2 tuduhan dikenakan ke atas lelaki mengaku nabi; kendali madrasah tidak berdaftar dengan MUIS
Lelaki yang disyaki terlibat dalam menyebarkan ajaran sesat dan mengendalikan sebuah sekolah agama yang tidak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) didakwa di Mahkamah Negara hari ini (1 Ogos).

Mohd Razif Radi, 65 tahun menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 139 (1) Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) kerana dipercayai menyebarkan ajaran sesat di Singapura antara 2004 hingga 2020 termasuk:
a. Perjudian boleh dibenarkan,
b. Mengaku dirinya sebagai Nabi dan boleh menyeru roh 'Mbah' yang dikatakan merupakan Nabi terakhir atau keturunannya,
c. 'Nikah batin' antara lelaki dan wanita boleh dianggap sebagai sah
Encik Razif juga didakwa di bawah Peraturan 5(1) kerana mengendalikan sebuah sekolah agama antara 2017 hingga 2020 di sebuah kafe di Jalan Pisang tanpa berdaftar dengan MUIS. Dia boleh dihukum di bawah Peraturan 5(2) AMLA (Sekolah Agama).
Beliau hadir di Mahkamah Negara berkemeja hitam dan memakai pelitup muka bersama seorang wanita.
Peguamnya berkata anak guamnya itu memohon agar dakwaan-dakwaan tersebut dipertimbangkan. Pihaknya juga akan membuat perwakilan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
Dalam sidang mahkamah pagi tadi, peguam memberitahu Hakim Daerah, Lorraine Ho bahawa anak guamnya tidak mengaku bersalah setakat ini.
Hakim Daerah, Lorraine Ho memutuskan untuk sidang prabicara kes tersebut diadakan pada 1 September 2023.
Di bawah Seksyen 139(1) AMLA, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau didenda tidak lebih S$2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Bagi kesalahan tidak mendaftarkan sekolah agama pula, dia boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$2,000, atau kedua-duanya sekali.
KES MULA DISIASAT SEJAK 2015
Kes itu menarik perhatian ramai sekitar November 2020 menyusuli satu laporan yang diterbitkan.
Lelaki itu dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin' dengan lima orang wanita. Bekas suami wanita-wanita yang dikatakan "dirampas" lelaki tersebut, mendakwa bahawa ajaran-ajaran lelaki tersebut mencurigakan. Lelaki itu juga dikatakan menghalalkan wang perjudian untuk membantu orang lain.
Menurut MUIS, pihaknya pertama kali menerima aduan mengenai lelaki itu pada 6 Oktober 2015.
Antara Oktober 2015 dengan Oktober 2017, MUIS terus menyiasat kes itu berdasarkan maklumat tambahan yang disediakan oleh pihak-pihak sama yang membuat aduan.
Lelaki itu diarahkan oleh MUIS untuk menghentikan khidmat 'perubatan' dan menyebarkan ideologi serta amalan agama songsang kepada orang ramai pada November 2018.
Namun, kes tersebut dibuka semula oleh MUIS dan Jawatankuasa Fatwa apabila mereka menerima laporan mengandungi maklumat baru mengenai kes tersebut.
Jawatankuasa Fatwa MUIS kemudian mendedahkan sudah mengakhiri siasatan dalaman berhubung kes berkenaan dan merujuk kes itu kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 2021.
Ini merupakan kes pertama berkaitan dengan ajaran sesat yang dibawa ke pihak berkuasa oleh MUIS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.