2 rakyat S'pura cedera parah dalam kemalangan di Melbourne
Seorang wanita rakyat Singapura berusia 21 tahun didakwa polis menyusuli satu kemalangan kereta di Victoria yang mengakibatkan dua rakyat Singapura kini bertarung nyawa.

Kenderaan polis Australia di Melbourne. (Gambar: Mal Fairclough/AFP)
MELBOURNE: Seorang wanita rakyat Singapura berusia 21 tahun didakwa polis menyusuli satu kemalangan kereta di Victoria yang mengakibatkan dua rakyat Singapura kini bertarung nyawa.
Perkara ini disahkan oleh pihak berkuasa Australia.
Polis Victoria menyatakan bahawa kemalangan berlaku pada Ahad (25 Nov), jam 8.15 malam (waktu tempatan) di persimpangan antara Remembrance Drive dengan Madden Road di Windermere, Ballarat, sekitar 130 kilometer dari Melbourne.
"Terdapat lima orang dalam salah satu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu - kesemuanya rakyat Singapura. Mereka dikejarkan ke hospital, tiga daripada mereka cedera ringan," menurut polis.
"Pemandu, seorang wanita berusia 21 tahun, didakwa kerana cuai dan memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengakibatkan kecederaan serius."
Pemandu terbabit dijangka dibicarakan di Mahkamah Magistret Ballarat hari ini (26 Nov).
Polis Victoria menambah: "Seorang wanita berusia 26 tahun masih lagi dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital manakala seorang lagi wanita berusia 21 tahun cedera parah.
Kereta yang dinaiki rakyat Singapura itu bertembung dengan kereta lain yang dipandu seorang lelaki yang membawa seorang anaknya yang berusia 10 tahun, lapor media tempatan. Polis menyatakan bahwa lelaki berusia 48 tahun itu dan anaknya tidak cedera dalam kejadian.
Menurut Nine News Melbourne, kemalangan berlaku selepas pemandu Singapura itu gagal berhenti di persimpangan.
"Ia jelas menunjukkan satu kes di mana pemandu gagal menumpukan perhatian," kata Sarjan Detektif Mark Amos kepada Nine News Melbourne.
"Buat masa ini, kami sedang cuba sedaya upaya untuk menghubungi keluarga para mangsa untuk menyampaikan khabar yang sangat, sangat buruk."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.