Skip to main content

Singapura

2 penerima keputusan GCE A antara pelajar Melayu/Islam holistik

Bertekad kuat dengan semangat dan keinginan yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bertekad kuat dengan semangat dan keinginan yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan.

Sebagaimana menjadi impian Marsha Shahrin untuk mengharumkan nama negara dan menaikkan taraf sukan luncur angin yang diceburinya sejak dari kecil lagi, pencapaiannya dalam sukan itu juga membakar semangat pelajar Raffles Institution ini untuk berjaya dalam bidang akademik.

"Saya rasa sebagai seorang wanita dalam masyarakat Melayu, saya ada tanggungjawab untuk menaikkan taraf masyarakat Melayu dan juga memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain, yang mahu mengimbangi kedua-dua sukan dan sekolah," kongsinya.

MARSHA CEMERLANG DALAM 2 BIDANG

Sepanjang menceburi sukan luncur angin sejak berusia 15 tahun lagi, Marsha sudah merangkul pelbagai pingat dan mendapat pengiktirafan di peringkat negara, mahupun antarabangsa.

Kini berusia 19 tahun, beliau sudah bertanding dalam empat kejohanan dunia, dua di Eropah, tiga kejohanan Asia dan yang terkini Sukan SEA pada tahun lalu.

Related article image

Kecemerlangannya dalam sukan luncur angin itu menjadikan Marsha penerima dua kali Biasiswa Peter Lim yang mengiktiraf individu cemerlang dalam bidang sukan.

Marsha malah meraih gelaran 'Atlit Wanita Terbaik Raffles Institution'.

INGIN TERUS KEKAL CEMERLANG

Dengan keputusan yang diraihnya bagi peperiksaan GCE A hari ini (21 Feb), Marsha bercadang untuk memburu sarjana muda dalam jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Namun pada masa yang sama, atlit negara ini tetap menanam tekad untuk bertanding bagi sukan luncur angin di pertandingan Sukan Asia pada 2022 serta Sukan Olimpik pada 2024.

Related article image

Meskipun ingin kekal cemerlang dalam kedua-dua bidang tersebut, Marsha akur bahawa perjalanan yang sudah dilaluinya dahulu dan pada masa akan datang bukan sesuatu yang mudah.

Maka itu, beliau tekad untuk kekal cekal dan fokus mencapai objektifnya itu.

"Jadi saya rasa sebagai atlit yang mengimbangi pelajaran dan sukan, saya tidak boleh membenarkan pendapat orang lain menjejas saya dan dewan peperiksaan atau pertandingan, hanya harapan dan impian saya yang penting, jadi lebih mudah bagi saya untuk mengimbangi pelajaran dan sukan kerana sudah beberapa tahun saya berlatih untuk menguruskan jangkaan saya daripada orang lain," tambah Marsha.

MINAT DALAM BAHASA & BUDAYA MELAYU

Bagi pelajar Maktab Rendah Tampines Meridian, Muhammad Danial Afiq Fharick pula, aktif dalam kegiatan luar darjah membantunya membina keyakinan diri untuk menjadi seorang pemimpin pelajar yang baik.

Selaku penerima biasiswa Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP), Danial memimpin pelbagai aktiviti luar darjah termasuk Program Penyerapan Luar Negara.

Related article image

"Sebagai seorang pelajar program elektif bahasa Melayu saya didedahkan kepada kepelbagaian budaya melayu, termasuk seni visual dan seni tradisional, sirih junjung dan juga kesusasteraan Melayu.

"Setelah mendalami dunia kesusasteraan Melayu saya dapat mendalami nilai kesopanan, dan kesantunan Melayu, sebagai contoh daripada karya-karya yang saya pelajari saya meraih nilai-nilai murni yang kita praktikkan dalam kehidupan kita, seperti nilai simpati," kongsi Danial.

Danial hari ini mendapat 4 gred 'A', termasuk subjek Bahasa dan Kesusasteraan Melayu bagi kelulusan H2.

Danial turut berkongsi MLEP juga bukan sekadar memberi pendedahan terhadap aspek bahasa dan budaya, lebih dari itu ia juga memberinya pendedahan kepada isu-isu semasa.

"Sebagai penerima biasiswa MLEP saya diberikan peluang untuk berinteraksi dengan para pemimpin dan juga para penulis karya-karya Melayu.

"Jadi melalui interaksi ini saya sebenarnya lebih memahami tentang budaya Melayu serta ia juga membantu dalam membina keyakinan diri saya."

Danial merancang untuk melanjutkan pelajarannya dalam jurusan seni dan sains kemasyarakatan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita