Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pusat penjaja baru dibuka tahun ini; 25 dijadual dinaik taraf, kata Amy Khor

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua pusat penjaja baru, termasuk satu di Buangkok akan dibuka pada tahun ini.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor pada Khamis (2 Mac).

Pusat Penjaja Buangkok dan Pusat Penjaja Woodleigh Village dijangka beroperasi pada tahun ini.

Demikian diumumkan Dr Khor di Parlimen, di samping kemas kini mengenai usaha bagi memelihara perniagaan penjaja di Singapura.

Pusat Penjaja Buangkok yang terletak di 70 Compassvale Bow, akan mempunyai 38 gerai makanan dan 721 tempat duduk.

Manakala, Pusat Penjaja Woodleigh Village pula akan menyediakan 39 gerai makanan dan 725 tempat duduk, menurut kenyataan bersama oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

"Apabila dibuka, kedua-dua pusat penjaja itu akan saling terhubung dengan kemudahan kejiranan yang lain dan rangkaian pengangkutan," menurut NEA dan MSE.

"Sejajar dengan pusat penjaja baru yang lain, pusat penjaja ini direka bagi menyediakan sekitaran bekerja dan makan yang selesa bagi pengunjung dan pemilik gerai."

Ciri-ciri yang disediakan termasuk siling tinggi bagi pengudaraan semula jadi yang baik dan ruang tempat duduk yang besar.

Selain itu, Pusat Penjaja Jurong West yang diperbaharui juga dijadual dibuka semula pada suku ketiga tahun ini.

Ia akan menampilkan susun atur yang diperbaharui dan lebih banyak gerai makanan, apabila dibuka kelak.

Secara keseluruhan, sebanyak 25 pusat penjaja dijadual menjalani kerja-kerja naik taraf tahun ini.

Menurut NEA dan MSE, kerja-kerja naik taraf berkala sedemikian dijalankan setiap enam hingga lapan tahun bagi memastikan pusat-pusat penjaja itu berada dalam keadaan baik dan dapat terus menawarkan sekitaran makanan yang selesa untuk para pengunjung.

Mulai tahun depan pula, Pasar Geylang Serai dan Pusat Makanan dan Pasar Cheng San akan menjalani program Perubahan Pusat Penjaja.

Ini antara lain melibatkan penyusunan semula aturan tempat duduk dan mempertingkat sistem pengudaraan.

Sementara itu, NEA menyatakan bahawa ia akan bekerjasama dengan pengendali pusat penjaja baru bagi merintis penggunaan kiosk kudapan bagi menawarkan pelbagai jenis kudapan seperti muah chee dan putu piring.

"Kami juga menerima maklum balas bahawa beberapa kudapan tempatan kian sukar ditemui," kongsi Dr Khor.

Penjaja yang menjual kudapan sedemikian biasanya merasakan ia mencabar untuk mengekalkan gerai makanan mereka sepenuhnya.

Dr Khor menegaskan bahawa pihaknya akan meneliti kesesuaian untuk mengadakan kiosk sedemikian sebelum memutuskan sama ada mereka patut meningkatkan skala projek yang dirintis itu.

Kiosk tersebut, yang boleh mengenakan kos sewa dan operasi yang lebih rendah, dapat membantu dalam memelihara kudapan tersebut sebagai sebahagian daripada budaya penjaja, dedah NEA.

NEA juga akan memperluaskan Program Pusat Penjaja Produktif untuk menyediakan pembiayaan bersama bagi penggunaan huraian Automasi Proses Pembersihan di pusat penjaja.

Menurut Dr Khor, ia akan mengurangkan beban kerja bagi para pekerja pembersih, terutama sekali ketika waktu sibuk.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan