2 syarikat binaan didenda S$77,000 kerana rosakkan saluran air
Dua syarikat binaan didenda S$77,000 kerana merosakkan saluran air bersih, menurut agensi air negara PUB pada Khamis (3 Jan).
(Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Dua syarikat binaan didenda S$77,000 kerana merosakkan saluran air bersih, menurut agensi air negara PUB pada Khamis (3 Jan).
Kerosakan yang disebabkan oleh HSC Pipeline Engineering dan SNK Engineering & Trading menyaksikan pembaziran lebih 6,400 meter padu air - iaitu hampir sama jumlah air dalam tiga kolam renang saiz Olimpik.
Kedua-dua syarikat didapati bersalah dan didenda pada Ogos tahun lalu.
HSC, yang didenda S$47,000, didakwa merosakkan saluran utama air selebar 1.2 meter di tapak kerja di simpang Woodlands Avenue 8 dan 9.
Insiden berkenaan berlaku pada 17 Disember 2016 semasa syarikat tersebut sedang melakukan kerja-kerja pemasangan paip bawah tanah, menurut kenyataan media PUB.
"Sebelum melakukan kerja-kerja sedemikian berdekatan saluran air, syarikat kontraktor diwajibkan membuat parit atau lubang percubaan untuk menentukan penjajaran dan paras kedalaman saluran air," menurut PUB.
Syarikat terlibat juga perlu menyerahkan dokumen-dokumen relevan untuk mendapatkan kelulusan PUB sebelum memulakan sebarang kerja, menurut agensi itu.
Dalam insiden berkenaan, HSC gagal mengenal pasti lokasi paip air dan merosakkannya semasa menggunakan mesin pembicuan paip.
Bekalan air perlu ditutup dan PUB juga menerima aduan tentang air yang berkelodak dari premis-premis komersil berdekatan.
Sebelum itu, syarikat yang sama pernah merosakkan paip berukuran 150 milimeter (mm) pada Jun 2013 dan didenda S$3,000, menurut PUB.
Bagi kes SNK pula, kontraktor itu sedang membina longkang dan tempat jalan kaki baru di Cecil Street pada 2 Oktober tahun lalu apabila ia merosakkan saluran utama air berukuran 300mm.
PUB menyatakan syarikat itu menebuk lubang pada paip utama itu semasa ia sedang memecahkan longkang sedia ada. Ini mengakibatkan pembaziran air sebanyak 360 meter padu.
"Syarikat tersebut gagal mematuhi garis panduan PUB bagi kerja-kerja yang dijalankan ke atas saluran utama air dan tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko kerosakan," menurut kenyataan itu.
Ini merupakan kesalahan pertama SNK dan ia didenda S$30,000.
Pengarah jabatan (rangkaian) bekalan air PUB Ridzuan Ismail menggesa semua kontraktor supaya memastikan semua langkah wajar diambil semasa melakukan kerja-kerja dekat saluran air.
"Saluran air adalah prasarana penting yang menyalurkan air yang dirawat dari loji rawatan air PUB dan kolam air ke rumah-rumah dan pejabat-pejabat di Singapura," kata Encik Ridzuan.
"Bagi kes-kes yang serius, kerosakan pada saluran air boleh menyebabkan gangguan pada bekalan air atau mengakibatkan air berkelodak di kemudahan berdekatan dan menyusahkan pengguna."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.