Skip to main content

Singapura

2 pengeluar minyak wangi didenda buang sisa toksik dalam kumbah awam

Anggaran Waktu Membaca:
2 pengeluar minyak wangi didenda buang sisa toksik dalam kumbah awam
Diterbitkan : 18 May 2022 06:54PM

SINGAPURA: Dua pengeluar minyak wangi dan wangian, Takasago International (Singapore) serta Givaudan Singapore, didenda S$9,000 kerana menyebabkan secara haram pembuangan sisa toksik industri ke dalam sistem pembetungan awam.

Demikian menurut agensi air negara PUB dalam kenyataan media pada Rabu (18 Mei).

Takasago International (Singapore) dan Givaudan Singapore secara salah mendapatkan khidmat AJ Jetting, sebuah syarikat pemungut sisa am, untuk mengumpul serta membuang minyak kotor di Loji Pemulihgunaan Air Jurong, menurut PUB.

"Minyak kotor daripada perangkap minyak digolongkan sebagai sisa toksik industri dan harus diuruskan dengan betul oleh pengumpul sisa toksik industri yang berlesen.

"Kedua-dua syarikat itu juga membuang kotoran perusahaan yang mengandungi bahan-bahan terlarang dari premis masing-masing ke dalam sistem pembetungan awam," menurut PUB.

Kesalahan syarikat Takasago dan Givaudan diketahui
antara Januari dengan Februari tahun lalu semasa PUB menjalankan siasatan terhadap kegiatan pembuangan haram oleh pengumpul sisa am.

Siasatan juga mendedahkan AJ Jetting tidak sedar bahawa minyak kotor yang dikumpulkannya daripada Takasago dan Givaudan merupakan sisa toksik industri.

Permit AJ Jetting untuk menguruskan sisa am di Loji Pemulihgunaan Air PUB sudahpun dibatalkan.

PUB juga memberikan amaran keras kepada syarikat itu untuk mengingatkannya bahawa ia mesti mengesahkan mana-mana sisa yang dikumpulkan bagi memastikan sisa tersebut tergolong di bawah bidang kuasa apa yang boleh dikumpulkan dan dibuangnya.

Takasago International (Singapore) disabit dua kesalahan dan didenda S$5,500 pada 7 September 2021, manakala Givaudan Singapore disabit satu kesalahan dan didenda S$3,500 pada 19 April 2022.

“Air terpakai adalah sumber yang berharga di Singapura. Setiap titisan air terpakai dikumpulkan melalui rangkaian pembetung yang luas untuk dirawat dan digunakan semula,” kata Encik Maurice Neo, Pengarah Rangkaian Pemulihgunaan Air PUB.

"Pembuangan sisa toksik industri secara haram ke dalam pembentung awam kami merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu proses rawatan air terpakai di Loji Pemulihgunaan Air dan membahayakan kesihatan serta keselamatan kakitangan kami yang menyelenggara sistem tersebut,” tambah beliau.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita