Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 profesor diberi Anugerah Warga Kehormat atas sumbangan kepada S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua profesor diiktiraf atas sumbangan mereka kepada Singapura dan diberi Anugerah Warga Kehormat hari ini (9 Jun).

Presiden Halimah Yacob menyampaikan anugerah tersebut kepada Profesor K Ranga Rama Krishnan dan Profesor Duane J Gubler di majlis yang berlangsung di Istana hari ini.

Anugerah Warga Kehormat ialah pengiktirafan kebangsaan yang tertinggi untuk mereka yang bukan warga Singapura.

Anugerah tersebut diberikan oleh Pemerintah Singapura sejak 2003 untuk "mengiktiraf sumbangan warga asing yang sudah memberikan khidma-khidmat yang meluas dan berharga kepada Singapura dan rakyatnya", menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis.

Gelaran Warga Kehormat adalah untuk seumur hidup.

Profesor Krishnan ialah pengerusi Majlis Kajian Perubatan Nasional (NMRC) Kementerian Kesihatan Singapura (MOH). 

Beliau juga merupakan ketua pegawai eksekutif sistem Universiti Rush bagi kesihatan di Amerika Syarikat.

"Beliau membimbing NMRC untuk merangka dan melaksanakan strategi untuk menggalakkan kecemerlangan dalam sains kesihatan dan bioperubatan".

"Ini membawa kepada hasil yang memberi kesan kepada Singapura", menurut MOH dan NEA dalam kenyataan media bersama.

Beliau juga berkhidmat sebagai Dekan Duke-NUS dari 2008 hingga 2015 dan menjadi anggota Lembaga SingHealth dari 2013 hingga 2022.

Prof Krishnan berkata: "Saya rasa rendah hati dan amat berterima kasih menerima Anugerah Warga Kehormat dan menyertai kumpulan penerima yang sangat dihormati.

"Saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk terlibat dalam transformasi sistem kesihatan Singapura dan sektor bioteknologi untuk menjadi pemimpin global yang sebenar."

Prof Gubler ialah Profesor Emeritus dan pengarah pengasas Program Emerging Infectious Diseases (EID) di Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Beliau juga merupakan pengerusi Panel Penasihat Pakar Denggi NEA yang membimbing pasukan penyelidik dalam membangunkan dan merintis teknologi Wolbachia.

Nasihat yang diberikan oleh Profesor Gubler membentuk asas program kawalan denggi Singapura hari ini. 

Perkongsian Singapura dengan Profesor Gubler bermula sejak tahun 1970-an. 

Beliau sudah "memainkan peranan penting dalam membentuk strategi kesihatan awam Singapura dan berkhidmat dalam banyak panel penasihat pakar untuk MOH dan NEA", menurut kenyataan media tersebut. 

Selain denggi, Profesor Gubler mengetuai penubuhan program EID di Duke-NUS dan mengambil pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman Singapura dengan SARS pada 2003 dan influenza H1N1 pada 2009.

"Berkat usaha ini, tindak balas COVID-19 Singapura dipuji seluruh dunia kerana tahap kesediaan dan kecekapannya yang tinggi," jelas MOH dan NEA.

Profesor Gubler berkata: "Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa dengan rendah hati saya menerima Anugerah Warga Kehormat daripada negara yang hebat seperti Singapura. Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini.

"Saya sudah menyaksikan Singapura berkembang menjadi pemimpin kesihatan awam dan ekonomi global serta menjadi model untuk dicontohi oleh negara lain.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan