Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 wanita berhati mulia ini yang sudah selamatkan lebih 1,000 ekor kucing

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan sejak dua tahun lalu, ia menerima tiga aduan di mana lebih 30 ekor kucing disimpan di bawah satu bumbung dalam sesebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan Negara (HDB).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan sejak dua tahun lalu, ia menerima tiga aduan di mana lebih 30 ekor kucing disimpan di bawah satu bumbung dalam sesebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan Negara (HDB).

Bagi kes-kes melibatkan lebih 10 kucing di dalam rumah pula, terdapat sekitar 20 aduan sedemikian yang diterimanya.

Namun pengalaman para penyelamat kucing tempatan menunjukkan bilangan kes-kes di mana terdapat lebih 30 ekor kucing dalam sesebuah flat sebenarnya lebih banyak daripada itu.

Kini timbul gesaan supaya pihak berkuasa mewajibkan para pemilik kucing di flat-flat HDB mengembirikan kucing mereka.

Selepas berita itu dihebahkan menerusi media sosial, pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan kesemua kucing tersebut dapat dikeluarkan dan diselamatkan sebelum 30 Jun 2021 - iaitu tarikh yang ditetapkan HDB supaya kesemua kucing itu dipindahkan.

Mujur usaha tersebut berjaya.

"Sangkar-sangkar pun sudah banyak yang dibuang. Dan bilik pun sudah dikemas, diberus dan dicat. Jadi bau kucing, bau yang tidak elok itu pun sudah kurang," kata Cik Wati Samad, antara individu yang bertanggungjawab menghuraikan kes itu.

Beliau masih kerap berhubungan dengan keluarga lima beranak itu untuk memastikan 'sejarah tidak berulang lagi'.

SELESAI SATU KES, TIMBUL PULA SATU LAGI

Namun, Cik Wati masih belum boleh menghela nafas lega. Beliau kemudian dimaklumkan mengenai satu lagi kes membabitkan 50 ekor kucing dalam sebuah flat di Teban. Beliau kini aktif menangani kes itu.

Berbanding kes kucing di Bedok, Cik Wati berkata kes ini tidaklah 'seteruk' itu.

"Pemilik memang sudah kembirikan kucing-kucing dia. Tapi yang dia kembirikan, kucing yang jantan saja. Selalunya banyak pemilik buat macam itu sebab kalau kembirikan kucing jantan memang lebih murah.

"Dia sudah kembirikan jantan tapi dia lupa si betina ini sudah mengandung," tambah Cik Wati.

Apabila diberitahu oleh pemilik kucing-kucing tersebut bahawa HDB memberikan tempoh sehingga akhir bulan Julai untuk memindahkan kesemua kucing, Cik Wati tidak berlengah dan sibuk membantu mengembirikan kucing-kucing itu sebelum boleh dipindahkan ke tempat lain.

SUDAH MEMBANTU SEKITAR 1,000 KUCING DALAM SEDEKAD

Sebenarnya sejak empat hingga lima tahun lalu, beliau sudah menangani 11 kes di mana setiap kes melibatkan lebih 30 ekor kucing disimpan dalam sesebuah rumah.

Menurut Cik Wati, sepanjang sedekad lalu beliau sudah menyelamatkan sekitar 1,000 ekor kucing kesemuanya. Selain kucing, beliau turut menyelamatkan haiwan-haiwan lain seperti anjing, arnab, tikus dan burung.

Kerja menyelamat kucing yang dilakukan ini hakikatnya bukanlah murah dan biayanya datang dari kocek Cik Wati sendiri.

"Tiap-tiap bulan saya saya belanja S$1,500. Itu asas - makan, minum dengan vet yang asas. Macam rawatan ubat cacing, ubat kutu itu semua. Tapi kadang-kadang kalau ada kes yang lebih teruk 10 hari dekat doktor haiwan sudah S$1,800. Kalau macam itu sudah tentu saya punya bil melambung," kongsi karyawan yang bertugas sebagai konsultan pendidikan itu kepada BERITAmediacorp.

Ditanya sekiranya beliau akan berhenti menjadi seorang penyelamat, ini jawapannya:

"Saya memang tak terfikir untuk bersara. Saya memang suka buat kerja inilah. Pada saya, inilah yang saya nak buat selama saya hidup. Mungkin bila saya lebih berusia akan saya kurangkan sebab sudah penat," ujar Cik Wati.

BERHENTI KERJA, JADI PENYELAMAT SEPENUH MASA

Seorang lagi aktivis penyelamat kucing ialah Cik Rina Shamsudin.

Sejak setahun lalu sahaja beliau sudah menangani tiga kes besar: satu kes di Yishun yang menyimpan 40 ekor kucing; 1 kes di Jurong yang menyimpan 50 kucing dan satu lagi di Hougang dengan 15 kucing.

Sejak sedekad lalu ratusan ekor kucing sudahpun diselamatkannya.

Untuk menempatkan kucing-kucing yang diselamatkan, Cik Rina malah menyewa sebuah ruang untuk memberi tempat perlindungan buat kucing-kucing tersebut sehinggalah ada pihak yang berkenan yang mengambil haiwan itu untuk dibela.

BELANJA SEKITAR S$10,000 SEBULAN UNTUK KEPERLUAN KUCING

Bukan itu sahaja, sejak sedekad lalu, Cik Rina yang banyak melakukan kerja-kerja menyelamatkan kucing dengan anak perempuan dan suaminya, juga tidak lepas memberi makan kepada kucing-kucing jalanan setiap malam.

Beliau mengeluarkan sekitar S$9,000 sebulan duitnya sendiri demi memberi makan kepada 30 hingga 50 kucing jalanan, menyelamatkan kucing dalam pelbagai situasi termasuk dari penyimpan kucing tidak terkawal (cat hoarder) ataupun merawatnya jika perlu.

Daripada kos itu, sekitar S$1,000 didermakan oleh orang ramai.

Prihatin tentang nasib kucing-kucing yang terbiar dan dianaya, beliau nekad berhenti kerja di sebuah syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) untuk menjadi seorang penyelamat kucing sepenuh masa.

Kini beliau berniaga menjual makanan dan keperluan kucing. Kedainya terletak di North Bridge Road di mana ia boleh menampung sekitar 30 ekor kucing pada satu-satu masa.

Ini antara komen terus terang beliau tentang masalah penyimpanan kucing yang banyak dalam sesebuah rumah.

"Masalah tersebut saya rasa ia berleluasa di kalangan masyarakat Melayu. Ini kerana mereka tidak sedar tentang manfaat pemgembirian.

"Saya harap pihak berkuasa akan menyuruh semua pemilik kucing khususnya mereka di HDB untuk mengikuti kursus-kursus penjagaan haiwan pemeliharaan dan menjadikan mandatori bagi haiwan-haiwan pemeliharaan mereka dikembirikan," tekan beliau.

Cik Rina juga berharap bahawa orang ramai sendiri akan melakukan lebih banyak usaha demi "menghentikan semua pembiakan yang tidak perlu" oleh kucing-kucing masing-masing.

"Kes paling sukar yang pernah saya tangani ialah apabila saya mendapat tahu ada pemilik ini mempunyai lebih daripada 40 ekor kucing. Kucing-kucing itu semua dalam sangkar yang kecil.

"Tiada makanan, tiada air dan seperti kucing kencing dan berak merata-rata. Dan kucing-kucing itu semua dalam keadaan yang teruk, memerlukan intervensi perubatan," cerita Cik Rina yang mampu menyelamatkan 14 ekor daripada kucing-kucing berkenaan.

Kucing-kucing itu kemudian diserahkan kepada para pemilik baru. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan