2 projek baru lindungi pantai, paya bakau Pulau Ubin
Lembaga Taman Negara (NParks) akan melaksanakan "huraian berasaskan alam semula jadi" untuk mengukuhkan daya tahan kawasan pantai Singapura di Pulau Ubin, umum lembaga itu pada Sabtu (25 Sep).
SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) akan melaksanakan "huraian berasaskan alam semula jadi" untuk mengukuhkan daya tahan kawasan pantai Singapura di Pulau Ubin, umum lembaga itu pada Sabtu (25 Sep).
Huraian berasaskan alam semula jadi merujuk kepada penggunaan alam sekitar untuk menangani cabaran sosio-persekitaran untuk memberi manfaat kepada manusia dan kepelbagaian bio di pulau tersebut.
Projek perlindungan pantai itu meliputi kawasan persisir sepanjang sekitar 2.2 kilometer di bahagian utara Pulau Ubin, dan saling dilengkapi dengan projek pemulihan habitat bakau di Sungei Durian, di bahagian pantai selatan.
"Dengan menanam pokok dan renek, serta meningkatkan dan memulihkan habitat bakau di sepanjang pantai, kita dapat membantu melindungi negara daripada kenaikan paras air laut, dan pada masa yang sama, menyediakan habitat utama bagi spesies laut dan pesisir pantai hidup mekar," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee semasa melancarkan Festival Kepelbagaian Bio edisi ke-10 NParks pada Sabtu (25 Sep).
Projek-projek itu dijangka dimulakan tahun depan dan siap menjelang tahun 2024
Projek perlindungan pantai Pulau Ubin itu diusahakan menyusuli projek serupa di Pulau Tekong dan Taman Semula jadi Paya Kranji.
TINGKATKAN RUANG HIJAU
Huraian daya tahan pantai negara adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk memperkukuh daya tahan iklimnya, tunggak utama Pelan Hijau Singapura 2030.
Langkah lain termasuk meningkatkan dan perbaiki alam semula jadi di ruang-ruang hijau. Ini akan membantu menyejukkan persekitaran.
Encik Lee berkata bahawa NParks akan memperuntukkan lagi 1,000 hektar (ha) untuk ruang hijau, seperti hutan simpanan, taman, dan laluan penghubung taman, selain 7,800ha yang sedia ada.
NParks juga akan menanam lagi sejuta pokok di bawah gerakan SatuJutaPokok atau OneMillionTrees.
Singapura juga akan menjadikan ruang-ruang birunya lebih bersifat semula jadi, untuk meningkatkan daya tahan banjir, kata Encik Lee. Ruang biru yang dimaksudkan termasuk saluran air negara dan takungan air.
Ini dilakukan dengan "mengubah saluran air konkrit kepada sungai atau anak sungai semula jadi, atau takungan air dijadikan tasik," jelas beliau.
"Ini akan membantu mengurangkan risiko banjir kilat bagi kawasan berdekatan. Pada masa yang sama, ia mewujudkan habitat baru buat hidupan liar dan lebih banyak ruang riadah untuk dinikmati warga Singapura. "
Encik Lee memberi contoh Taman Bishan-Ang Mo Kio dan Taman Tasik Jurong sebagai ruang sedemikian.
LINDUNGI KEPELBAGAIAN BIOLOGI
Huraian berasaskan semula jadi juga akan meningkatkan daya tahan ekologi Singapura, dengan mewujudkan habitat baru dan menghubungkan kawasan yang ada, tambah Encik Lee.
Salah satu contoh program pemuliharaan kepelbagaian bio NParks adalah program pemulihan spesies, yang menjalankan usaha khusus untuk memulihara flora dan fauna asli negara ini, terutama spesies "jarang ditemui dan terancam".
Di bawah program pemulihan spesies, NParks akan menetapkan "sasaran yang lebih tinggi", katanya.
Usaha pemuliharaannya akan ditambah daripada 90 spesies tumbuhan dan 40 haiwan buat masa ini, menjadi 100 spesies tumbuhan dan 60 haiwan menjelang 2030.
Satu lagi program kelolaan NParks adalah 'Plant-A-Coral, Seed-A-Reef' atau 'Tanam Karang, Kembangkan Terumbu', yang menggunakan teknologi mineral baru "untuk merangsang pertumbuhan karang".
(Gambar: Max Khoo)
Encik Lee juga mengiktiraf usaha pemuliharaan marin, merujuk kepada Senarai Merah Singapura, yang merangkumi status pemuliharaan tumbuhan dan haiwan yang terancam.
Lebih 40 spesies haiwan Singapura kini lebih berdaya tahan, katanya seperti pelanduk atau kancil dan monyet Sunda Slow Loris.
Festival Kepelbagaian Bio tahun ini dijalankan secara hibrid, menampilkan hutan hujan Singapura, serta penanaman pokok secara langsung dengan langkah-langkah jarak selamat. Orang ramai yang berminat untuk mengambil bahagian dalam festival selama sebulan boleh mengunjungi http://www.nparks.gov.sg/festivalofbiodiversity.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.