2 PR akan didakwa langgar peraturan SHN
Dua penduduk tetap Singapura akan didakwa di mahkamah hari ini (2 Jul) kerana melanggar peraturan-peraturan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) COVID-19.

Gambar fail: Calvin Oh
SINGAPURA: Dua penduduk tetap Singapura akan didakwa di mahkamah hari ini (2 Jul) kerana melanggar peraturan-peraturan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) COVID-19.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan Suresh Naidu Bojanki dan Bharati Tulshiram Choudhari berkenalan semasa dalam penerbangan ke Singapura pada 14 Mac tahun ini.
"Mereka dikenakan notis jangan keluar rumah selama 14 hari setibanya di sini dan dimaklumkan oleh para pegawai ICA bahawa mereka tidak dibenarkan keluar dari bilik masing-masing di kemudahan yang dikhaskan mahupun menerima kunjungan orang lain sepanjang tempoh notis jangan keluar rumah," menurut ICA.
Suresh dan Bharati, masing-masing berusia 37 dan 47 tahun, kemudian dibawa ke kemudahan khas yang sama dan diberi bilik yang berasingan untuk menjalani SHN.
Pada 20 Mac, Suresh didakwa meninggalkan biliknya untuk memasuki bilik Bharati tanpa memakai pelitup pada sekitar pukul 12.30 pagi. Dia didakwa berada di bilik itu selama lebih setengah jam, menurut ICA.
ICA menambah bahawa Suresh dan Bharati akan didakwa atas kesalahan berkomplot supaya Suresh melanggar satu syarat SHN, sekali gus mendedahkan orang lain kepada jangkitan COVID-19.
Suresh juga berdepan satu lagi tuduhan kerana gagal memakai pelitup.
"Demi memastikan kesihatan dan keselamatan masyarakat kita, semua orang harus memainkan peranan dan mematuhi peraturan-peraturan notis jangan keluar rumah jika mereka perlu menjalaninya," nasihat ICA.
Mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan tersebut boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit atau Peraturan COVID-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020.
Jika sabit kesalahan, pesalah kali pertama boleh dijatuhi denda sehingga $10,000 atau dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Warga asing boleh dikenakan tindakan lanjut pentadbiran oleh ICA dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) seperti membatalkan atau menyingkatkan kesahihan permit-permit dan pas-pas mereka untuk terus tinggal atau bekerja di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.