Skip to main content

Singapura

2 pelajar Politeknik S'pura terkait kelompok JEM/Westgate diuji positif COVID-19

Dua pelajar Politeknik Singapura (SP) yang mempunyai kaitan dengan kelompok COVID-19 JEM/Westgate diuji positif bagi koronavirus, menurut politeknik itu pada Isnin (24 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
2 pelajar Politeknik S'pura terkait kelompok JEM/Westgate diuji positif COVID-19

(Gambar: Politeknik Singapura/Facebook)

Diterbitkan : 25 May 2021 08:41AM Dikemas Kini : 25 May 2021 08:43AM

SINGAPURA: Dua pelajar Politeknik Singapura (SP) yang mempunyai kaitan dengan kelompok COVID-19 JEM/Westgate diuji positif bagi koronavirus, menurut politeknik itu pada Isnin (24 Mei).

Kini terdapat lapan kes COVID-19 dalam kalangan para pelajar SP.

Pelajar-pelajar itu - dikenal pasti sebagai Kes 63664 dan 63665 - ialah anggota sekeluarga dan penghuni serumah yang kali terakhir berada di kampus pada 14 Mei.

Salah satu daripada dua kes itu ialah seorang pelajar tahun kedua yang menuntut di Sekolah Kimia & Sains Hayat. Beliau mengunjungi Westgate pada 8 Mei, 10 Mei dan 11 Mei.

Pelajar berusia 19 tahun itu mula demam pada 18 Mei dan mendapatkan rawatan pada keesokan hari di sebuah klinik umum, di mana beliau diuji bagi COVID-19.

Oleh kerana beliau juga dikenalpasti sebagai kontak rapat kes yang masih di bawah siasatan, beliau dikenakan kuarantin pada 22 Mei. Beliau diuji bagi COVID-19 pada keesokan hari dan keputusannya adalah positif.

Pelajar itu tidak berjangkit pada kali terakhir beliau berada di kampus, menurut SP dalam satu kenyataan.

Satu lagi kes baru ialah seorang warga Malaysia berusia 20 tahun yang juga menuntut di Sekolah Kimia & Sains Hayat Politeknik Singapura. Beliau mengunjungi Westgate pada 10 Mei.

Pelajar itu mula demam pada sebelah petang setelah menghadiri kelas pada 14 Mei, namun tidak mendapatkan rawatan perubatan sehingga 19 Mei apabila beliau ke sebuah klinik umum dan diuji bagi COVID-19 di sana.

Serupa dengan Kes 63664, beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kes yang sedang dalam siasatan dan dikenakan kuarantin pada 22 Mei. Beliau diuji bagi COVID-19 pada 23 Mei dan keputusannya adalah positif.

Kedua-dua kes masih menanti keputusan ujian serologi.

"Oleh kerana beliau kali terakhir berada di kampus semasa tempoh berjangkitnya, kesemua kontak rapatnya dikuarantin," menurut SP dalam satu kenyataan.

Politeknik itu menambah, premis kampus yang dikunjungi oleh pelajar-pelajar berkenaan sudah pun dibersihkan dan dibasmi daripada kuman.

SEMUA PESERTA DIUJI NEGATIF

SP turut menyediakan kemas kini bagi ujian swab COVID-19 yang dijalani para pelajar, kakitangan dan pegerai.

"Semua pelajar, kakitangan dan pegerai yang mengambil bahagian dalam operasi ini diuji negatif. Oleh demikian, tiada rancangan sekarang untuk melanjutkan pengujian ini kepada seluruh warga SP," menurut politeknik itu.

Sekitar 8,500 individu diuji semasa operasi itu yang berakhir pada 22 Mei.

Singapura melaporkan 24 kes COVID-19 dalam masyarakat pada Isnin, dua daripadanya tidak mempunyai kaitan. Terdapat 12 kes import, termasuk lima rakyat Singapura atau penduduk tetap yang pulang ke sini.

Kementerian Kesihatan menyatakan pada Isnin bahawa seorang pekerja pembersihan yang bekerja di Park Avenue Rochester, sebuah kemudahan khusus bagi notis jangan keluar rumah, mungkin adalah punca jangkitan di kelompok JEM/Westgate, menurut MOH.

Dikenal pasti sebagai Kes 62933, pekerja pembersihan itu berada di Westgate pada 6 Mei. Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 7 Mei.

Kelompok JEM/Westgate kini mempunyai 50 kes berkaitan.

"Penjujukan seluruh genom dan analisis filogenetik yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional menunjukkan bahawa sesetengah pengunjung JEM dan Westgate mempunyai penjujukan yang serupa dengan Kes 62933," menurut MOH.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita