Skip to main content

Singapura

2 pekerja maut dalam kemalangan tapak binaan Koridor Utara-Selatan di Lentor Avenue

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua pekerja maut pada Selasa (17 Sep) selepas mereka ditimpa peralatan berat di sebuah tapak binaan Koridor Utara-Selatan di Lentor Avenue.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menyatakan sekumpulan pekerja sedang memasang dram win (winch drum), atau peranti mekanikal yang menggulung wayar tambahan, di atas dua blok konkrit, apabila win tersebut bergerak dan mencederakan empat pekerja.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di sebuah tapak binaan berdekatan persimpangan Lentor Avenue dengan Yio Chu Kang Road pada pukul 1.30 tengah hari, Selasa.

Seorang pekerja binaan warga Bangladesh 39 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh seorang paramedik SCDF.

Tiga lagi pekerja dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat, di mana seorang jurutera tapak tempatan berusia 38 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Pekerja ketiga dan keempat mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang.

Siasatan masih dijalankan.

LTA menambah bahawa tempoh keselamatan juga dilaksanakan untuk menilai langkah-langkah keselamatan.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), salah satu langkah keselamatan umum adalah untuk memastikan peralatan atau struktur berat perlu diikat dalam keadaan yang stabil, untuk mengurangkan risiko ia tergelincir atau tumbang.

Kesemua empat pekerja diambil bekerja oleh VSL Singapore, sebuah subkontraktor ditugaskan oleh kontraktor utama, Ssangyong Engineering, untuk menjalankan tugas di tapak binaan Koridor Utara-Selatan.

Menurut MOM, LTA adalah pemajunya.

LTA menyatakan ia amat berdukacita atas kemalangan tersebut, dan sedang bekerja rapat dengan kedua-dua syarikat itu untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa. Ia juga sedang membantu polis dan MOM dalam siasatan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita