Skip to main content

Singapura

2 pekerja maut terhidu gas berbahaya di loji air PUB tidak patuhi protokol keselamatan: Merinyu

Anggaran Waktu Membaca:
2 pekerja maut terhidu gas berbahaya di loji air PUB tidak patuhi protokol keselamatan: Merinyu

Loji Rawatan Air Choa Chu Kang. (Gambar: Laman web PUB)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 05:05PM Dikemas Kini : 02 Oct 2026 07:04PM
SINGAPURA: Dua pekerja yang maut selepas terhidu gas berbahaya memasuki laluan tertutup di Loji Air Choa Chu Kang milik PUB tanpa alat pernafasan dan tidak mematuhi protokol keselamatan, menurut keterangan di mahkamah koroner pada Jumaat (2 Okt).

Encik Srinivasan Sivaraman dan Encik Izzat Naqiuddin Dowod meninggal dunia pada Mei 2024 selepas terhidu hidrogen sulfida, iaitu hasil sampingan proses rawatan air.

Seorang lagi pekerja terselamat dalam kejadian tersebut.

Hidrogen sulfida ialah gas toksik tidak berwarna yang boleh membawa maut pada kepekatan yang tinggi.

Encik Muhd Hafidz, seorang merinyu (inspector) daripada divisyen keselamatan dan kesihatan pekerjaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), memberi keterangan di mahkamah pada Jumaat bahawa para pekerja tidak memastikan sekurang-kurangnya seorang kekal di luar laluan tertutup tersebut.

Berbeza dengan pekerja-pekerja lain yang memasuki laluan itu sehari sebelumnya untuk mengalirkan air dari tangki, ketiga-tiga lelaki tersebut tidak memakai alat pernafasan, yang direka untuk menapis gas toksik.

Siasatannya juga mendapati bahawa walaupun terdapat alat pengudaraan (ventilator) di laluan berkenan, ia tidak beroperasi ketika itu, katanya kepada mahkamah.

Menurut merinyu itu, alat pengudaraan luaran sepatutnya dipasang untuk mengeluarkan udara sebagai sebahagian daripada protokol keselamatan. Laluan tersebut tidak mempunyai pengudaraan sebelum para pekerja memasukinya.

Encik Sivaraman, 40 tahun, seorang warga India, merupakan pengurus operasi pembersihan di Supersonic Maintenance Services.

Encik Izzat, 24 tahun, seorang warga Malaysia, bekerja untuk Stargroup. Stargroup telah dilantik oleh PUB untuk kerja-kerja pembersihan tangki "rutin" di loji tersebut, dengan Supersonic Maintenance Services sebagai subkontraktornya.

Stargroup didakwa pada Julai berhubung dakwaan kecuaian keselamatan tempat kerja berkaitan kejadian tersebut – kerana gagal melaksanakan langkah-langkah munasabah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan risiko kepada mana-mana individu yang mungkin terjejas oleh kegiatannya di tempat kerja.

Pengurus Stargroup yang diberi kuasa untuk mengeluarkan permit masuk ke ruang terbatas, Lim Beng Hock, turut didakwa kerana gagal melaksanakan segala usaha yang wajar berhubung pengeluaran permit tersebut.

Encik Sivaraman dan Encik Izzat merupakan sebahagian daripada pasukan yang dijadualkan membersihkan sebuah tangki di loji rawatan PUB.

Mereka perlu memasuki laluan tertutup di bawah tangki untuk mengalirkan air di dalamnya sebelum mereka boleh membersihkannya, kata Encik Hafidz.

Encik Izzat dan seorang lagi pekerja masuk melalui pintu pagar untuk membuka ketiga-tiga injap tangan (hand valve), manakala Encik Sivaraman berdiri berdekatan di luar, selaras dengan sistem rakan (buddy system) yang diwajibkan oleh protokol keselamatan. Tiada seorang pun daripada mereka memakai alat pernafasan dan injap tersebut dibuka dalam tempoh lima minit tanpa sebarang kejadian, kata merinyu itu.

Encik Sivaraman melakukan pemeriksaan gas sebelum kedua-dua pekerja memasuki laluan tersebut, menggunakan alat pengesan gas peribadi yang tidak membunyikan penggera, kata merinyu tersebut.

Encik Hafidz memberi keterangan bahawa dengan ketiga-tiga injap terbuka, air sisa berkemungkinan mengalir keluar "dengan agak deras", yang boleh mempercepat pelepasan hidrogen sulfida.

Selepas membuka injap, para pekerja kembali membersihkan tangki di atas laluan tersebut. Sekitar pukul 10.00 pagi, seorang pekerja daripada kontraktor PUB yang lain memberitahu Encik Sivaraman bahawa air sisa mengalir dengan deras ke dalam tangki seterusnya dan bahawa dia mengesan bau busuk yang kuat, menurut keterangan di mahkamah.

Encik Sivaraman mengarahkan seorang pekerja untuk membawa seseorang, kembali ke laluan tersebut dan menutup injap, kata merinyu itu dalam keterangannya.

Beliau juga mengesahkan bahawa tiada apa-apa yang dapat dipastikan mengenai sebarang arahan yang diberikan Encik Sivaraman tentang peralatan.

Pekerja ketiga dan Encik Izzat kedua-duanya memasuki laluan tertutup itu tanpa alat pernafasan. Encik Izzat memakai alat pengesan gas peribadi, kata merinyu tersebut.

Penggera pada alat pengesan gas peribadinya, serta alat-alat pengesan yang dipasang di sekitar laluan tersebut, berbunyi, tambahnya.

Ini menunjukkan persekitaran itu berbahaya, namun mereka tetap memasuki laluan tersebut, kata Encik Hafidz.

Apabila ditanya oleh Koroner Negara Adam Nakhoda, merinyu itu mengesahkan bahawa para pekerja tidak sepatutnya memasuki laluan tersebut berdua - seorang daripada mereka sepatutnya kekal di luar.

Menukil keterangan pekerja ketiga berhubung kejadian tersebut, Encik Hafidz berkata pekerja berkenaan dan Encik Izzat memasuki laluan tersebut dan rebah.

Encik Hafidz berkata para penyiasat tidak dapat menentukan apa yang berlaku antara sekitar pukul 10.30 pagi hingga 11.00 pagi, ketika ketiga-tiga lelaki itu ditemui.

Beliau memberi keterangan bahawa Encik Sivaraman berkemungkinan memasuki laluan tersebut kemudian untuk memeriksa keadaan para pekerja atau cuba menyelamatkan mereka, sebelum turut terjejas akibat gas tersebut.

Ketiga-tiga lelaki itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di laluan tersebut. Selepas diselamatkan, mereka dibawa ke hospital, di mana Encik Sivaraman dan Encik Izzat meninggal dunia.

Selepas kejadian tersebut, PUB menyenaraihitamkan Stargroup, menghalangnya daripada membuat bidaan untuk mana-mana projeknya selama 18 bulan mulai Ogos 2024.

MOM juga mengeluarkan arahan henti kerja kepada PUB yang meliputi kerja-kerja pembersihan tangki air prarawatan dan kemasukan ke ruang terbatas bersebelahan tangki tersebut. Arahan itu ditarik balik pada 6 Ogos 2024, selepas PUB memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita