Skip to main content

Singapura

2 pelajar Melayu ini antara yang lulus dalam Peperiksaan Peringkat 'N' meski hadapi cabaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seperti pelajar lain, Irham Rizqie Mohammed Sani berdebar menantikan detik untuk menerima keputusan Peperiksaan GCE 'N' sekitar 2.30 petang tadi (17 Dis).

Namun sebaik sahaja melihat kertas keputusannya, senyuman mula terukir pada wajah pelajar berusia 16 tahun itu.

Beliau berjaya meraih gred 1 bagi subjek Ilmu Kemanusiaan.

Irham berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau berasa amat teruja lebih-lebih lagi bagi gred yang diraihnya bagi subjek Matematik kerana ini kali pertama dia lulus mata pelajaran tersebut.

Akur Matematik merupakan subjek paling lemah baginya sejak dahulu lagi, Irham berkata dia tidak pernah berputus asa. Sebaliknya dia akan membuat latihan dan mengulangkaji pelajaran itu setiap hari.

"Kakak saya memberi saya banyak inspirasi kerana dia juga melalui (pengalaman) sama seperti saya dan apabila saya melihatnya belajar dengan tekun setiap hari, itu menggalakkan saya untuk ikut cara dia sekali. Dia juga memberi saya nasihat-nasihat terbaik dan saya amat kagum ada kakak yang selalu mendorong saya apabila saya susah," luah Irham.

BUTA WARNA TAK HALANG KEJAR MINAT DALAM MEDIA

Bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, Irham juga amat tertarik kepada bidang media.

Meskipun buta warna, ia tidak menghambat Irfan daripada menceburi aktiviti-aktiviti berkaitan media.

Malah, beliau pernah mewakili pihak sekolahnya di beberapa pertandingan termasuk pertandingan Jurugambar Belia Singapura.

Oleh kerana keadaannya yang buta warna, Irham tabah berdepan dengan pelbagai cabaran ketika menyunting video mahupun gambar.

"Antara cabaran yang saya hadapi ialah saya tidak tahu warna apa yang perlu diperbetulkan dan itu agak mencabar kerana susah untuk saya membetulkan dan saya selalu memastikan ada kawan di sebelah saya untuk membantu saya dan dia selalu menolong saya jika ada sebarang masalah," ujar Irham lagi.

Irham merancang untuk melanjutkan pelajarannya ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

MUHAMMAD RAIZAN - CABAR DIRI AMBIL SUBJEK EKSPRES

Gambar Muhammad Raizan.

Seorang lagi pelajar yang juga mampu tersenyum setelah mendapat keputusan peperiksaan GCE 'N' hari ini (17 Dis) ialah Muhammad Raizan Assad Zakarayias dari Sekolah Menengah Bedok View.

Apabila meraih keputusan lulus, segala pahit getir yang pernah dilalui Muhammad Raizan bagaikan terubat kepedihannya.

Setelah ibu bapanya berpisah, beliau dijaga oleh neneknya dan merupakan penerima Skim Bantuan Kewangan MOE.

Semangat kental dan kegigihannya lebih terserlah apabila beliau menerima cabaran untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sains pada peringkat Ekspres, meskipun dalam aliran Normal Akademik.

Menurut Raizan, antara sebab dia melakukan demikian adalah kerana dia lebih meminati topik-topik dan kajian Sains yang ditawarkan bagi peringkat Ekspres. Ini meskipun dia akur ia lebih mencabar.

Raizan malah disifatkan oleh gurunya Cikgu Siti Farah'izzah, sebagai seorang pelajar yang memiliki sikap yang positif terhadap pembelajaran dan amat berdikari.

NENEK JADI PEMBAKAR SEMANGAT RAIZAN

"Inspirasi saya ialah nenek saya kerana nenek saya telah menjaga dan mendidik saya sejak kecil lagi dan apabila saya tertekan dalam pelajaran saya, nenek saya akan memberikan semangat untuk saya dan akan mendorong saya untuk menjadi lebih baik dalam pelajaran saya. Sebab itulah nenek saya adalah sumber kekuatan untuk saya," kata Raizan apabila ditanya tentang insan yang banyak memberi sokongan kepadanya.

Oleh kerana minatnya dalam bidang kejuruteraan komputer, dia berhasrat mengikuti Kursus Keselamatan Komputer atau Kursus Keselamatan Siber di bawah Program Asas Politeknik kelak.

Raizan adalah antara kalangan pelajar Menengah 4 N(A) yang meraih markah agregat ELMAB3 tidak lebih dari 19 mata dan layak memohon bagi Skim Kemasukan Langsung Ke Program Politeknik (DPP).

Di bawah DPP, para pelajar yang berjaya menamatkan kursus Nitec Lanjutan dan meraih Purata Nilai Gred (GPA) minimum yang ditetapkan akan mendapat tempat untuk mengikuti kursus diploma politeknik yang berkaitan dengan kursus Nitec Lanjutan mereka.

Sebanyak 1,200 tempat DPP akan ditawarkan di ketiga-tiga Kolej ITE dan para pelajar boleh menghantar permohonan mereka mulai hari ini (17 Dis).

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita