Skip to main content

Singapura

2 penerbangan SIA dari SG ke London dilencongkan susuli gangguan trafik udara di Heathrow

Dua penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Singapura ke Lapangan Terbang Heathrow di London dilencongkan pada Selasa (8 Sep) disebabkan masalah teknikal yang menjejas perkhidmatan kawalan trafik udara di beberapa lapangan terbang utama Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
2 penerbangan SIA dari SG ke London dilencongkan susuli gangguan trafik udara di Heathrow

Seorang penumpang melihat papan keberangkatan yang memaparkan penerbangan dibatalkan di Terminal 5 Lapangan Terbang Heathrow di London pada 8 September 2026. (Gambar: Reuters/Isabel Infantes)

Diterbitkan : 09 Sep 2026 03:54PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 04:07PM
  • Dua penerbangan SIA dari Singapura ke London dilencongkan pada 8 September akibat masalah teknikal kawalan trafik udara di Britain.
  • Penerbangan SQ308 dialihkan ke Paris dan SQ318 ke Munich, dengan bantuan pengangkutan darat disediakan untuk penumpang ke London.
  • Lebih 1,300 penerbangan di Britain dibatalkan, termasuk dua penerbangan pulang SIA dari Heathrow, dan gangguan dijangka berterusan.
  • SIA menyediakan bantuan seperti penginapan hotel, pengangkutan darat, dan penempahan semula penerbangan sambungan kepada penumpang yang terjejas.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dua penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Singapura ke Lapangan Terbang Heathrow di London dilencongkan pada Selasa (8 Sep) disebabkan masalah teknikal yang menjejas perkhidmatan kawalan trafik udara di beberapa lapangan terbang utama Britain.

Lebih 150 penerbangan di seluruh Britain, sebahagian besarnya di Heathrow, yang dijadualkan pada Rabu (9 Sep) dibatalkan.

Ini menyusuli pembatalan 1,300 penerbangan dari dan ke Britain pada Selasa (8 Sep).

Perkhidmatan kawalan trafik udara Britain (NATS) menyatakan masalah itu menyebabkan "proses pemulihan menjadi sangat rumit dan menimbulkan kesukaran bagi seluruh rangkaian penerbangan, yang memerlukan masa untuk dipulihkan".

Heathrow menyatakan pada lewat Selasa (8 Sep) bahawa penerbangan keluar sudah disambung semula, namun memberi amaran bahawa gangguan dijangka berterusan.

Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SIA menyatakan pada Rabu (9 Sep) bahawa penerbangan yang terjejas ialah SQ308 dan SQ318.

SQ308, sebuah pesawat Airbus A380-800 yang membawa 401 penumpang dan 29 anak kapal, dilencongkan ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, Perancis.

Pesawat itu mendarat pada pukul 6.28 petang waktu tempatan. SIA menyatakan pihaknya juga mengaturkan pengangkutan darat bagi membawa para penumpang ke London.

SQ318 pula, sebuah pesawat Boeing 777-300ER yang membawa 203 penumpang dan 19 anak kapal, dilencongkan ke Lapangan Terbang Munich di Jerman.

Pesawat itu mendarat pada pukul 8.09 malam waktu tempatan.

“SIA merancang untuk menerbangkan pesawat itu dari Munich ke Lapangan Terbang Heathrow di London sebaik sahaja kelulusan yang diperlukan diperoleh,” menurut syarikat penerbangan tersebut.

Dua penerbangan pulang, SQ319 dan SQ321, yang dijadualkan berangkat dari Heathrow pada Selasa (8 Sep), dibatalkan.

Menurut jurucakap syarikat penerbangan itu, SIA menyediakan bantuan yang diperlukan kepada para penumpang yang terjejas, termasuk penginapan hotel dan pengangkutan darat, serta menempah semula penerbangan sambungan jika diperlukan.

Para penumpang dinasihati supaya melayari laman status penerbangan SIA bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan masing-masing.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita