Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pegawai polis ini selamatkan wanita yang terperangkap dalam bilik air selama 4 hari

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita yang terperangkap dalam bilik air di rumahnya selama empat hari selepas tombol pintu bilik air tercabut, akhirnya diselamatkan oleh dua orang pegawai polis. 

Pasukan Polis Singapura (SPF) berkongsi insiden itu dalam satu catatan Instagram pada Khamis (29 Dis). Insiden itu dikongsikan oleh Staf Sarjan Kanan Ibnu Musalli dan Sarjan Miqdad Fisall, sebagai sebahagian siri editorial SPF yang dipanggil "My Duty My Calling". 

Mereka menerima panggilan untuk bantuan pada malam hari 27 November, yang menyatakan seorang wanita dilaporkan hilang. 

Pemanggil merupakan saudara kepada wanita itu, yang memberitahu polis bahawa wanita tersebut tidak dapat dihubungi sepanjang empat hari lalu.

"Beliau malah pergi ke unit apartmen wanita itu untuk memeriksa tetapi tidak mendapat sebarang respons daripadanya. Telefon bimbit wanita itu juga dimatikan," kata Encik Ibnu. 

Encik Ibnu dan Encik Miqdad dengan segara menuju ke bangunan apartmen wanita itu untuk membuat pemeriksaan. 

Dua pegawai polis itu menyoal siasat jiran-jirannya, yang memberitahu bahawa mereka tidak melihat wanita itu selama tiga atau empat hari. Mereka juga terlihat ada beberapa bungkusan yang ditinggalkan di luar apartmen wanita berkenaan. 

"Namun, naluri dan pengalaman kami menyatakan beliau mungkin masih berada dalam unitnya, dalam keadaan di mana beliau tidak boleh memberikan respons," kata Encik Ibnu. 

Sedang dua pegawai polis itu bercakap dengan jiran tetangga wanita berkenaan, Encik Miqdad berkata beliau terdengar bunyi samar-samar dari sebelah tembok. 

"Ini mengukuhkan lagi kecurigaan kami bahawa beliau mungkin masih berada di dalam apartmennya," tambah Encik Miqdad. 

Dengan bantuan pengawal keselamatan bangunan itu, kedua-dua pegawai polis itu berjaya mendapatkan akses untuk memasuki unit wanita berkenaan. Sedang mereka menuju masuk ke apartmen tersebut, ketukan samar-samar itu menjadi lebih kuat dan bunyi itu kedengaran seperti datang dari kawasan bilik air. 

"Cik, kami Polis! Kami di sini untuk membantu anda!" teriak Encik Miqdad. Mujurlah, wanita itu pun membalasnya.

WANITA ITU TERPERANGKAP DALAM TANDAS SETELAH TOMBOL PINTU TERCABUT

Encik Ibnu berkata tombol pintu bilik air itu tercabut, menyebabkan wanita itu terperangkap di dalam. Encik Ibnu dan Encik Miqdad kemudian mencari jalan untuk memaksa buka pintu itu. Mereka juga menghulurkannya tuala dan pakaian. 

Wanita itu kemudian memberitahu dua pegawai polis tersebut bahawa beliau terperangkap di dalam bilik airnya selama empat hari tanpa sebarang cara untuk menghubungi orang lain atau melarikan diri.

"Terdesak untuk mendapatkan bantuan, beliau hanya boleh mengetuk dinding dan berharap bahawa ada orang yang akan menyedari isyaratnya untuk mendapatkan bantuan," kata Encik Ibnu. 

"Saya hanya boleh membayangkan kelegaannya setelah ketukan beliau itu akhirnya didengari," kata Encik Miqdad. 

Wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan diperiksa oleh para anggota paramedik. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan