Skip to main content

Singapura

2 sahabat karib, Sheikha Alsagoff & Nicole Liel lancar wadah sehenti bagi semua produk halal

Anggaran Waktu Membaca:
2 sahabat karib, Sheikha Alsagoff & Nicole Liel lancar wadah sehenti bagi semua produk halal

(Gambar: Sheikha Alsagoff)

BERITAmediacorp: Cetusan idea di tengah malam beberapa minggu sebelum menyambut Ramadan tahun lalu mendorong dua sahabat karib, Sheikha Alsagoff dan Nicole Liel,  untuk melancarkan wadah sehenti @allthingshalalsg di Instagram. 

Ketika itu, banyak perniagaan terpaksa beralih ke perniagaan dari rumah (HBB) disebabkan oleh pandemik, kata Cik Sheikha, seorang penyelaras projek di sebuah syarikat kajian klinikal yang sebelum ini pernah mengendalikan HBBnya sendiri menjual biskut dan 'brownie', @shakesbakessg. 

"Kami ingin mewujudkan sebuah wadah di mana kami boleh memberi pendedahan dan menguar-uarkan HBB dengan harapan ia berkembang untuk menjadi sesuatu yang lebih besar, di mana kami boleh mewujudkan satu masyarakat terbuka bagi umat Islam di Singapura untuk mencari apa saja yang mereka inginkan dari makanan, pakaian dan alat solek," tambahnya. 

Bagi Cik Liel pula, pencipta kandungan itu berganding bahu dengan Cik Sheikha setelah membuka perniagaan bulu mata CUUUL.sg yang menyediakan khidmat 'lash lifting'. 

Bagi memastikan khidmatnya boleh digunakan oleh semua orang, tanpa mengira agama, Cik Liel memastikan proses penghasilan produknya menggunakan bahan-bahan yang telap air agar Muslimah masih boleh mengambil wuduk setelah mencantikkan bulu mata mereka. 

Menerusi pelanggannya yang kebanyakannya beragama Islam, Cik Liel mempelajari lebih banyak lagi tentang amalan dan agama Islam dan tergerak untuk menggunakan platform tersebut untuk membantu masyarakat yang banyak membantu dirinya. 

"Rakan-rakan saya juga kebanyakannya Muslim, jadi saya pun lama-kelamaan sedar, bagaimana pilihan halal agak terhad atau tidak diketahui di beberapa tempat.

"Jadi saya pun berkongsi idea ini dengan salah seorang rakan paling rapat saya yang juga suka makan untuk memulakan inisiatif ini," kongsi Cik Liel. 

Lantaran itu, terlahir @allthingshalalsg di mana kedua-dua sahabat karib itu merakam video dan memetik gambar dengan kerjasama penjual produk atau makanan sambil menghiburkan hati penonton. 

(Gambar: Sheikha Alsagoff)

HARUS SENSITIF 

Namun, usaha dua rakan yang menjadi rapat semasa menuntut di Maktab Rendah Meridian itu tidak sunyi daripada halangan. 

Kata Cik Liel, mereka berdua, khususnya dirinya yang bukan beragama Islam, harus peka dengan sensitiviti keagamaan dan kaum apabila merakam atau memuat naik sebarang video ke Instagram. 

"Ia adalah sesuatu yang kami harus memikirkan dan mengambil kira kerana kami mempromosikan diri kami sebagai 'semuanya Halal' seperti nama kami. 

"Dan kadangkala, kerana saya bukan seorang Muslim, saya takut terlepas pandang perkara-perkara yang mungkin sensitif atau berpotensi mencetuskan kontroversi atau menimbulkan perbahasan. 

"Jadi dengan adanya Sheikha yang beragama Islam, kami bersama-sama akan cuba memastikan kandungan yang kami sediakan mengandungi maklumat yang betul dan tidak akan menyinggung perasaan mana-mana pihak," tambahnya. 

(Gambar: Nicole Liel)

HARAPAN BAGI TAHUN AKAN DATANG 

Apa yang merupakan satu projek kecil pada awalnya, kini menjadi satu wadah sehenti di mana orang ramai boleh menggunakannya sebagai rujukan mengenai perniagaan yang dimiliki masyarakat Melayu/Islam.

"Kami tidak menyangka platform kami ini akan berkembang seperti mana yang berlaku dalam setahun sejak kami bermula.

"Pada tahun akan datang, kami ingin pastikan kandungan kami kekal relevan dan 'fresh' dan mempunyai lebih ramai pencipta kandungan menyertai usaha ini," luah Cik Sheikha. 

Selain itu, mereka juga merancang untuk mengusahakan lebih banyak projek pendampingan masyarakat Ramadan ini untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. 

"Mungkin satu hari nanti, kami boleh menganjurkan majlis iftar atau mengumpul sumbangan makanan untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita