Skip to main content

Singapura

2 TAHUN PERANG ISRAEL-HAMAS: “Kami henti berharap, kami mati”

Anggaran Waktu Membaca:
2 TAHUN PERANG ISRAEL-HAMAS: “Kami henti berharap, kami mati”

Tiga belas anggota keluarga Encik Khalid Hammouda terkorban dalam serangan awal Israel di utara Gaza. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Oct 2025 02:33PM Dikemas Kini : 08 Oct 2025 02:36PM
SINGAPURA: Berjauhan daripada isteri dan dua anaknya demi ilmu.

Itulah pengorbanan yang perlu dilakukan Samih Qabaha dari Tebing Barat, Palestin yang melanjutkan pengajian sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS) di bawah program biasiswa possiswazah Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura bagi para pegawai Palestin.
Related article image
Encik Samih Qabaha dari Tebing Barat, Palestin yang melanjutkan pengajian sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: Samih Qabaha)
“Keluarga saya sokong saya untuk lakukannya kerana kami sentiasa cari masa depan yang lebih baik untuk diri saya sendiri, keluarga dan masyarakat saya. Kita tidak boleh berhenti. Kita perlu memperjuangkan hak kita. Kita harus berjuang untuk masa depan kita. Ya, keadaannya sangat teruk, tetapi saya perlu lakukan sesuatu untuk ubah keadaan. Pendidikan dan kemahiran adalah salah satu perkara utama,” ujar Samih.
Walaupun tinggal di Tebing Barat, dia kenal rakan-rakan yang kehilangan orang-orang tersayang dalam perang di Gaza. Apa yang bermula sebagai serangan balas terhadap Hamas pada 7 Oktober 2023, melarat hingga memusnahkan hampir semua kediaman, sekolah dan hospital. Para penduduk Gaza berdepan krisis kemanusiaan dan jumlah korban awam yang terus meningkat.

“Rakan-rakan sekerja saya. Mereka hilang beberapa ahli keluarga mereka. Mereka kehilangan rumah dalam pengeboman dan saya juga ada saudara dari kampung saya. Anak mereka juga terkorban,” kata Samih.

Di utara Gaza, 13 anggota keluarga Khalid Hammouda terkorban dalam serangan awal Israel. Setelah tiba di Rafah, dengan jangkaan bahawa daerah itu selamat, 20 lagi daripada keluarga besarnya terbunuh menyusuli serangan bom yang lebih dahsyat.

“Bukan mudah untuk berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Kali terakhir mereka kata selesai, kita kembali ke utara Gaza. Orang ramai pergi ke utara Gaza tanpa persediaan dan tiada tempat yang selamat. Mana-mana tempat pun tidak selamat. Terakhir mereka kata selamat untuk pergi ke selatan. Tetapi mereka bom di selatan juga,” kata Khalid.

Keadaan di Gaza meruntun perasaan Khalid. Dia berjaya keluar dari Gaza pada Mac tahun lalu selepas mengalami peperangan selama 8 bulan. Meskipun berat, Khalid keluar dari Gaza berbekalkan visa pelajar Malaysia yang dimiliknya atas permintaan ibu tersayang.

“Pada masa itu saya putuskan untuk tidak tinggalkan keluarga saya. Tetapi masa itu ibu saya suruh saya pergi ke Malaysia. Saya kata tidak, saya tidak akan tinggalkan ibu. Dia kata pada saya, Khalid, saya kehilangan ramai orang. Dia kata mungkin kita akan mati. Tetapi dia perlukan saya di tempat selamat," kata Khalid penuh sebak.

Khalid mengikuti pengajian dalam bidang sains komputer di Malaysia dan terpaksa mengumpul semula semua bahan kajian tesisnya yang musnah dalam serangan bom.

Di hatinya, dia sentiasa bimbang akan mendapat berita yang tidak diingini. Setiap hari dia memeriksa senarai nama mereka yang terkorban, dengan harapan mereka bukan orang yang dikenali.

“Kami sentiasa lihat telefon untuk mengikuti berita tempatan. Kami baca nama semua Syuhada,” kata Khalid.
Related article image
Encik Khalid Hammouda (kanan). (Gambar: Khalid Hammouda)
Kehilangan dalam apa juga perkara sudah menjadi lumrah dalam kehidupan warga Palestin.

“Kami tidak boleh henti berharap sebenarnya kerana bila kami henti berharap, kami mati. Realiti di Palestin sangat buruk tetapi untuk merubah realiti ini anda perlu berharap untuk melakukan sesuatu.

“Datuk saya berpindah dari rumahnya dan mereka pergi ke kampung lain dan tinggal di sana. Kebanyakan orang di sana, kami kehilangan tanah kami. Kami kehilangan barang-barang dan aset kami. Setiap generasi bermula dari bawah. Ini mungkin genetik orang Palestin. Mereka tidak boleh putus asa,” kata Samih.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita