Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 remaja disiasat polis kerana rosakkan harta benda pemerintah gara-gara cabaran TikTok

Polis sedang menyiasat dua remaja lelaki yang didakwa merosakkan harta benda pemerintah sebagai sebahagian daripada cabaran media sosial yang menggalak pelajar supaya merosakkan atau mencuri harta benda milik sekolah lalu memuat naik perbuatan mereka di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat dua remaja lelaki yang didakwa merosakkan harta benda pemerintah sebagai sebahagian daripada cabaran media sosial yang menggalak pelajar supaya merosakkan atau mencuri harta benda milik sekolah lalu memuat naik perbuatan mereka di media sosial.

Cabaran 'Devious Licks' di wadah media sosial TikTok bermula awal bulan ini dan menjadi tular di mana golongan remaja memuat naik rakaman video yang menunjukkan diri mereka sedang merosakkan, memusnahkan atau menayangkan harta benda dicuri dari sekolah, kebanyakannya dari tandas-tandas awam di sana.

Rakaman video yang menunjukkan pelajar sedang memecahkan cermin dan singki tandas, mencuri tempat menyimpan sabun dan rumput dari padang-padang sukan sekolah lawan, turut dimuat naik di wadah kongsi video itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (21 Sep), polis menyatakan bahawa mereka dimaklumkan tentang dua kejadian di Singapura yang dipercayai berkaitan dengan cabaran media sosial itu.

Kejadian itu dilaporkan kepada polis dan remaja yang terbabit sudah dikenalpasti, menurut polis.

Dalam satu kejadian membabitkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, polis menerima aduan tentang gambar yang memaparkan remaja lelaki itu memegang papan tanda stesen MRT Kaki Bukit milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Papan tanda itu pada asalnya digantung di laluan pejalan kaki berbumbung yang menghala ke stesen MRT Kaki Bukit.

Gambar itu dimuat naik ke beberapa wadah media sosial, menurut polis.

Menerusi siasatan lanjut dan rakaman dari kamera polis, pihak penguatkuasa undang-undang berjaya mengenal pasti identiti budak lelaki itu dan mendapatkan semula papan tanda tersebut dari rumahnya.

Dalam kejadian kedua, polis menerima aduan tentang satu video yang menunjukkan seorang budak lelaki 14 tahun sedang memegang papan tanda milik Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Rakaman video itu dimuat naik ke TikTok, menurut polis yang menambah bahawa belia itu dipercayai menanggalkan papan tanda berkenaan yang pada asalnya dipasang di Jalan Songket.

Budak lelaki itu sudah memulangkan papan tanda tersebut ke tempat asalnya setelah merakam video media sosial itu, menurut polis.

Kedua-dua kejadian berlaku selang beberapa jam pada petang Ahad (19 Sep).

Siasatan polis ke atas kedua-dua kejadian masih dijalankan.

Sebarang perbuatan yang melibatkan harta benda pemerintah diambil tanpa kelulusan bertulis daripada seorang pegawai atau wakil Pemerintah dianggap sebagai kesalahan merosakkan harta benda.

Mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$2,000 dan disebat antara tiga dengan lapan kali.

"Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbuatan atau trend menular online yang merupakan kesalahan jenayah," menurut polis.

"Mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas."

TikTok menyatakan ia sudah mengambil langkah untuk menghentikan trend itu dengan memadamkan kandungan dari wadahnya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan