Skip to main content

Singapura

2 remaja lelaki disiasat setelah ludah ditemui pada cermin, butang lif di Punggol, Ang Mo Kio

Dua remaja lelaki disiasat setelah ludah ditemui pada cermin dan butang dalam lif-lif di Punggol dan Ang Mo Kio, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
2 remaja lelaki disiasat setelah ludah ditemui pada cermin, butang lif di Punggol, Ang Mo Kio

Gambar fail. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 29 Feb 2020 10:03AM Dikemas Kini : 29 Feb 2020 11:52AM

SINGAPURA: Dua remaja lelaki disiasat setelah ludah ditemui pada cermin dan butang dalam lif-lif di Punggol dan Ang Mo Kio, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (28 Feb).

Kedua-dua remaja yang berusia 12 dan 17 tahun, sedang disiasat kerana disyaki terbabit dalam dua kes gangguan awam yang berasingan.

Polis menerima aduan pada 23 Feb mengenai kesan ludah ditemui pada lif-lif di beberapa blok di Punggol Walk.

Aduan serupa turut diterima pada 25 Feb setelah ludah ditemui dalam lif-lif di beberapa blok di Ang Mo Kio Street 32.

Identiti kedua-dua remaja itu dapat berjaya dikenal pasti hasil siasatan dan maklum balas orang awam serta gambar yang dirakam menerusi kamera polis.

"Kejadian itu menimbulkan rasa cemas dan kegusaran ketika Singapura sedang menangani situasi COVID-19 di mana virus tersebut boleh merebak secara tidak langsung menerusi sentuhan pada permukaan yang tercemar," menurut kenyataan polis.

Siasatan polis terhadap kedua-dua remaja lelaki itu sedang dijalankan.

"Polis memandang serius terhadap perbuatan tidak bertimbang rasa dan tidak bertanggungjawab seperti itu, terutama sekali di tengah-tengah penularan COVID-19 sekarang ini," menurut polis.

"Semua orang perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan diri dan bersikap bertanggungjawab secara sosial."

Sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan melakukan gangguan awam boleh dikenakan denda sehingga S$2,000, dedah polis.

Jika perbuatan itu boleh menyebabkan kecederaan, menimbulkan bahaya atau kegusaran terhadap individu lain, para pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda hingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita