Skip to main content

Singapura

2 TAHUN PERANG ISRAEL-HAMAS: Bantuan kemanusiaan SG lebih $23 juta kepada Gaza terbesar dalam masa 2 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bantuan kemanusiaan berjumlah lebih $23 juta yang dihulurkan Singapura kepada penduduk Gaza sejauh ini merupakan yang terbesar pernah dikumpulkan dalam masa dua tahun sejak tercetusnya perang Israel-Hamas pada 7 Oktober 2023.

Malah jumlah tersebut lebih tinggi jika diambil kira usaha individu warga Singapura dalam pelbagai bentuk.

Dua pertubuhan kemanusiaan setempat Humanity Matters dan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) yang bertanggungjawab menyelaras sebahagian besar usaha bantuan kemanusiaan untuk para penduduk Gaza, berkongsi usaha dan pengalaman mereka, serta kesan bantuan kemanusiaan itu untuk Gaza.

HUMANITY MATTERS SELARAS PENGHANTARAN BANTUAN KE GAZA MENERUSI SEMPADAN RAFAH

Sejak 7 Oktober 2023 lebih 66,000 nyawa terkorban di Gaza, dengan ramai lagi yang cedera dan kehilangan tempat tinggal.

Di sebalik penderitaan itu, bantuan dari Singapura datang mencurah-curah kepada penduduk Palestin yang terjejas.

Related article image
Humanity Matters menyelaraskan penghantaran bantuan sebanyak 9.4 tan ke Gaza menerusi sempadan Rafah. (Gambar: Humanity Matters)

Ini termasuk badan kemanusiaan Humanity Matters yang tiba di Mesir pada November 2023 bagi menyelaraskan penghantaran bantuan sebanyak 9.4 tan ke Gaza menerusi sempadan Rafah.

Menurut Encik Hassan, cabaran sebenar bukanlah tentang isu kemasukan ke Gaza, tetapi apa yang boleh dilakukan setelah sampai di sana, sama ada pasukannya itu dapat benar-benar membantu dan memberikan kesan lebih bermakna sekiranya beroperasi dari dalam atau luar Gaza.

Ini memandangkan situasi di sana berbahaya dan tidak menentu.

Related article image
Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

"Di sempadan Rafah di mana kami berada, ramai orang awam yang sedang cuba untuk keluar dari Gaza untuk menyelamatkan diri mereka. Oleh itu, pada masa itu, iaitupada pertengahan November, sebagai ketua pasukan di lapangan berhampiran dengan Gaza, saya membuat keputusan bahawa hanya kontena-kontena bekalan bantuan yang akan menyeberangi sempadan," kongsi Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Untuk itu, kami telah mengaturkan dengan rakan-rakan seperjuangan kami dari hospital-hospital di Gaza untuk bersiap sedia untuk menerima kontena bantuan tersebut. Kami tidak mampu kehilangan ahli pasukan bantuan kami sendiri," tambah beliau.

HUMANITY MATTERS KERAH 7 MISI BANTUAN KEMANUSIAAN ANTARA NOV 2023 HINGGA OGOS 2025
 

Related article image
Ribuan pek keselesaan kanak-kanak diedarkan di Gaza oleh Humanity Matters. (Gambar: Humanity Matters)

Antara November 2023 hingga Ogos tahun ini, Humanity Matters sudahpun mengerahkan tujuh misi bantuan kemanusiaan bernilai lebih S$1.9 juta ke Gaza menerusi Mesir dan Jordan.

Ini merangkumi bantuan makanan, air bersih, kelengkapan peribadi, ubat-ubatan serta sokongan kepada kanak-kanak - keperluan asas untuk mereka terus bertahan dalam keadaan fasa kecemasan kritikal di Gaza.

"Gaza mempunyai ramai kanak-kanak jadi adalah penting untuk kami secara sedar, memenuhi keperluan psikososial dan juga perkembangan mereka. Oleh itu, Humanity Matters juga telah menghantar dan mengedarkan ribuan pek keselesaan kanak-kanak atau 'Kids' Comfort Packs' untuk membantu merangsang minda kanak-kanak, menceriakan semangat mereka dan sedikit sebanyak membantu menghilangkan trauma mereka dengan mengalihkan tumpuan mereka daripada peperangan," ujar Encik Hassan.

Humanity Matters juga menyaksikan ribuan sukarelawan berbilang kaum dan agama tampil menyumbang tenaga dan masa menyokong usaha mereka.

Antaranya sesi dialog dan acara berdoa berbilang agama serta membantu menyiapkan pakej bantuan kemanusiaan untuk dikirimkan ke Gaza.

LEBIH 1,000 SUKARELAWAN BERBILANG KAUM, AGAMA, LATAR BELAKANG DISATUKAN

Related article image
Masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang berganding bahu, menyumbang tenaga dan masa demi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza. (Gambar: Humanity Matters)

Bagi badan itu, usaha ini bukan sekadar menyalurkan bantuan kepada mangsa perang di luar negara tetapi juga sebagai peluang untuk rakyat Singapura memupuk dan mengamalkan nilai belas ihsan dengan cara yang bermakna iaitu bersatu dan berkhidmat demi kemanusiaan.

"Lebih dari 1,000 para sukarelawan yang telah tampil ke hadapan - ada yang masih dalam persekolahan, ada yang telah bersara, ada yang berbilang agama, dan dari latar belakang yang berlainan," kongsi Encik Hassan.

"Dan mereka juga telah tampil ke hadapan untuk membuat doa kolektif. Ini sangat-sangat menyentuh hati kerana rakyat Singapura yang berbilang latar belakang ini, kami (semua) dapat disatukan oleh elemen kemanusiaan dan ihsan," menurutnya lagi.

LEBIH S$23 JUTA SUDAH DISUMBANG SG KE GAZA SEJAK OKT 2023
 

Related article image
Bantuan kemanusiaan digugurkan dari pesawat pengangkut C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF). (Gambar: MINDEF)

Sejak Oktober 2023, Singapura sudah menyumbang lebih S$23 juta menerusi 10 pusingan penghantaran bekalan bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk dua operasi menggugurkan pakej bantuan dari udara oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

SAF menggunakan pesawat pengangkut C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk menggugurkan lebih 20 tan bekalan makanan dan perubatan pada Mac tahun lalu dan hampir 15 tan bekalan serupa pada Ogos tahun ini.

Sebahagian bekalan yang digugurkan itu adalah sumbangan hasil kerjasama Humanity Matters dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

RLAF SUDAH LANCAR 4 KEMPEN BANTU GAZA

Related article image
RLAF sudah pun lancar empat kempen mengumpul dana bantu mangsa krisis kemanusiaan Gaza. (Gambar: BERITAMediacorp/Nazirah Jamzuri)

Sejak perang Israel-Hamas, RLAF sudah pun melancarkan empat kempen mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak dan keluarga yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di Gaza.

Selain Humanity Matters, RLAF turut bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Bulan Sabit Merah Mesir dan Pertubuhan Amal Jordan Hashemite.

"(Kami) terharu dan bangga dengan sambutan yang luar biasa. Lebih S$15 juta dikumpulkan melalui RLAF dan kami amat terharu dengan bantuan dan sumbangan yang diberikan tanpa mengira bangsa tanpa mengira agama," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Related article image
Pasukan RLAF di gudang UNICEF di Jordan. (Gambar: RLAF)

Bagi memastikan setiap sumbangan benar-benar sampai kepada penduduk Gaza, RLAF memastikan ia melaksanakan beberapa langkah pemantauan.

Encik Adnan berkata: "Kami telah ke gudang di UNICEF dan juga di JHCO. Jadi lawatan tinjauan ini perlu untuk kita sebagai audit untuk memastikan barangan ini dihantar dan juga daripada laporan-laporan yang kita terima secara kerap."

"Kami juga ada hubungan langsung dengan mereka untuk memastikan bahawa apa yang mereka lakukan berdasarkan apa yang telah ditetapkan.

"Ini antara cara untuk memastikan bahawa dana yang kita kumpul daripada masyarakat ini sampai kepada mereka yang memerlukan. Ini yang kita janjikan kepada masyarakat."

SELAIN PENDUDUK PALESTIN DI GAZA, PELARIAN PALESTIN DI MESIR JUGA DIBANTU
 

Related article image
Dr Faishal dan CEO RLAF, Adnan Abdul Hamid (dua dari kanan) menyerahkan cek kepada Pegawai Eksekutif ERC, Dr Amal Emam. (Gambar: RLAF)

Di mana perlu, RLAF juga menyelaras usaha bantuan dengan rakan kerjasamanya untuk memastikan bantuan yang disediakan menepati keperluan semasa, termasuk membantu pelarian Palestin di Mesir.

"Penduduk Gaza yang terjejas yang terpaksa berpindah ke selatan Rafah di Mesir, di mana kami dapati mereka meminta bantuan untuk kesihatan. Ramai yang terjejas ialah kanak-kanak dan keluarga lebih-lebih lagi wanita jadi kita bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Mesir dan juga UNICEF dan mereka juga bekerjasama dengan beberapa hospital itu untuk memastikan bahawa mereka-mereka ini dibantu," menurut Encik Adnan.

APA LAGI YANG MASYARAKAT SG BOLEH LAKUKAN SELAIN SALUR DANA?

Related article image
CEO RLAF, Adnan Abdul Hamid. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Melangkah ke hadapan, Encik Adnan berkongsi beberapa bidang di mana Singapura juga boleh menyumbang untuk Gaza selain bantuan segara.

Ini termasuk melihat kepada pemulihan pasca perang dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Encik Adnan berkongsi: "Saya rasa Singapura sebagai sebuah negara mempunyai kedudukan yang amat unik untuk membantu. Ada beberapa bidang yang saya rasa mungkin dapat difikirkan bersama. Satu ialah dari segi bidang kesihatan. Kita mempunyai kepakaran, doktor dan kakitangan perubatan yang amat terlatih dan dalam fasa seterusnya apabila keadaan lebih baik, mereka boleh menyumbang dari segi itu."

"Keduanya dari segi pendidikan, saya rasa Singapura juga mempunyai kedudukan yang unik untuk membantu, membina kapasiti. Mungkin adakan program pertukaran dan sebagainya untuk fasa seterusnya."

"Kita lihat bahawa masyarakat Palestin, mereka mempunyai kadar literasi yang amat tinggi dan prasarana pendidikan banyak yang musnah. Di sini, saya rasa kita boleh membantu."

Beliau menambah bahawa teknologi juga boleh dimanfaatkan untuk perhubungan dan pembelajaran online.

Yang jelas, bagi kedua-dua badan itu, semangat perpaduan masyarakat Singapura merentasi kaum, agama dan latar belakang, yang bersatu demi membantu Gaza, amat menyentuh hati dan patut dibanggakan.

Selain Humanity Matters dan RLAF, Palang Merah Singapura (SRC) juga telah menyumbangkan $1.9 juta sepanjang dua tahun ini dalam bentuk bekalan perubatan, kelengkapan peribadi, makanan dan sistem penapisan air bersih.

Tambahan setengah juta dolar turut disumbangkan kepada operasi bantuan kemanusiaan menerusi rakan kerjasama SRC seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita