2 suspek diberkas, elak bayar cukai & GST lebih S$450,000
Dua orang ditangkap pada 23 Januari selepas pegawai kastam menemui 4,228 karton rokok tidak dibayar cukai, kata Kastam Singapura pada Isnin (3 Feb).
Gabungan imej dua van dan rokok tidak dibayar cukai yang dirampas oleh Kastam Singapura pdda 23 Jan. (Gambar: Kastam Singapura)
Cukai serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar daripada rokok itu berjumlah sekitar S$457,968.
Seorang lelaki dan seorang wanita - kedua-duanya rakyat Singapura berusia 29 tahun diberkas.
Dua van turut dirampas dalam operasi di Petir Road di Bukit Panjang.
Menurut Kastam Singapura, pada awalnya, para pegawai menemui 1,252 karton rokok tidak dibayar cukai di dalam sebuah van.
"Siasatan lanjut menggunakan kunci yang ditemui dalam van tersebut membawa pegawai ke sebuah lagi van yang diletakkan berhampiran, di mana terdapat lagi 2,976 karton rokok tidak dibayar cukai," menurut agensi berkenaan.
"Peralatan dadah juga ditemui dalam salah satu van tersebut, dan ia dirujukkan kepada Biro Narkotik Pusat untuk siasatan lanjut."
Siasatan mendapati suspek lelaki itu dipercayai terlibat dalam penghantaran rokok tidak dibayar cukai.
"Prosiding mahkamah sedang dijalankan terhadap lelaki itu," menurut Kastam Singapura, sambil menambah suspek wanita itu masih disoal siasat.
Di bawah Akta Kastam dan Akta GST, adalah satu kesalahan untuk membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan sebarang barang tidak dibayar cukai.
Pesalah boleh dipenjara sehingga enam tahun, dikenakan denda hingga 40 kali ganda cukai dan GST yang tidak dibayar, atau kedua-duanya sekali.
Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu juga boleh dirampas, menurut Kastam Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.