatan makanan yang lemah dan memberi maklum balas untuk siasatan susulan.

Agensi itu juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap para pengusaha makanan yang gagal mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Sesiapa yang melanggar peraturan keselamatan makanan boleh didenda sehingga S$5,000 dan boleh dikenakan denda tambahan sehingga S$100 untuk setiap hari atau sebahagian daripadanya bagi kes kesalahan yang berterusan selepas didapati bersalah.

Sesiapa yang menyimpan daging atau produk makanan laut secara haram boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan dan atau didenda sehingga S$10,000.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana mengimport daging atau produk makanan laut secara haram tanpa lesen yang sah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

Dalam kes sabitan berikutnya, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

Anda boleh memberikan maklum balas kepada SFA menerusi borang online ini.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita