Skip to main content

Singapura

2 peniaga F&B tawarkan makanan asli Cina dan Taiwan

Pasaran halal yang pesat berkembang di Singapura dijangka terus tumbuh dengan kukuh, sejajar dengan permintaan yang meningkat bagi makanan dan produk halal.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Jul 2023 09:57PM Dikemas Kini : 12 Jul 2023 10:39AM

BERITAmediacorp: Pasaran halal yang pesat berkembang di Singapura dijangka terus tumbuh dengan kukuh, sejajar dengan permintaan yang meningkat bagi makanan dan produk halal.

Wartawan Syawal Yusoff bertemu dengan dua usahawan yang memasuki pasaran F&B yang kompetitif dengan menawarkan hidangan asli dari China dan Taiwan.

JUAL AYAM RESIPI 80 TAHUN

Encik Amir Esa, 58 tahun, dan isterinya, Cik Nor Suhir, 56 tahun pertama kali mencuba hidangan 'salt baked chicken' atau 'ayam yang dibakar dengan garam' yang halal di Ipoh, Perak sekitar empat tahun lalu dan tertarik dengan rasanya yang unik.

Setelah pulang ke tanah air, beliau berusaha mencari hidangan tersebut tetapi gagal.

"Kita cari di Geylang, tidak ada. Kita cari di pusat membeli belah, pun tidak ada jual. Kemudian kita cari di Singapura ini ada pasar Jurong, atau ada tidak jual 'Salt Baked Chicken'. Ada yang jual tapi tak ada halal. Jadi dari situ kita kata ini satu idea yang kita boleh buat sesuatu perniagaan kecil-kecilan," kata Encik Amir yang pernah bertugas dalam bidang pertukaran stok hampir dua dekad.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau kembali semula ke Ipoh dan peniaga di sana bersetuju untuk berkongsi resipi keluarganya.

Encik Amir berkata persiapan bagi hidangan itu memakan masa antara enam hingga lapan jam.

Cara tersebut mengekalkan rasa dan teksturnya yang asli resipi turun-temurun dari China yang berusia lebih 80 tahun.

Menurut Encik Amir, resipi asli sebenarnya menggunakan wain dengan rasa herba yang kuat diubah suai untuk memenuhi selera pelanggan tempatan.

Beliau menyiapkan campuran rempah ratus khas untuk memerap beberapa ratus ekor ayam kampung.

6,000 AYAM SUDAH TERJUAL

Encik Amir dan isteri mula menjual ayam tersebut dari rumah pada 2019.

"Memang tidak dinafikan yang 'ayam dibakar dengan garam' ini popular di kalangan masyarakat Cina. Tetapi masyarakat Melayu kita, dia memang belum rasa macam mana ayam ini," kata Encik Amir.



Perniagaan mereka bertambah maju sejak lebih dikenali melalui media sosial dan ketika membuka gerai semasa Ramadan 2022.

"Masa itu kita buat dalam 23 hari Ramadan dan kita tengok sambutan daripada masyarakat Melayu kita sungguh menggalakkan. Dalam satu hari itu kita jual dalam 35 ekor ayam.

"Selepas kita jual di gerai itu selepas habis Ramadan, kita dapat tempahan untuk Hari Raya. Saya rasa sekitar 65 peratus kaum Tionghua (Cina) yang suka. Yang selebihnya dari China, Vietnam, Myanmar dan orang Islam, Melayu kita," ujar Encik Amir.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan 4,000 ayam terjual dalam 10 bulan pertama.

Ia mendorong Encik Amir untuk meluaskan operasi dengan membuka sebuah dapur pusat.



Setakat ini, lebih 6,000 ayam sudahpun terjual menerusi tempahan online dan gerai 'pop-up' di pusat-pusat membeli belah yang disertai dua kali setiap bulan.

Bahkan, pasangan itu sudah ada rancangan untuk mengembangkan lagi perniagaannya di dalam dan luar negara.

"Ada juga beberapa pihak dari Malaysia yang cadangkan supaya kita buka francais. Tapi buat masa sekarang, saya dan orang rumah saya mencadangkan untuk membina asas yang kuat di Singapura dahulu. Kita akan membuka sebuah kedai 'flagship' di Singapura. Bila kita menjual 100,000 ayam, kita akan melihat jika ada pelabur untuk membawanya ke luar Singapura," tambahnya.

JUALAN MENINGKAT 40 PERATUS SELEPAS TERIMA PENSIJILAN HALAL

Encik Joseph Koh pula membuka restoran yang menyajikan makanan Taiwan pada Februari tahun ini.

Ia adalah restoran halal pertama seumpamanya di Singapura.

"Saya rasa Taiwan tidak popular dalam kalangan masyarakat Muslim Singapura berbanding Korea atau Jepun. Saya pasti lebih mudah untuk mendapatkan makanan Halal di sana. Sebenarnya, kami telah ke beberapa pameran makanan, pameran dagangan, kami bertemu banyak pembekal Halal dari Taiwan. Saya rasa persepsi umum adalah Taiwan tidak mempunyai makanan halal," kata Encik Koh, yang berpengalaman dalam bidang pengiklanan.



Kebanyakan resipi makanan yang dijual disesuaikan menggunakan ramuan halal tanpa mengabaikan keasliannya.

"Kami ubah resipi kami untuk sesuai dengan selera tempatan. Saya perlu pastikan rasanya seakan dengan apa yang boleh didapati di Taiwan namun masyarakat Muslim masih boleh menerimanya, itu sangat penting. Beberapa bahan memang betul-betul tidak Halal dan tidak boleh digantikan. Jadi saya perlu bekerjasama dengan cef di dapur untuk mencari bahan gantian untuk dapatkan rasa yang diinginkan," kata Encik Koh.

Selain makanan, restoran itu cuba menawarkan pengalaman lebih menarik dengan memberi pelanggannya peluang membuat sendiri minuman 'Bubble Tea'.



Lazimnya 'topping' yang digunakan mengandungi bahan-bahan tidak halal seperti gelatin, namun restoran itu memastikan sumber yang didapatkannya adalah sumber-sumber halal supaya ia dapat dinikmati semua pelanggan Muslim.

Sejak ia menerima pensijilan halal Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), penjualannya meningkat 40 peratus.

Restoran di North Bridge Road itu merancang untuk meluaskan menu untuk menawarkan lebih banyak makanan asli Taiwan seperti Mee Daging Taiwan dan juga 'burger' ala Taiwan.

(Gambar: Wong Fu Fu)

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita