Skip to main content

Singapura

2 'supermoon', pancuran tahi bintang akan dapat dilihat di SG

Anggaran Waktu Membaca:
2 'supermoon', pancuran tahi bintang akan dapat dilihat di SG

'Supermoon' di Singapura pada 11 Ogos 2022. (Gambar: A Kannan)

Diterbitkan : 27 Jul 2023 07:50AM
SINGAPURA: Pada bulan Ogos nanti, dua 'supermoon' atau bulan mengambang yang besar dapat dilihat di Singapura, menurut Balai Cerap Pusat Sains pada Selasa (25 Jul).

Bahkan ia bukan sekadar musim 'supermoon' sahaja - warga Singapura juga akan berpeluang menyaksikan dua pancuran tahi bintang dalam masa beberapa minggu akan datang.

'Supermoon' itu, yang dikenali sebagai Bulan Sturgeon dan Bulan Biru, adalah dua daripada empat 'supermoon' yang dapat disaksikan pada 2023.

'Supermoon' adalah fenomena yang berlaku apabila orbit bulan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi, sekali gus menjadikannya kelihatan lebih besar dan bercahaya berbanding biasa, jelas balai cerap itu.

MUSIM 'SUPERMOON'

'Supermoon' pertama, iaitu Bulan Sturgeon, dapat dilihat pada 1 Ogos 2023.

Ia juga bakal menjadi 'supermoon' kedua paling dekat dengan Bumi tahun ini, selepas Bulan Biru, menurut Balai Cerap Pusat Sains.

Bulan tersebut akan mula terbit pada pukul 7.00 malam dari bahagian tenggara dan "dijangka berada pada ketinggian yang dapat dilihat dengan jelas" mulai pukul 9.00 malam.

Bulan Sturgeon akan terus terbit sehingga ia mencapai paras tertingginya di langit pada pukul 1.00 pagi.

Ia akan terbenam pada pukul 7.25 pagi pada 2 Ogos.

Para pemerhati bintang pula boleh mengalu-alukan 'supermoon' yang kedua, yang dikenali sebagai Bulan Biru, pada 31 Ogos.

"Bulan Biru dijangka menjadi 'supermoon' yang paling bercahaya dan dekat dengan Bumi tahun ini," dedah balai cerap berkenaan.

Mula terbit pada pukul 7.34 malam dari bahagian timur, bulan itu akan berada pada ketinggian yang mudah dilihat mulai pukul 9.00 malam.

Bulan tersebut akan mencapai paras tertingginya pada pukul 12.51 pagi dan terbenam pada jam 7.03 pagi pada 1 September.

Kali terakhir Bulan Biru dilihat adalah pada 31 Oktober 2020.

BAGAIMANA MAHU LIHAT BULAN?

Menurut balai cerap itu, kedua-dua 'supermoon' "dapat dilihat dengan mudah di merata Singapura" selagi langit memberi pemandangan yang jelas.

Pada bulan lalu, para peminat dan jurugambar berpeluang menyaksikan 'supermoon' pertama tahun ini dipanggil Bulan Buck, meskipun hujan turun dengan lebat pada sebelah tengah hari.

Bagi pemandangan yang lebih baik dan "di tempat yang kemungkinan lebih tinggi" untuk melihat 'supermoon', orang ramai boleh mengunjungi kawasan seperti Bendungan Marina, East Coast Park dan Southern Ridges, kongsi Balai Cerap Pusat Sains.

PANCURAN TAHI BINTANG

Pencinta astronomi pula akan dapat menyaksikan pancuran tahi bintang Delta Aquariids dan Perseid di Singapura.

Tahi bintang adalah serpihan partikel komet dari asteroid yang pecah, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Nasional Amerika Syarikat (NASA).

Pancuran tahi bintang Delta Aquariids akan dapat dilihat paling jelas mulai pukul 2.00 pagi pada 30 Julai.

Pancuran tahi bintang Perseid pula dapat disaksikan dengan jelas mulai jam 4.00 pagi pada 12 Ogos.

Meskipun tiada peralatan diperlukan, pemerhati bintang dinasihatkan supaya memandang ke arah timur laut.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita