Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pelajar ini antara kumpulan perintis yang akan ikuti MLEP di sekolah menengah

Rakinah Shaik Mohd Salim dan Syarifah Syaza Syafiah, merupakan pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS) yang menjadi pelajar perintis yang akan mengikuti Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) di peringkat sekolah menengah tahun depan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakinah Shaik Mohd Salim dan Syarifah Syaza Syafiah, merupakan pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS) yang menjadi pelajar perintis yang akan mengikuti Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) di peringkat sekolah menengah tahun depan.

Program MLEP buat masa ini hanya dijalankan di peringkat maktab rendah dan akan ditawarkan pula kepada sekolah menengah.

Di bawah program itu, para pelajar akan diberi peluang mengikuti pelbagai kegiatan, bertujuan memupuk bakat dwibahasa dan dwibudaya dalam diri mereka.

Selain itu di bawah MLEP juga para pelajar yang mengikutinya, seperti Syaza dan Rakinah, akan turut diberikan pilihan untuk mengambil subjek sastera sebagai elektif atau subjek penuh, apabila mereka menduduki peperiksaan di peringkat 'O' nanti.

Bagi Syarifah Syaza, dia terpanggil untuk menyertai MLEP pada tahun depan kerana ingin memahami budaya dan bahasa Melayu dengan lebih mendalam lagi, selain ingin memecahkan tanggapan dominan kebanyakan pelajar Melayu di sini.

"Saya ingin memecahkan stereotaip bahawa bahasa Melayu kini telah dijadikan sebagai bahasa kedua dan tidaklah seperti bahasa Inggeris.

"Saya sendirikan seorang Melayu, jadi saya ingin memperkekalkan budaya Melayu sendiri di dalam Singapura," katanya.

Bagi rakan serdarjahnya pula, dorongan untuk menyertai MLEP muncul apabila dia melihat pengalaman yang dilalui oleh kakaknya sendiri sewaktu di maktab rendah.

Rakinah juga berharap dengan MLEP nanti beliau akan mendapat lebih banyak pendedahan terhadap buku-buku Melayu dan 'tidak akan hanya membaca buku cinta saja'.

"Saya berharap dapat membaca lebih banyak buku dan juga mempelajari makna yang di sebalik apa yang ditulis oleh penulis itu," kongsinya.

BIASISWA MLEP

Dato' Abdul Aziz Deraman di Ceramah Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP). (Gambar: BERITAMediacorp)

Seperti MLEP yang diperkenalkan di maktab rendah sejak 2001, pelajar cemerlang di peringkat menengah juga akan ditawarkan biasiswa.

Ia termasuk yuran sekolah sebanyak $2,400 setahun, ditambah dengan elaun $1,000 setahun dan subsisidi penuh bagi mengikuti program penyerapan bahasa dan budaya.

Dengan insentif yang diberikan itu, ia diharap akan meningkatkan jumlah pelajar yang akan mengikuti MLEP dan sekali gus memperkukuh taraf penguasaan dan mutu bahasa Melayu secara amnya.

"Saya rasa dengan program MLEP ini lebih ramai pelajar yang akan tertarik untuk mengambil subjek ini sebab beberapa insentif yang akan diadakan," kata guru Bahasa Melayu dan Sastera di sekolah tersebut, Cikgu Rasiah Buang.

Selain BPGHS, MLEP di peringkat menengah turut akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Anderson dan Sekolah Menengah Tanjong Katong.

GURU YAKIN AKAN TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA MELAYU

Di peringkat Maktab Rendah pula ia turut akan diperkenalkan di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dan Raffles Institution (RI).

Bagi Cikgu Ali Hanifiah yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sastera bagi pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 di RI, beliau yakin peluang yang diperluaskan itu akan meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Melayu pelajar di peringkat lebih tinggi lagi.

"Semua pelajar akan mengikuti subjek sastera dan daripada program MLEP ini dan saya percaya mereka dapat menterjemahkan apa yang ada di dalam teks ke dalam kehidupan seharian.

"Dari sudut bahasa pula dengan program-program yang dianjurkan pengayaan bahasa mereka akan lebih terserlah akan dapat ditambah nilai dengan interaksi contoh dengan pelajar MLEP lain atau dengan semasa program penyerapan mereka dapat berinteraksi dengan pelajar-pelajar luar negara," kongsinya dengan pihak kami.

Menjelang tahun depan, terdapat lima Maktab Rendah yang akan menawarkan MLEP termasuk Jurong Pioneer, Tampines Meridien dan Yishun Innova. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan