Skip to main content

Singapura

2 pelajar Normal Akademik Melayu ini raih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi NUS

Dua mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) berjaya membuktikan kejayaan boleh dicapai walaupun dari aliran Normal Akademik dan bukan dalam kalangan pelajar cemerlang sejak dari bangku sekolah rendah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak mudah untuk menggagahi pendidikan dalam landskap yang cukup kompetitif di Singapura. Setiap pelajar pasti berdepan dengan pelbagai cabaran.

Namun dua mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) berjaya membuktikan kejayaan boleh dicapai walaupun dari aliran Normal Akademik dan bukan dalam kalangan pelajar cemerlang sejak dari bangku sekolah rendah. Malah, Noor Loic Satar dan Muhammad Firdaus Md Hair muncul sebagai antara mahasiswa terbaik NUS.

Sekurang-kurangnya empat anak Melayu/Islam meraih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi dalam Upacara Konvokesyen NUS tahun ini.

Berikut kisah inspirasi mereka.

(Gambar: Universiti Nasional Singapura)

NOOR LOIC HAMPIR DIGANTUNG SEKOLAH

Setiap kali keputusan peperiksaan dikeluarkan, Noor Loic "paling corot" dalam kelas. Semasa masih lagi di Sekolah Menengah Mayflower dalam aliran Normal Akademik, macam-macam tindakan nakal dilakukannya.

"Saya dan rakan-rakan memecahkan tingkap tandas. Bila cikgu suruh keluar dari kelas, kita semua keluar. Kita tak datang balik," kata Loic sambil tertawa ketika mengimbas kembali zaman remajanya.

Loic juga hampir digantung sekolah.

Hanya selepas guru disiplin sekolah bertanya tentang hala tuju kehidupannya, Loic tersentak. Pada ketika itu jugalah, beliau teringat bagaimana arwah ibunya berjuang untuk melawan barah. Ibu Loic meninggal dunia ketika beliau berusia 11 tahun.

Dari situlah, beliau mula bangkit dengan tekad kuat untuk mengubah dirinya. Ketika itu juga, minat Loic terhadap bidang pemasaran berputik selepas beliau menonton pembentangan Steve Jobs tentang iPhone yang baru dikeluarkan.

SAYA BUKAN DARI KELUARGA KAYA - LOIC

Hanya bapanya yang bekerja untuk menyara keluarga. Maka itu, semasa menuntut di Politeknik Singapura dan NUS, beliau bertekad untuk mendapatkan biasiswa agar tidak terlalu bergantung kepada bapanya yang merupakan seorang ahli muzik.

Bukan itu sahaja, Loic juga bekerja secara sambilan sepanjang beliau masih belajar.

"Saya bukan dari keluarga kaya. Saya kena bekerja keras untuk membayar yuran sekolah. Jadual saya begitu padat. Saya kadang-kadang kena kerja dari Isnin sampai Ahad," cerita Loic.

INGIN TERUS BERBAKTI DALAM MASYARAKAT

Berkat kerja keras dan sokongan keluarganya, Loic kini antara mahasiswa terbaik NUS. Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) kini dalam genggamannya.

Beliau juga sudah mendapat tawaran bekerja bersama AirBnB untuk menyelia pelbagai projek termasuk pelancaran khidmat-khidmat baru.

Beliau berharap, meskipun sudah mengecapi kejayaan, beliau akan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Secara peribadi, ini penting buat saya kerana semasa saya masih kecil, Ibu mengajar nilai-nilai menghormati orang tua dan menyumbang kepada masyarakat semampu kita."

Semasa lagi menuntut di NUS, Loic giat meluangkan masa bersama warga emas di rumah tumpangan warga tua pada masa lapangnya.

FIRDAUS TIDAK PATAH SEMANGAT MESKI RAIH 171 BAGI PSLE

Sokongan guru juga menjadi pembakar semangat bagi Muhammad Firdaus Md Hair, untuk berjaya meskipun meraih hanya 171 mata dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

"Saya mempunyai tanggapan bahawa aliran Normal Akademik itu tidak akan menghambat saya daripada terus berjuang, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang amat saya minati," kata Firdaus.

Bagi Peperiksaan GCE Peringkat 'O', pula beliau meraih 12 mata yang membolehkannya untuk melangkah ke maktab rendah.

Perjalanannya tidak kalah mencabar. Beliau hampir memilih untuk menjadi pelajar tercicir pada tahun pertama di maktab rendah kerana tidak dapat menyesuaikan diri kepada kurikulum sekolah.

Mujur, minatnya dalam bidang politik terus mendorongnya untuk cemerlang dalam pelajaran.

MINAT POLITIK SEJAK KECIL

Firdaus mula meminati bidang politik sejak berusia 4 tahun. Beliau masih lagi ingat lori sebuah parti politik di kawasan perumahannya semasa musim pilihan raya pada 1997.

Pengalaman yang beliau lalui pada 2001, ketika serangan pengganas berlaku di New York, juga membuatnya begitu terkesan sehingga ingin mendalami pelajaran ilmu politik.

"Di estet saya, saya melihat contengan-contengan vandalisme di lif rumah yang menghasut kebencian, keganasan terhadap orang Muslim dan juga orang bukan Muslim di Singapura. Untuk seseorang yang hanya berumur tujuh tahun itu adalah satu pengalaman yang amat menakutkan," cerita Firdaus.

Firdaus akan melanjutkan pelajaran dalam program sarjana di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) NTU, selepas meraih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi dalam bidang Sains Politik.

SABRINA MOHAMED VALEDICTORIAN UPACARA KONVOKESYEN NUS 2019

(Gambar: NUS)

Tahun ini, 'valedictorian' bagi Upacara Konvokesyen NUS ialah Sabrina Mohamed Nezam Meah yang meraih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tertinggi dalam bidang Sains Sosial (Perhubungan dan Media Baru).

Sabrina sempat terkandas semasa di maktab rendah. Jika lazimnya pelajar lain menuntut selama dua tahun di maktab rendah, beliau pula meluangkan masa selama tiga tahun selepas memilih untuk menukar kepada aliran Sastera.

Semasa di universiti pula, beliau 'tersilap langkah' kerana memilih jurusan yang tidak sesuai dengan minatnya. Sabrina hampir memilih untuk berhenti sekolah selepas mendapat tawaran untuk menjadi seorang pramugari. Mujur, beliau teguh hati dan mencuba bidang Perhubungan dan Media Baru.

Dalam jurusan itulah, beliau mula mekar dan kini menjadi antara siswazah terbaik NUS.

Dalam Projek Akhir Tahunnya, Sabrina membentangkan tesis tentang penyebaran berita palsu dalam kalangan mereka yang dilahirkan antara 1946 dengan 1965 di Singapura. Kajiannya itu memberi sedikit pencerahan bagaimana isu berita palsu dapat diatasi dalam konteks masa kini.

ISMAHFARIS ISMAIL - PENERIMA BIASISWA LBKM YANG CEMERLANG DALAM SISTEM MAKLUMAT

Seorang lagi anak Melayu yang berjaya meraih ijazah sarjana muda dengan kepujian tertinggi NUS ialah Ismahfaris Ismail. Beliau merupakan penerima Biasiswa Ekonomi Masa Hadapan LBKM 2018/2019 dan 2017/2018.

Biasiswa tersebut diperkenalkan bagi menggalak pembelajaran bidang-bidang baru sesuai dengan keperluan semasa.

Berbekalkan biasiswa tersebut dan azam yang kuat, Ismahfaris giat menyertai program-program di universiti berkaitan bidang pengkomputeran yang diceburinya.

Beliau sudah mendapat tawaran bekerja dengan syarikat pakar runding PwC selepas menunjukkan prestasi cemerlang semasa menjalani latihan amali.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita