Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pekerja dibawa ke hospital selepas gondola terjongket di blok HDB Boon Lay Drive

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua pekerja dikejarkan ke hospital setelah sebuah gondola terjongket di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Boon Lay pada pagi Khamis (11 Mei).

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada 8.10 pagi.

Setibanya pasukan SCDF di Blok 199 Boon Lay Drive, seorang pekerja dilihat di belebas tingkat 15 bersebelahan dengan "gondola yang terjongket" itu.

Pekerja itu dibawa masuk dengan selamat melalui tingkap sebuah unit di tingkat 15 oleh pasukan SCDF.

Seorang lagi pekerja turut diselamatkan melalui tingkap unit tingkat 14 oleh orang awam sebelum pasukan SCDF tiba di tempat kejadian.

Kedua-dua pekerja tersebut dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Apabila Mediacorp mengunjungi tempat kejadian pada tengah hari Khamis, gondola itu masih tergantung di tepi bangunan tersebut. Terdapat juga kerosakan yang dilihat pada parapet di atas bumbung, dengan sebahagian parapet hilang.

Terdapat juga kawasan yang dikepung di blok berkenaan bagi mencegah kenderaan dan orang ramai daripada melintas ke tempat kejadian.

Seorang penduduk yang tinggal di blok bertentangan memberitahu Mediacorp bahawa dia sedang menjemur baju di luar flatnya apabila dia mendengar bunyi yang kuat dan melihat kedua-dua pekerja menjerit meminta bantuan.

Lelaki itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Chua, berkata bahawa dia ternampak kedua-dua pekerja tersebut.

"Pekerja pertama berjaya diselamatkan sebelum pasukan SCDF tiba dengan memanjat ke tingkat 14. Pekerja kedua duduk di parapet tingkat 15 sementara menunggu ketibaan SCDF kerana dia cedera."

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, yang juga adalah Anggota Parlimen GRC West Coast (Boon Lay) melawat blok tersebut pada sebelah tengah hari menyusuli kejadian tersebut.

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM), HDB dan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan