Skip to main content

Singapura

2 remaja antara 4 individu diberkas di Pusat Pemeriksaan Tuas kerana seludup vape dari Johor Bahru

Anggaran Waktu Membaca:
2 remaja antara 4 individu diberkas di Pusat Pemeriksaan Tuas kerana seludup vape dari Johor Bahru

Gambar: ICA

Diterbitkan : 28 Dec 2023 09:43PM Dikemas Kini : 28 Dec 2023 09:47PM
SINGAPURA: Empat lelaki berusia antara 16 dengan 24 tahun diberkas kerana dipercayai membawa masuk vape dari Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 21 Dis, dua hari selepas pihak berkuasa Singapura mengumumkan bahawa ia akan mengetatkan lagi pemeriksaan penguatkuasaan di pusat pemeriksaan bagi membanteras vape.
Dalam kenyataan bersama pada Khamis (28 Dis), Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan bahawa berdasarkan siasatan yang dijalankan, lelaki-lelaki terbabit telah membeli vape dan komponen-komponen berkaitan dari sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.
Gambar: ICA
Mereka kemudian cuba memasuki Singapura menaiki sebuah kereta yang disewa daripada platform kongsi kereta.

Para pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Tuas mengarahkan kereta berdaftar di Singapura itu untuk menjalani pemeriksaan kedua.
Gambar: ICA
"Semasa pemeriksaan dijalankan, para pegawai menemui 25 vape dan komponen-komponen berkaitan yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang, dalam beg makanan dan dalam salah satu pakaian tertuduh," dedah agensi itu.
Gambar: ICA

Vape dan komponen-komponennya yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$200.

Keempat-empat suspek, yang berusia 16, 18, 20 dan 24 tahun sedang disiasat atas pelibatan mereka dalam mengimport vape ke Singapura.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjalankan kegiatan haram seperti mengimport atau menjual vape kepada orang ramai.

Di bawah Akta (Kawalan Iklan dan Penjualan) Tembakau, sesiapa sahaja yang disabitkan dengan kesalahan sedemikian buat kali pertama boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya sekali.

Pemilikan, penggunaan atau pembelian vape menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan denda maksimum S$2,000.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita