Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pelajar ini lulus GCE 'N' meski dicabar dengan masalah kesihatan

Sejak di sekolah rendah, Adel Affean Muhammad Affiq, 17 tahun sudah didiagnos dengan gangguan spektrum autisme (ASD).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak di sekolah rendah, Adel Affean Muhammad Affiq, 17 tahun sudah didiagnos dengan gangguan spektrum autisme (ASD).

Tahun lalu pula, pelajar Sekolah Menengah Spectra ini diserang penyakit Crohn, sejenis penyakit radang usus. Ia semakin teruk tahun ini sehinggakan Adel tidak dapat ke sekolah.

Pernah juga terjadi insiden di mana dia terpaksa meminta bantuan gurunya kerana mendapati kesan darah selepas menggunakan tandas di sekolah.

Namun begitu, semua keadaan itu tidak sekalipun menghambat keinginannya untuk menimba ilmu walaupun perit menanggung kesakitan.

"Apabila saya terpaksa pergi ke hospital, saya bimbang tertinggal pelajaran. Penyakit Crohn juga membuat saya kehilangan berat badan dan membuat saya bangun pada tengah malam untuk ke tandas tetapi saya tidak dapat membuang air besar," kata Adel.

Namun demikian, berkat kegigihan belajar serta sokongan dari guru-guru dan rakan sekelas, Adel berjaya lulus GCE 'N' apabila keputusan GCE 'N' diumumkan (17 Dis).

Dia meraih dua 'A' bagi subjek bahasa Inggeris dan Matematik dan satu 'B' dalam Sains dan juga lulus subjek-subjek Sijil Kemahiran Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam Perkhidmatan Hospitaliti yang diambilnya.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Guru-gurunya menyifatkan Adel sebagai seorang pelajar yang suka membantu dan disukai oleh rakan-rakan sekelas. Dia juga pernah menyandang jawatan Naib Pengerusi untuk kelasnya.

MAHU TEROKA BIDANG IT DI PERINGKAT ITE

Remaja itu juga pernah mengetuai kegiatan ko-kurrikular (CCA) Kelab Robotik sekolahnya kerana minat dengan teknologi dan IT. Malah, seperti ramai remaja lain sebaya dengannya, Adel mengaku dia juga seorang 'kaki' permainan komputer.

Anak kedua tiga beradik ini berkata: "Saya banyak menghabiskan masa bermain permainan dan saya sangat menggemarinya. Ia membantu saya meluahkan diri saya dan ia sangat menyeronokkan."

Apabila melanjutkan pendidikan ke ITE nanti, Adel berhasrat menceburi bidang lain pula.

"Saya berharap untuk mengambil jurusan NITEC dalam Aplikasi Web di Kolej Tengah ITE. Dan saya berharap dapat mencipta permainan sendiri di mana orang boleh mencubanya," tambah Adel.

Adel dijadualkan akan menjalani pembedahan untuk merawat penyakit Crohn yang dialaminya. Ia sepatutnya dilakukan sebelum ini tetapi ditangguhkan kerana bersungguh-sungguh ingin menduduki peperiksaan GCE 'N'.

"Saya perlu... bersiap sedia untuk masa depan," kata Adel.

AYAH DISERANG STROK, IBU PULA DIBUANG KERJA

Juga lulus GCE 'N' setelah dihimpit pelbagai dugaan ialah 'Aliyyah Ismail, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Changkat Changi. Awal tahun ini, ayahnya diserang angin ahmar dan tidak lama kemudian, ibunya pula dibuang kerja.

"Apabila ayah saya ingin makan atau minum, saya akan menjaga makan minumnya dan memastikan yang pakaiannya semua kemas. dan saya akan menjaga ayah saya dan saya juga menolong ibu," cerita 'Aliyyah.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sungguhpun begitu, anak bongsu lima beradik ini pandai mengimbangi masanya untuk pelajaran.

Seorang yang bersifat positif, 'Aliyyah menambah: "Walau manapun besar cabaran, kita tidak boleh membuat itu sebagai satu alasan untuk mengetepikan kejayaan, atau mengetepikan cita-cita kami, kerana saya memahami bahawa ini semua adalah ujian. Jadi kami harus pandai untuk berdikari untuk mengatasi masalah-masalah tersebut."

Sebenarnya, dia sudah memulakan persediaannya untuk GCE 'N' sejak tahun lalu lagi. Setiap hari selepas pulang dari sekolah, 'Aliyyah akan mengetepikan tiga hingga enam jam untuk mengulangkaji pelajarannya. Lebih banyak tumpuan diberikan kepada subjek-subjeknya yang lemah seperti Matematik dan Sains.

"Saya akan membuat latihan berkali-kali, dan juga fokus kepada topik yang paling lemah. Untuk subjek sains pula, peta minda memang betul-betul membantu saya. Jadi saya akan buat peta minda dahulu. Dan seterusnya saya akan mengulangkaji.

"Setelah itu saya akan mengambil kertas kosong dan buat peta minda tanpa melihat nota saya dan cuba untuk menghafal apa yang baru saja saya tulis," kongsi 'Aliyyah tentang kaedah yang diterapkannya semasa mengulang kaji pelajaran.

MAHU IKUT JEJAK AYAH DAN KAKAK

Remaja perempuan itu mengatakan bahawa dia juga tidak segan untuk bertanya kepada guru-gurunya bagi mendapatkan kepastian tentang topik-topik yang kurang jelas difahaminya. 'Aliyyah juga kerap mengamalkan belajar bersama rakan-rakannya supaya tidak berasa keseorangan.

Berkat semua usaha tersebut, 'Aliyyah hari ini dapat menguntum senyum kelegaan kerana lulus kesemua enam subjeknya, termasuk mendapat gred 1 untuk seni.

Selain pencapaian akademik, 'Aliyyah juga sebenarnya seorang yang aktif di luar bilik darjah.

Dia merupakan seorang anggota Majlis Pelajar dan Pengakap Perempuan. Dia pernah mewakili sekolahnya dalam pelbagai pertandingan dan pernah memenangi Anugerah Emas Puan Noor Aishah bagi Pengakap Perempuan untuk tahun 2017 dan 2018.

Dia kini mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang seni reka dan seni bina. Seperti ayah dan kakaknya yang merupakan seorang pereka dalaman, 'Aliyyah juga mahu mengikuti jejak langkah mereka.

"Sejak kecil, saya bercita-cita dan berminat untuk menceburi bidang seni reka, ataupun seni. Melihat kejayaan ayah saya dan kakak saya, saya lebih bersemangat untuk menceburi bidang yang serupa. Jikalau ada rezeki, saya berharap untuk menceburi kursus Rekaan bagi Pengalaman Pengguna di Politeknik Republic, ataupun kursus Seni bina di Politeknik Temasek.

"Saya berharap satu hari nanti saya akan menjadi seorang arkitek yang berjaya," tambah 'Aliyyah.

Kesemuanya lebih 13,400 pelajar menerima keputusan peperiksaan GCE 'N' masing-masing hari ini (17 Dis).

77.7% daripada pelajar Normal Akademik yang menduduki GCE 'N' tahun ini layak ke menengah lima - iaitu prestasi terbaik sejak sekitar sedekad lalu.

Bagi pelajar Normal Teknikal pula, 98.5% pelajar lulus iaitu yang tertinggi sejak 2012.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan