2 remaja didakwa kerana ugut pelajar lelaki dengan pisau
Dua remaja didakwa selepas seorang budak lelaki dirakam diugut dengan pisau.
Lima remaja berusia antara 12 dengan 15 tahun diberkas pada 10 Julai kerana disyaki terbabit dalam kes merusuh. (Gambar: Facebook/Absa Yakob)
Dalam video yang dimuat naik ke Facebook pada Rabu (23 Jul) dan tersebar secara meluas online, seorang remaja dilihat mengacukan pisau pada bahagian leher seorang budak lelaki sebelum menamparnya.
Berdasarkan video tersebut, mangsa diberi dua pilihan - dipukul atau dibogelkan. Budak lelaki itu menanggalkan kemeja-T sebelum video itu tamat.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan bahawa kejadian itu berlaku pada 6 Julai dan lima remaja berusia antara 12 dan 15 tahun diberkas pada 10 Julai kerana merusuh.
Dua daripada mereka, berusia 13 dan 15 tahun, didakwa pada 16 Julai kerana menyebabkan kesakitan dengan sengaja. Remaja berusia 15 tahun itu turut dikenakan satu tuduhan membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Siasatan sedang dijalankan terhadap tiga remaja yang lain.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa ia sedia maklum tentang video yang tersebar di media sosial itu dan para pelaku yang terlibat sedang disoal siasat oleh pihak polis.
"Tingkah laku sedemikian tidak boleh diterima dan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita," tegas MOE.
MOE turut mendedahkan bahawa pihak sekolah telah menghulurkan sokongan kepada pelajar yang terjejas dan keluarganya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.