Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pegawai kanan Perkhidmatan Awam akan bersara; setiausaha tetap baharu dilantik

Anggaran Waktu Membaca:
2 pegawai kanan Perkhidmatan Awam akan bersara; setiausaha tetap baharu dilantik

(Gambar: PSD)

Diterbitkan : 25 Mar 2025 07:24PM Dikemas Kini : 25 Mar 2025 08:11PM
SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Selasa (25 Mac) mengumumkan bahawa dua setiausaha tetap akan bersara selepas bertahun-tahun berkhidmat.

Encik Jeffrey Siow, Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia) dan Setiausaha Tetap Kedua (Perdagangan dan Perusahaan) akan bersara pada 2 Apr selepas 24 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Encik Siow yang berusia 46 tahun memulakan kerjayanya di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan seterusnya memegang jawatan di Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dan Kementerian Pendidikan (MOE).

Beliau juga berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ketika itu Encik Lee Hsien Loong dari 2017 hingga 2021, dan kemudian dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai operasi pertama Enterprise Singapore. Dalam peranan sebagai ketua pegawai operasi, beliau menerajui inisiatif untuk mengubah perniagaan dan persatuan-persatuan perdagangan Singapura, serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana semasa pemulihan pasca COVID-19.

Pada Januari 2024, Encik Siow kembali ke MOM sebagai Setiausaha Tetap Kedua, di mana beliau melaksanakan dasar-dasar penting mengenai tenaga kerja asing, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, serta pekerjaan yang adil.

"Sepanjang tempoh khidmatnya, beliau juga menyaksikan penguatkuasaan undang-undang penting mengenai diskriminasi di tempat kerja dan amalan tempat kerja yang adil," kata PSD.

Encik Siow secara serentak berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kedua di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sejak September 2024.

Beliau telah dianugerahi Pingat Pentadbiran Awam (Perak) pada 2021 bagi mengiktiraf sumbangannya kepada Perkhidmatan Awam.

Cik Tan Ching Yee, 60 tahun, Setiausaha Tetap (Kewangan), akan bersara pada 1 Mei selepas berkhidmat selama 38 tahun dalam sektor awam.

Beliau memulakan kerjayanya dalam sektor awam pada 1986, dan telah memegang jawatan penting di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Pendidikan, MICA ketika itu, Kesihatan, dan Kewangan.

Semasa beliau menjadi Setiausaha Tetap di MOE, beliau telah "memperluaskan laluan dan pilihan untuk pelajar di sekolah dan sektor pos-menengah dan pengajian tinggi, pengiktirafan bagi kerjaya dalam bidang perguruan, dan menambah baik pendidikan prasekolah dan keperluan khas," kata PSD.

Beliau juga menerajui usaha untuk meningkatkan akses, kemampuan dan mutu sistem penjagaan kesihatan Singapura dengan mempercepatkan pembangunan kemudahan baharu, mengukuhkan sistem pembiayaan penjagaan kesihatan (termasuk pelaksanaan MediShield Hayat), dan memperluaskan skim pembangunan tenaga kerja penjagaan kesihatan.

Pada tahun 2016, Cik Tan dilantik secara serentak sebagai Setiausaha Tetap (Kewangan) dan Setiausaha Tetap (Pejabat Perdana Menteri)(Tugas Khas).

Bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada Perkhidmatan Awam, Cik Tan telah dianugerahi Pingat Bakti Masyarakat (Emas) pada 2008 dan Pingat Jasa Gemilang pada 2018.

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata: "Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Ching Yee dan Jeffrey atas sumbangan penting mereka. Ching Yee telah memberikan kepimpinan yang cemerlang di pelbagai pertubuhan di seluruh Perkhidmatan Awam selama bertahun-tahun, dan khidmatnya kepada Singapura telah memberi kesan dan tidak ternilai. Jeffrey telah berkhidmat dengan cemerlang dan memberi impak yang besar dalam pelbagai jawatan dalam kerjaya Perkhidmatan Awamnya."

PELANTIKAN BAHARU

Mulai 1 Mei, Encik Lai Chung Han, Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Kewangan akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Kewangan), manakala Encik Chan Heng Kee, Setiausaha Tetap (Pertahanan), akan dilantik secara serentak sebagai Setiausaha Tetap (Pejabat Perdana Menteri)(Tugas Khas).

Encik Stanley Loh Ka Leung akan melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Pejabat Perdana Menteri)(Tugas Khas), dan akan terus berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap (Kemampanan dan Sekitaran).

Encik Lai, 52 tahun, telah memegang pelbagai peranan sebagai pemimpin dalam perjalanan kerjaya ketenteraannya di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF), seperti Timbalan Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertahanan pada 2012 dan sebagai Panglima Tentera Laut pada 2014.

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Pendidikan) dan Setiausaha Tetap Kedua (Ehwal Dalam Negeri) pada 2017, dan sebagai Setiausaha Tetap (Pendidikan) dua tahun kemudian. Pada Julai 2024, beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan), Kementerian Kewangan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan