Skip to main content

Singapura

2 syarikat runding cara imigresen & pengendalinya dikenakan perintah mahkamah atas amalan mengelirukan

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) memperoleh perintah mahkamah terhadap dua syarikat runding cara imigresen dan pengendali mereka kerana terlibat dalam amalan perdagangan yang tidak adil.

Anggaran Waktu Membaca:
2 syarikat runding cara imigresen & pengendalinya dikenakan perintah mahkamah atas amalan mengelirukan

Laman web Ray Immigrations, yang dikendalikan oleh VED Immigrations, seperti yang tertera pada 3 November 2023. (Gambar: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura)

SINGAPURA: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) memperoleh perintah mahkamah terhadap dua syarikat runding cara imigresen dan pengendali mereka kerana terlibat dalam amalan perdagangan yang tidak adil.

VED Immigrations dan SAVA Immigrations, serta syarikat yang ketiga, Paul Immigrations, didapati mengelirukan para pengguna dengan memperdayakan mereka bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memohon status penduduk tetap (PR) Singapura dan syarikat-syarikat tersebut boleh menjamin kejayaan permohonan yang dibuat menerusi mereka.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin (11 Ogos), CCCS menyatakan "dalang" di sebalik amalan perdagangan syarikat-syarikat itu adalah individu yang dikenali sebagai Encik Cheng Yong Teck.

Siasatan terhadap syarikat-syarikat itu bermula selepas Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menerima beberapa aduan mengenai taktik jualan Paul Immigrations.

CASE masih menerima aduan berhubung syarikat itu walaupun selepas ia menandatangani perjanjian untuk menghentikan amalan yang mengelirukan itu.

Selepas CCCS mendapat tahu bahawa Encik Cheng sudah menamatkan operasi Paul Immigrations tetapi meneruskan amalan yang sama melalui VED Immigrations, tumpuan siasatannya beralih kepada syarikat tersebut.

Siasatan kemudian mendapati Encik Cheng juga menjalankan operasi melalui satu lagi perniagaan iaitu SAVA Immigrations.

Ketiga-tiga laman web syarikat perunding imigresen itu menyediakan borang yang membolehkan pelanggan berpotensi memeriksa peluang mendapatkan status PR.

Menurut CCCS, individu-individu yang mengisi borang tersebut tidak menerima keputusan secara online, sebaliknya, menerima panggilan telefon yang menjemput mereka untuk menghadiri “sesi rundingan secara percuma”.

“Semasa sesi rundingan itu, kakitangan jualan akan membuat dakwaan tanpa bukti berhubung peraturan PR yang dikatakan berubah-ubah dengan cepat, dan persaingan sengit daripada pemohon lain, untuk cuba meyakinkan pelanggan untuk membuat permohonan dengan secepat mungkin,” kata badan pemantau pengguna Singapura itu.

“Kakitangan jualan kemudiannya akan membuat jaminan tanpa asas bahawa permohonan PR akan diluluskan sekiranya pelanggan menggunakan khidmat mereka.

“CCCS mendapati tiada asas munasabah bagi perniagaan-perniagaan tersebut untuk membuat dakwaan atau jaminan sedemikian, kecuali untuk memuktamadkan urus niaga.”

Para pelanggan membayar sehingga S$10,000 bagi mendapatkan khidmat tersebut.

Siasatan mendedahkan bahawa Encik Cheng bertanggungjawab mengarahkan operasi perniagaan-perniagaan tersebut dan dengan sengaja melaksanakan amalan perdagangan yang mengelirukan itu.

Apabila Paul Immigrations disiasat, Encik Cheng terus beroperasi melalui perniagaan lain untuk mengelak daripada dikesan.

“Cheng sendiri menulis skrip berhubung apa yang perlu dilakukan dan diperkatakan oleh kakitangan kepada bakal pelanggan, memantau taktik jualan mereka melalui rakaman kamera litar tertutup dan melaksanakan sistem ganjaran dan hukuman untuk memastikan kakitangan mematuhi kaedahnya.”

Mahkamah daerah pada 22 Julai memerintahkan Encik Cheng, VED Immigrations dan SAVA Immigrations supaya menghentikan amalan perdagangan yang tidak adil itu; menyiarkan butiran perintah mahkamah di platform online yang digunakan untuk memasarkan perkhidmatan mereka dan di dalam akhbar utama Singapura; memaklumkan semua bakal pelanggan berhubung perintah mahkamah itu sebelum menandatangani kontrak dengan mereka; serta memaklumkan CCCS tentang sebarang perubahan kepada struktur perniagaan, status pekerjaan Encik Cheng, dan kawalan atau pemilikan beliau terhadap perniagaan-perniagaannya.

CCCS menyatakan bahawa ini merupakan tindakan mahkamah pertama terhadap individu yang menggunakan entiti perniagaan baharu untuk menyembunyikan amalan perdagangan yang tidak adil.

Ketua eksekutifnya, Alvin Koh, berkata kebimbangan dan kekurangan pengetahuan dalam kalangan pengguna terhadap sistem imigresen Singapura dieksploitasikan oleh ketiga-tiga syarikat itu, dengan mengelirukan mereka untuk membayar sejumlah besar wang.

“Dalang itu cuba mengelak daripada dikesan dengan menutup perniagaan awalnya sambil meneruskan amalan yang sama melalui perniagaan lain,” kata Encik Koh.

“CCCS telah mengambil tindakan mahkamah dalam kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian bagi kes-kes yang serupa.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita