2 wanita alami kesan buruk steroid gara-gara 2 produk herba ini
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (14 Apr) memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan membeli atau menggunakan kedua-dua produk tersebut.
Dua wanita yang membeli produk-produk itu dari Malaysia menerusi rakan-rakan mereka, mengalami kesan buruk akibat steroid selepas menggunakan produk-produk tersebut.
Demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
D'SIHAT HERBA GOUT & SENDI
Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun mengalami kesakitan pada bahagian lututnya setelah menggunakan "D'SIHAT HERBA GOUT & SENDI" selama tujuh bulan. Dia mengalami sindrom Cushing, satu keadaan serius akibat steroid yang menyebabkan mukanya kelihatan "bulat seperti bulan".
Wanita itu kemudian dimasukkan ke hospital.
Produk itu dijual sebagai ubat bagi melegakan sengal dan kesakitan dan dilabel seolah-olah ia bebas steroid, kata HSA.
YANWO CHONGCAO YANYIN QINFEI HUATAN DAN
Seorang lagi wanita berusia 40-an tahun yang mengalami batuk kronik, menunjukkan paras kortisol darah yang luar biasa setelah menggunakan 'Yanwo Chongcao Yanyin Qinfei Huatan Dan" selama dua bulan.
Produk itu dijual sebagai ubat batuk dan disebut-sebut sebagai "100 peratus Herba Asli".
Menurut HSA, steroid yang kuat boleh menyekat pengeluaran kortisol, satu hormon steroid semula jadi yang dihasilkan oleh badan. Ia boleh menyebabkan kekurangan adrenal.
KEDUA-DUA PRODUK MENGANDUNGI STEROID
Kedua-dua wanita mendapatkan produk-produk itu dari Malaysia melalui rakan-rakan mereka. HSA menyatakan ia sudahpun memaklumkan rakan-rakan sejawatannya di Malaysia.
Produk tersebut juga dijual di platorm e-dagang dan wadah media sosial tempatan, termasuk Shopee dan Facebook.
"Penggunaan steroid seperti dexamethasone bagi tempoh yang panjang tanpa sebarang pemantauan boleh mengakibatkan sindrom Cushing, meningkatkan paras gula yang menyebabkan kencing manis, tekanan darah tinggi dan kesan-kesan buruk yang lain," kata HSA.
Ia turut memberi amaran kepada para pengguna yang menggunakan produk tersebut supaya berjumpa doktor secepat mungkin.
TINDAKAN PIHAK BERKUASA
Semua penjual dan pembekal mesti menghentikan penjualan ‘D’SIHAT HERBA GOUT & SENDI’ dan ‘Yanwo Chongcao Yanyin Qinfei Huatan Dan’ dengan segera.
HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa saja yang menjual dan/atau membekalkan produk-produk yang didapati bercampur dengan bahan-bahan perubatan yang kuat. Para penjual dan pembekal produk-produk ini boleh didakwa dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga S$10,000 dan/atau dihukum penjara sehingga 2 tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan dan pembekalan ubat tersebut boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866 3485 atau melalui emel di hsa_is [at] hsa.gov.sg.Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.