Skip to main content

Singapura

2 pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah diiktiraf atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kepimpinan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Apr 2026 05:22PM Dikemas Kini : 17 May 2026 12:48PM
SINGAPURA: Mengimbangi masa dan perhatian dalam pengajian menjadi cabaran terbesar buat Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi, 19 tahun, sejak dua tahun lalu.

Manakan tidak, selain menjadi pelajar Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) pada 2025, Eimran juga perlu memberi tumpuan kepada program Azhar 2.0.

Di bawah IBDP, Eimran menjalani kelas-kelas untuk mata pelajaran aliran akademik biasa seperti bahasa Inggeris, Arab dan Melayu.

Di bawah program Azhar 2.0 pula yang diduduki Eimran sejak Menengah 1, dia perlu membahagi masa untuk subjek-subjek aliran Islam termasuk sejarah Islam, Al-Quran dan Tauhid.

Kedua-dua program itu dijalani Eimran di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Eimran berkata: " Jadi bagaimana saya mengurus masa saya untuk mengimbangi antara pelajaran duniawi dan ukhrawi, saya harus mengetahui ataupun memahami apa yang perlu saya dahulukan dahulu. Contohnya, mungkin saya dapat tugasan-tugasan ukhrawi. Jadi, saya akan mendahulukannya dan pada masa yang sama, saya tidak akan meluangkan terlalu banyak masa pada pelajaran tersebut. Namun, saya juga akan memberi masa sedikit untuk melakukan atau melaksanakan tugasan tugasan yang lain."

Pembahagian masa buat Eimran juga di sebalik tanggungjawab yang digalasnya sebagai Ketua Majlis Pelajar, Ittihad Tholabah Madrasah Aljunied (ITMAJ).
Related article image
(Gambar: Madrasah Aljunied Al-Islamiah)
Berkat usaha gigihnya, Eimran menjadi antara pelajar cemerlang yang diiktiraf di Majlis Tamat Pengajian dan Anugerah Madrasah Aljunied Al-Islamiah pada Sabtu lalu (18 Apr).

Majlis Haflah Takharruj itu menandakan tamatnya perjalanan pendidikan bagi 50 pelajar kohort Pra-Universiti 2.

Eimran secara keseluruhannya menerima empat anugerah termasuk Anugerah Terbaik dalam Perkhidmatan, serta beberapa anugerah kecemerlangan, termasuk dalam subjek Matematik.

Meski mengalami keletihan dalam memperjuangkan keinginannya dalam kedua-dua bidang, kejayaan Eimran menurutnya, tidak datang bergolek.

Eimran berkata: "Terdapat pelbagai pendorong antaranya adalah sokongan daripada orang di sekeliling saya seperti ibu bapa saya, rakan-rakan saya dan juga guru-guru saya. Mereka telah memberikan saya semangat dan sokongan yang berterusan supaya saya dapat melalui dan berjuang dalam perjalanan ini walaupun banyak cabaran cabarannya."
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
Lebih penting, dia juga didorong oleh keinginan kuat untuk menyumbang kepada masyarakat di Singapura.

Eimran juga menitipkan nasihat kepada pelajar lain agar sentiasa membetulkan niat dalam menuntut ilmu.

“Niat ini adalah pembakar semangat kita untuk menuntut ilmu walaupun terdapat banyak ombak yang bergelora apabila kami menuntut ilmu,” katanya.

Dalam masa terdekat ini, Eimran merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar.

Eimran turut bercita-cita untuk mendapatkan ijazah Psikologi, agar dapat membantu masyarakat secara menyeluruh.

"Pada masa kini, terdapat pelbagai isu-isu yang berkaitan dengan isu mental dan psikologi dan sebagainya. Jadi saya ingin ingin meneruskan pelajaran saya di bidang ini supaya saya dapat menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhan," tambahnya.
Related article image
(Gambar: Madrasah Aljunied Al-Islamiah)
KEJAYAAN HASIL USAHA BERSAMA

Seorang lagi pelajar cemerlang yang diiktiraf di majlis tersebut ialah Hannah Yusra Rashid, juga 19 tahun.

Hannah menerima anugerah sebagai pelajar terbaik bagi lebih daripada 10 subjek.

Bagi Hannah pula, kejayaan yang dicapai dianggap sebagai hasil usaha kolektif semua orang di sekelilingnya.

Hannah berkata: "Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur atas keputusan ini kerana saya rasa bahawa keputusan ini bukanlah kejayaan atas usaha saya sendiri tetapi ia juga adalah kejayaan bagi mereka yang telah memberi saya sampai ke tahap ini iaitu guru-guru saya yang tidak henti untuk mengajar saya walaupun setelah lama sangat masa di sekolah."

"Juga keluarga saya yang sentiasa memberikan sokongan dan juga kawan-kawan saya yang banyak membantu saya dari segi pelajaran. Jadi saya rasa bahawa kejayaan ini adalah hasil sumbangan kami semua dan bukanlah saya sendiri sahaja," tambah Hannah yang juga merupakan 'valedictorian' di majlis itu.

Mengecapi kejayaan buat Hannah juga merupakan perjalanan yang berliku-liku.
Related article image
(Gambar: Madrasah Aljunied Al-Islamiah)
Hannah berkata: "Saya mengulangkaji mungkin seminggu atau dua minggu sebelum peperiksaan dan yang saya lebih mementingkan untuk memahami pelajaran itu dengan dengan baik dan saya akan cuba bertanya soalan. Jadi apabila saya ingin mengulangkaji, ia yang akan lebih mudah bagi saya kerana saya sudah memahami pelajarannya dengan baik di sekolah."

"Ini merupakan sesuatu yang kadangkala memberi tekanan kepada saya kerana saya tidak dapat menguruskan masa saya dengan baik. Tetapi Alhamdulillah, setelah saya mempelajari tentang pentingnya untuk mengutamakan sesuatu perkara apabila saya tahu apa yang harus diutamakan dan dengan sokongan sekeliling saya dan bantuan mereka juga, Alhamdulillah, saya rasa cabaran itu telahpun ditempuhi," tambahnya Ketua Majlis Pelajar itu lagi.

Hannah merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, dengan pengkhususan dalam tafsir Al-Quran.

Matlamatnya adalah untuk memahami teks agama secara mendalam dan kontekstual, agar dapat membantu masyarakat menangani isu-isu kontemporari.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita