2 pegawai ICA disiasat; pukul pemandu lori dekat Pusat Pemeriksaan Woodlands
Dua pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dilepaskan daripada tugas operasi sedang mereka menjalani siasatan polis. Ini setelah mereka didapati terlibat dalam pertengkaran bersifat fizikal bersama seorang pemandu lori berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands.
SINGAPURA: Dua pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dilepaskan daripada tugas operasi sedang mereka menjalani siasatan polis.
Ini setelah mereka didapati terlibat dalam pertengkaran bersifat fizikal bersama seorang pemandu lori berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands, menurut ICA hari ini (22 Dis).
ICA mengeluarkan kenyataan itu selepas satu rakaman video yang menunjukkan dua pegawainya memukul seorang lelaki tersebar di media sosial.
Berdasarkan video itu, kedua-dua pegawai berkenaan boleh dilihat berdiri dekat lelaki itu, yang duduk di kawasan rumput bersebelahan sebatang jalan raya, lalu berkali-kali memukul bahagian tubuhnya.
"ICA memandang serius terhadap insiden itu. Para pegawai kami perlu melaksanakan tugas mereka secara profesional," menurut ICA.
Menurut kenyataan ICA, insiden pada pukul 4.40 petang semalam (21 Dis) berlaku setelah pemandu lori berkenaan tidak menghiraukan arahan para pegawai dan 'memandu secara semberono' ke arah mereka.
Siasatan awal menunjukkan bahawa kedua-dua pegawai itu - yang sedang menjalankan tugas mengawal trafik di Woodlands Crossing - memberi arahan kepada lori kontena tersebut yang sedang dalam perjalanan ke arah Pusat Pemeriksaan Woodlands supaya menjalani pemeriksaan kastam, menurut ICA.
Bagaimanapun, pemandu lori - yang memandu di lorong paling kanan di Woodlands Town Centre Road - tidak menghiraukan arahan para pegawai dan memandu secara semberono di ketiga-tiga lorong menghala ke arah pegawai tersebut, tambahnya. ICA menegaskan bahawa tindakan pemandu lori itu membahayakan nyawa para pegawai tersebut dan pengguna jalan raya yang lain.
Kedua-dua pegawai itu kemudian menghampiri pemandu itu dan terlibat dalam pertengkaran fizikal dengannya.
"ICA tidak boleh terima sama sekali perbuatan seumpama itu, meskipun si pemandu tidak mempedulikan keselamatan orang lain. ICA juga sudah merujuk kedua-dua pegawai kepada pihak polis menyusuli siasatan awal yang dijalankan," menurut ICA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.